Mengapakah sebilangan besar peserta Gegar Vaganza 11 (GV11) diberi lagu sendiri untuk dipertaruhkan pada konsert minggu kedua pada 1 Disember, tidak seperti musim-musim sudah apabila semua peserta menyanyikan lagu orang lain?
Bukankah keputusan pihak penerbitan daripada Astro Ria ini bak menimbulkan antiklimaks?
Soalan ini bermain di minda netizen yang meluahkannya di akaun media sosial X mahupun Instagram masing-masing, seperti yang diamati wartawan.
Bahkan, kalau dikira bilangannya, tujuh peserta iaitu Ning Baizura, Yazid Lovehunters, The Lima, Ronnie Hussein, Inka Christie, Nai Dinamik dan Reshmonu, kekal menyanyikan lagu sendiri pada konsert minggu kedua, sama seperti dalam konsert minggu pertama pada 24 November.
Apabila soalan itui diajukan kepada ketua juri, Datuk Ramli MS, di sidang media GV11 yang diadakan di bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan disiarkan secara langsung di YouTube pada dinihari 25 November, beliau menjelaskan:
“Ingat senang ke nyanyi lagu sendiri? Sebagai juri, kami lebih teliti apabila mereka pilih untuk nyanyi lagu sendiri. Potong (markah) tetap potong.
“Kami tidak menentukan lagu apa yang mereka nak nyanyi. Kadang peserta ni nak belanja peminat dengan lagu hit mereka termasuk pada minggu kedua.
“Tugas kita sebagai juri ialah dengan memberi markah sewajarnya... tengok apa yang silap dan tak tepat. Tapi saya jelaskan, markah akan rendah bagi minggu-minggu selanjutnya sebab cabaran semakin meningkat.
“Minggu pertama pun, kami beri markah secara berhati-hati. Takkan sampai 80 atau 90 peratus. Yang dapat tempat pertama kali ini pun dapat cuma 77.5 peratus.”
Menurut Ramli, tiga peserta di tangga paling bawah iaitu Reshmonu (57.5 peratus); Arrora Salwa (53.25 peratus) dan Illa Sabry (52.75 peratus), dinilai berbanding prestasi peserta lain.
“Tiada yang silap dengan persembahan Reshmonu. Dia boleh buat persembahan yang baik. Ini lagunya sendiri, lagu ‘rap’.
“Tapi beza apabila kena berurusan dengan melodi. Sebab itu saya nak dia nyanyi lagu Melayu bernada. Memang sukar nyanyi lagu ‘rap’ tapi lagi sukar nyanyi lagu bernada.
“Sama juga macam Arrora. Ada orang lebih elok menyanyi daripadanya. Kita kesan ada banyak kesilapan dan kekurangan dalam persembahannya berbanding peserta lain.
“Illa Sabry nyanyi lagu sendiri tetapi saya faham lagu itu susah nak nyanyi dan ia menguji kemampuannya menyanyi selepas 20 tahun tak menyanyi. Jadi huru-hara.
“Tapi tak apa. Sebab ini minggu pengenalan... biar mereka perhatikan ‘permainan’ dalam GV dan bagaimana nak sesuaikan diri pada minggu-minggu mendatang,” jelas Ramli.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg