Ramai peminat bintang rok Indonesia, Inka Christie, sudah menaruh harapan beliau akan mara hingga ke konsert terakhir Gegar Vaganza 11 (GV11) sekitar Februari 2025.
Apatah lagi apabila Inka, 51 tahun, atau nama sebenarnya, Rinni Chries Hartono, mendapat tempat ketiga dalam pertandingan realiti Astro itu pada konsert minggu ketiga pada 8 Disember.
Sayangnya, harapan hanya tinggal harapan kerana bukan rezeki pelantun lagu Rela dan Teratai itu untuk lanjut ke konsert minggu kelima, yang mempertaruhkan lagu duet pada 15 Disember.
Dengan memperolehi markah paling rendah iaitu 53.4 peratus dalam kalangan 13 peserta yang tinggal, Inka tersingkir setelah mendapati sukar menyanyikan lagu asal dendangan Datuk Sheila Majid, Warna.
“Lagu Kak Sheila memang susah. Ia lagu jaz sedangkan saya terbiasa nyanyi lagu rok dan balada.
“Saya akui penyanyi, khususnya peserta GV, harus mampu nyanyi bermacam genre lagu. Tapi adat pertandingan. Pasti ada yang perlu dikeluarkan.
“Saya menerimanya dengan reda, malahan biasa-biasa sahaja. Saya anggap ia seperti penyertaan dalam satu festival, bukan seperti persaingan.
“Saya hanya bersyukur dapat mencedok pengalaman di Malaysia sambil mengubati rindu pada teman-teman industri di sini dan juga peminat saya,” jelasnya dengan nada tenang.
Beliau berkata demikian dalam program, Vazz Vaganza, yang menyusuli siaran langsung dari auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Menurutnya lagi, kalau tidak kerana pujukan ibunya, beliau keberatan menyertai GV11 kerana kesibukan komitmen kerja di Indonesia.
Sekembalinya ke Indonesia, anak seni kelahiran Bandung itu bakal mengusahakan lagu baru, meneruskan program travelognya dan meneruskan tugas mengajar mengaji pelajar dewasa.
Sewaktu diminta mengulas mengenai prestasi Inka, Ketua Juri GV11, Datuk Ramli MS, menjelaskan:
“Mulanya, apabila saya dengar Ning Baizura menyanyi, saya sangka dendangannya sudah ‘ke laut’.
“Tapi apabila Inka pula masuk, wah... ini lebih ‘ke laut’ daripada Ning.
“Inka memang tak mampu bawa lagu Warna ini. Dari segi aspek teknikal dan undang-undang muzik, saya dapati beliau memang tak stabil dari segi notasi muzik.
“Apa lagi ketika nyanyi lagu jaz. Sebab, lagu jaz ini eksklusif. Ia jenis muzik yang terlalu tinggi kedudukannya.
“Saya ibaratkan kalau seseorang nyanyi lagu jaz, dia tetapkan niat nak pulang ke rumah tetapi tak balik-balik. Dia pusing-pusing, baru balik ke rumah.
“Lain dengan lagu pop... terus balik ke rumah. Ini kes (Inka) dah sesat dengan tempo,” ujar Ramli sewaktu ditanya media seberang dalam sidang media di MBSA.
Ning, 49 tahun, yang menyanyikan medley lagu ciptaan P. Ramlee, Bunyi Gitar dan Di Mana ‘Kan Ku Cari Ganti, mendapat markah 60.6 peratus, di tangga ke-12.
Sebelum Inka, Nai Dinamik, 58 tahun, merupakan peserta GV11 pertama yang tersingkir pada 8 Disember.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg