Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak titipan temui kekuatan dalam kasih sayang keluarga titipan

Dijaga sejak usia empat tahun, ibu bapa titipan bantu bentuk keperibadian diri
May 25, 2025 | 5:30 AM
anak titipan, ibu bapa titipan, Ahmad Ashrafiqri Kahar Muzakar
Walaupun Encik Ahmad Ashrafiqri Kahar Muzakar tidak lagi berada di bawah jagaan sistem anak titipan, beliau masih sangat rapat dengan ibu titipannya, Cik Maimunah Abdul Rahman. - Foto BM oleh KHALID BABA

Dua kisah berbeza, satu pengalaman yang sama. BERITA MINGGU menyelami bagaimana kasih sayang dan kesabaran keluarga titipan mengubah kehidupan dua anak titipan di Singapura. Encik Ahmad Ashrafiqri Kahar Muzakar dan Cik Nabila Weldanie Abdul Hamid berkongsi perjalanan mereka menempuh cabaran, menerima keluarga baru dan membina masa depan penuh harapan.

Pada 21 Mei 2004, tarikh yang membawa makna istimewa, Encik Ahmad Ashrafiqri Kahar Muzakar ditempatkan dalam jagaan keluarga titipannya, yang kebetulan juga adalah hari lahir ayah titipannya, Allahyarham Amran Eunos.

Bagi Encik Ashrafiqri, yang kini berusia 24 tahun, tarikh itu bukan sekadar angka di kalendar, bahkan titik permulaan sebuah kisah kasih sayang dan ikatan kekeluargaan yang mengubah hidupnya sejak beliau memasuki keluarga itu pada usia empat tahun.

“Saya rasa hari itu sangat unik. Saya rasa seolah-olah saya adalah ‘hadiah hari lahir’ untuk arwah ayah dan keluarga.

“Beliau orang pertama yang saya benar-benar jadikan idola... beliaulah ketua keluarga.

“Beliaulah yang menguruskan segala-galanya,” jelas Encik Ashrafiqri, menahan sebak.

Walaupun Encik Ashrafiqri telah mencapai usia dewasa dan tidak lagi berada di bawah jagaan sistem anak titipan selepas usia 18 tahun, beliau masih sangat rapat dengan ibu titipannya.

Mengulas tentang sebab beliau ditempatkan di bawah jagaan keluarga titipan, Encik Ashrafiqri berkata beliau tidak pasti tetapi mengesyaki ia mungkin disebabkan oleh kesukaran kewangan yang dihadapi ibu bapa kandungnya.

Menurut Encik Ashrafiqri, arwah ayah titipannya, yang meninggal dunia pada Januari 2025 akibat angin ahmar, sering tersenyum dan bergurau.

“Beliau bukan jenis yang banyak bercakap, tapi kasih sayang dan sikap adil kepada kami semua, tak kira anak kandung atau anak angkat, sangat terasa,” ujarnya.

Ketika membesar sebagai anak titipan, Encik Ashrafiqri berkata beliau melalui pelbagai cabaran, termasuk memikul tanggungjawab sebagai abang kepada enam adik titipannya dan perlu belajar untuk menjadi pemimpin dalam keluarga baru itu.

Menurutnya, beliau kadang kala berasa sedih dan menyoal mengapa hidupnya berbeza daripada kanak-kanak lain yang membesar dengan ibu bapa kandung mereka.

“Ada masanya saya menangis sendirian di dalam bilik, tertanya-tanya mengapa hidup saya begini.

“Tetapi apabila saya semakin dewasa, saya mula menerima kenyataan itu.

“Apabila saya bertemu dengan saudara-mara daripada keluarga titipan, mereka berkata: ‘Kamu sepatutnya berbangga dengan diri kamu kerana kamu ada dua pasang ibu bapa – kandung dan titipan. Bukan semua orang ada itu’.

“Ketika itulah saya mula ubah cara pemikiran saya dan itulah yang membuatkan saya akhirnya dapat menerima hakikat,” kongsi Encik Ashrafiqri.

Salah satu kenangan yang paling terpahat di hati Encik Ashrafiqri (kiri) adalah ketika ibu bapa titipannya, Allahyarham Amran Eunos dan Cik Maimunah membiayai perjalanan umrahnya pada 2016.
Salah satu kenangan yang paling terpahat di hati Encik Ashrafiqri (kiri) adalah ketika ibu bapa titipannya, Allahyarham Amran Eunos dan Cik Maimunah membiayai perjalanan umrahnya pada 2016. - Foto ihsan AHMAD ASHRAFIQRI KAHAR MUZAKAR

Mengenai ibu titipannya pula, Encik Ashrafiqri berkata, Cik Maimunah Abdul Rahman, 67 tahun, memainkan peranan penting dalam mengurus dan menyatukan keluarga mereka.

Sebagai seorang suri rumah, Cik Maimunah menjaga hal harian seperti menghantar anak-anaknya ke sekolah, membeli pakaian dan keperluan sekolah.

“Walaupun ibu lebih tegas daripada ayah, beliau sangat penyayang. Jika berlaku salah faham, beliau akan minta maaf dulu.

“Itulah salah satu perkara yang saya suka tentang membesar dalam keluarga titipan saya, kami tidak mengikut hierarki,” kata Encik Ashrafiqri.

Salah satu kenangan yang paling terpahat di hati Encik Ashrafiqri adalah ketika Cik Maimunah membiayai perjalanan umrahnya pada 2016 ketika beliau berada di Menengah 4.

“Ibu dan ayah gunakan wang sendiri dan saya tidak perlu bayar satu sen pun, jadi ia benar-benar satu nikmat.

“Perasaannya sukar digambarkan kerana semua orang ingin ke Tanah Suci. Saya rasa sangat bertuah kerana tidak perlu buat apa-apa bayaran,” kenangnya.

Berbekalkan kasih sayang dan sokongan tanpa berbelah bahagi daripada keluarga titipannya, Encik Ashrafiqri kini ialah seorang graduan Diploma dalam Pengurusan Penerbangan dari Politeknik Temasek (TP).

Encik Ashrafiqri tamat pengajiannya di TP pada 2023 dan baru sahaja selesai menjalani Perkhidmatan Negara (NS) pada 16 Mei.

Kini, beliau berniat untuk bekerja sebagai seorang pramugara.

Menurut Encik Ashrafiqri, minatnya terhadap bidang penerbangan bermula sejak beliau berusia sembilan tahun, ketika kali pertama menaiki pesawat untuk bercuti ke Langkawi bersama ibu bapa titipannya.

Minat Encik Ashrafiqri menjadi seorang pramugara berputik apabila beliau kagum menaiki pesawat buat kali pertama ketika beliau berusia sembilan tahun.
Minat Encik Ashrafiqri menjadi seorang pramugara berputik apabila beliau kagum menaiki pesawat buat kali pertama ketika beliau berusia sembilan tahun. - Foto BM oleh KHALID BABA

“Dari situ, minat saya untuk jadi pramugara berputik. Saya suka berinteraksi dengan orang dan membantu mereka.

“Boleh katakan, minat saya dalam industri penerbangan dan untuk menjadi pramugara bermula daripada ibu bapa titipan saya apabila mereka membawa saya bercuti buat pertama kali,” kongsinya.

Encik Ashrafiqri berkongsi bahawa apa yang beliau pelajari daripada ibu bapa titipannya adalah tentang kesabaran dan pentingnya memberi kembali kepada masyarakat.

Semangat dan tekadnya menunjukkan bahawa kasih sayang dan peluang yang diberikan mampu mengubah hidup seseorang anak titipan menjadi lebih bermakna dan berjaya.

“Ibu bapa titipan saya memainkan peranan sangat penting dalam membentuk keyakinan saya untuk berjaya walaupun saya berasal dari latar belakang sosioekonomi yang rendah.

“Jika saya berkahwin nanti, saya akan berusaha sedaya upaya untuk menjaga seorang anak titipan, seperti mana ibu bapa titipan saya telah menjaga saya,” kata Encik Ashrafiqri.

Ibu bapa titipan buat diri jadi lebih yakin dalam hidup

Ibu bapa titipan saya memainkan peranan sangat penting dalam membentuk keyakinan saya untuk berjaya walaupun saya berasal dari latar belakang sosioekonomi yang rendah. Jika saya berkahwin nanti, saya akan berusaha sedaya upaya untuk menjaga seorang anak titipan, seperti mana ibu bapa titipan saya telah menjaga saya.
Encik Ahmad Ashrafiqri Kahar Muzakar.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg