Walau setinggi mana pun kedudukan seseorang penyanyi, proses memburu ilmu tidak akan terhenti dan tidak harus dihentikan.
Bahkan, tiada yang perlu dimalukan jika sang penyanyi mengambil keputusan memasuki peraduan realiti lantas didedahkan pada kritikan membina juri profesional, untuk menambah baik persembahannya.
Saya lihat penyanyi tersohor Malaysia dan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, masih gigih berlatih vokal dengan guru yang pakar manakala juara Gegar Vaganza 9 dan All Stars GV (ASGV), Jaclyn Victor, pula berulang kali memberitahu media, beliau tidak segan bertanya dengan yang lebih berpengalaman untuk menajamkan lagi persembahannya.
Pada 19 Disember, kecoh dibuatnya apabila penyanyi mapan yang pernah menganggotai kumpulan Gersang, Man Bai, 57 tahun, menolak GV sebagai platform terbaik untuk penyanyi veteran sepertinya.
Man Bai atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Osman, mengakui beliau pernah ditawarkan menjadi salah seorang penyanyi jemputan bagi program itu tetapi menolaknya.
Baginya, format GV hanya memalukan dan menjatuhkan kebolehpercayaan artis yang bertanding.
“Baru-baru ini, pihak penerbitan GV hubungi saya untuk segmen lagu duet tetapi saya tolak tawaran itu kerana rasa program tersebut memalukan artis. Mengapa mahu merendahkan artis?
“Contohnya, penyanyi Indonesia, Inka Christie, yang sudah menang pelbagai anugerah termasuk di Asia Pasifik tersingkir minggu lalu (15 Disember). Itu tidak logik.
“Jangan main permainan begini, saya tidak suka. Kalau mahu cari bakat, biar cara yang betul,” katanya pada sidang media Konsert Mega Hitz 3 Dekad Vol 1, di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.
Beliau juga tidak bersetuju apabila penyanyi, Ronnie Hussein, diberi kemenangan pada konsert minggu keempat kerana ketua juri, Datuk Ramli MS, menyatakan sudah selalu memberi kemenangan kepada penyanyi veteran, Liza Aziz.
“Kalau betul Liza layak menang, mengapa takut berikan (kemenangan) kepadanya? Bagaimana dengan usaha yang dilakukan Liza sebelum ini sampai boleh beri dia berada di tempat ketiga? Bagaimana Ramli jadi ketua juri?
“Kalau dalam hati dia betul-betul seorang juri dan mahu beri kemenangan kepada yang layak, beri sahajalah,” jelas Man Bai dengan nada tidak puas hati.
Sebenarnya, pilihan untuk masuk GV ataupun tidak bergantung pada keyakinan diri dan kesediaan seseorang artis untuk memberi komitmen bertanding selama berminggu lamanya.
Seorang artis veteran era 1960-an yang disegani di Singapura pernah memberitahu saya beliau mendapat lamaran daripada pihak Astro selaku penerbit GV beberapa tahun lalu untuk bertanding tetapi menolaknya.
Bukan kerana takut dikecam tetapi lebih kerana faktor usia yang sudah mencecah 70-an tahun. Nak promosi diri dalam media sosial pun bukan sesuatu kebiasaan buatnya.
Saya kira tak salah kalau Inka, Liza atau Ning Baizura menggagahkan semangat masuk bertanding.
Kesan GV sebenarnya besar buat peserta. Saya lihat Liza dan peserta Singapura, Yazid Lovehunters, yang kededuanya sudah melepasi usia 60 tahun, sudah mula menarik peminat dalam kalangan Generasi Z dan milenial.
Sebelum ini, anak muda tidak ambil pusing dan belum tahu kehebatan suara atau aura mereka.
Ingat anak-anak sekalian. Liza dan Yazid bukan mak cik dan pak cik biasa-biasa, ya. Mereka bintang yang masih ‘maintain’ walau dah masuk usia ‘60 sen’.
Bagi mengulas kekecohan yang timbul daripada kenyataan Man Bai, media seberang turut bertanyakan soalan ini kepada pihak Astro dan juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat.
Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari, menyatakan GV adalah jenama kukuh dan berprestij dengan banyak kelebihan meliputi usaha menaikkan semula nama artis veteran atau yang sudah lama menyepi.
Ia juga menyisipkan unsur kebajikan seperti berkongsi kasih yang dikendalikan penaja utama, Farm Fresh Malaysia.
Golongan kurang bernasib baik dan artis memerlukan dibantu.
Saya yakin juri yang dikatakan suka mengajar iaitu, Hetty Koes Endang, tiada niat berbuat demikian. Ia lebih bersifat berkongsi ilmu.
Ilmunya juga berguna buat penonton seperti saya yang ingin memahami juga perihal nyanyian dan kriteria penilaian persembahan terbaik.
Macam beliau beritahu Liza pada ulasannya dalam minggu duet pada 22 Disember:
“Vokal kamu memang tidak diragui mantap. Tapi kamu perlu fikir soal persembahan, gerak tubuh kamu dan apa yang boleh membuat juri dan penonton tertarik. Sebab ini sudah masuk minggu kelima. Apa lagi yang kamu mahu tonjolkan?”
Syafinaz yang saya puji kerana selalu memberi komen bernas dan seimbang pula menambah:
“Saya tidak fikir komen juri memalukan. Komen yang saya beri adalah untuk perbaiki mutu persembahan peserta, selain memberi maklumat berguna.
“Bagi saya, kalau ada komen negatif yang saya sampaikan, saya pasti seimbangkannya dengan komen positif iaitu bagaimana cara mereka boleh perbaiki persembahan.
“Terpulang pada mereka nak terima atau tidak. Ada ramai peserta GV yang bukan calang-calang macam Jaclyn Victor yang sudah memasuki banyak peraduan dan memenanginya, Tomok atau Shila Amzah. Mereka nakkan ilmu perbaiki diri.
“Jaclyn sampai ke hari ini akan datang kepada saya dan bertanya, ‘Kak...bagaimana saya nak perbaiki nyanyian saya?’”
Semua orang ada pandangan masing-masing. Yang penting, apa jua bidang yang diceburi, kita jangan mudah puas hati dan rasa sudah cukup bagus kerana banyak makan garam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg