Sepasang kasut tumit tinggi merupakan aksesori fesyen yang biasa bagi ramai wanita.
Namun, berdasarkan penyelidikan, penggunaan kasut tumit tinggi secara kerap boleh memaksa badan berada dalam kedudukan ‘plantarflexed’ yang tidak semula jadi (berjengket).
Ini boleh menyebabkan kerosakan serius terhadap kesihatan dalam jangka panjang, kata Pakar Bedah Ortopedik, Dr Su Hsien Ching David.
Dalam penulisannya yang diterbitkan di laman sesawang Hospital Mount Elizabeth, Dr Su menjelaskan bagaimana kasut tumit tinggi memberi kesan kepada bahagian badan.
Tulang belakang
Berjalan dengan kasut tumit tinggi menyebabkan tulang belakang condong secara tidak semula jadi. Ia juga memberikan tekanan pada otot lumbar erector spinae, yang boleh mengakibatkan sakit belakang bawah.
Lutut
Memberikan beban tambahan pada bahagian dalam lutut dan sendi lutut, yang boleh meningkatkan risiko lutut berpusing dan cedera.
Kaki
Mengalihkan berat badan ke atas bahagian depan kaki. Selain masalah bunion – bengkak pada bahagian ibu jari kaki yang bersambung dengan bahagian kaki yang lain, lepuh, dan kalus – kulit yang menjadi tebal atau keras terutama pada tapak tangan atau kaki disebabkan geseran atau tekanan berterusan, pengagihan berat yang tidak seimbang itu boleh menyebabkan saraf tersepit, sendi bengkak, dan tendonitis Achilles.
Vena varikos
Memaksa pergelangan kaki untuk membengkok ke hadapan, menghalang peredaran darah di bahagian bawah kaki dan menyebabkan vena varikos. Ini boleh mengakibatkan urat pecah, serta rasa bengkak dan sakit pada kaki.
Betis
Berjalan dengan kasut tumit tinggi dalam jangka masa panjang boleh memendekkan otot dan tendon di betis, menyebabkan kaku, pengurangan julat pergerakan, dan risiko lebih tinggi untuk terseliuh, serta kecederaan pada bahagian bawah badan.
Pilihan Rawatan
Untuk kelegaan segera, regangkan kaki dengan berdiri berdekatan dinding.
Letakkan bola tenis di bawah lengkungan kaki, pastikan tumit tetap di lantai, dan biarkan berat badan bertumpu selama 30 saat.
Alihkan berat badan dan perlahan-lahan gerakkan kaki di atas bola dari sisi ke sisi, serta dari tumit ke jari kaki selama seminit. Ulangi pada kaki yang lain.
Sebagai alternatif, urut bahagian bawah kaki dengan menggunakan ibu jari untuk mencari titik-titik yang sakit.
Tahan setiap titik dengan tekanan sederhana dan gerakkan kaki sehingga kesakitan berkurang. Ulangi untuk titik sakit yang lain.
Untuk pengurusan kesakitan jangka panjang, jika kasut tumit tinggi menyebabkan ketidakselesaan dalam jangka panjang tetapi anda masih mahu memakainya sekali-sekala, kurangkan kekerapan penggunaannya.
Namun, jika kesakitan dan bengkak pada kaki menjadi begitu teruk sehingga anda tidak dapat membengkokkan jari kaki, segera berjumpa doktor.
Kasut tumit tinggi mungkin menjadi pilihan fesyen yang menarik, tetapi amat penting untuk menjaga kesihatan kaki dan badan secara keseluruhan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg