Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ramli MS cabar Liza Aziz setiap minggu

Dec 9, 2024 | 6:44 PM
Liza Aziz dicabar menyanyikan ‘medley’ dua lagu oleh Ketua Juri ‘Gegar Vaganza 11’, Datuk Ramli MS, yang yakin satu lagu terlalu mudah buatnya.
Liza Aziz dicabar menyanyikan ‘medley’ dua lagu oleh Ketua Juri ‘Gegar Vaganza 11’, Datuk Ramli MS, yang yakin satu lagu terlalu mudah buatnya. - Foto ASTRO

Selama tiga minggu berturut-turut, penyanyi bersuara emas, Liza Aziz, membuktikan kemantapan vokalnya untuk muncul sebagai juara mingguan Gegar Vaganza 11 (GV11).

Beliau juga satu-satunya peserta yang diminta Ketua Juri, Datuk Ramli MS, agar mendendangkan medley dua lagu bagi minggu kedua dan ketiga.

Pada minggu kedua pada 1 Disember, Liza, 61 tahun, menyanyikan dua lagu kakaknya, Azlina Aziz, Wajah Siapa Di Hatimu dan Mencari Mimpi.

Pada konsert minggu ketiga pada 8 Disember pula, beliau perlu mendendangkan dua lagu ‘motown’ (dendangan asal penyanyi kulit hitam), Ain’t Nobody (Chaka Khan) dan I Will Survive (Gloria Gaynor).

Kekata ‘motown’ bagi muzik R&B yang dipengaruhi lagu-lagu awal penyanyi kulit hitam itu digunakan sempena label rakaman Motown milik Universal Music Group yang memajukan kerja seni bintang kulit hitam.

Apabila ditanya media mengenai ketetapan buat Liza, Ramli menjelaskan:

“Kalau dia nyanyi satu lagu dan diulang-ulang, ia akan jadi membosankan buat pendengar. Orang tak puas.

“Dengan bakat yang ada pada Liza, saya rasa macam dia pergi pasar beli ikan.

“Terlalu mudah buatnya. Dia kerja keras di atas pentas dan ‘tembak’ sahaja.

“Kalau dia boleh angkat 10 kilo (ikan sebagai perlambangan tahap kepayahan lagu), mengapa kita nak beri dia angkat lima kilo?”

Ramli juga mencabar Liza menyanyikan lagu akapela (tanpa iringan muzik) kerana tahu kemampuan anak seniman Aziz Jaafar dan seniwati Normadiah itu memanfaatkan suaranya sebagai alat muzik.

Perkara itu, kata Ramli, dapat dilakukan dengan baik oleh Liza berbanding peserta lain.

Baginya, lagu R&B yang dinyanyikan Liza pada minggu ketiga itu adalah ‘makanannya’.

“Beri sahaja lagu macam tu, ‘nasi ayam’-lah buat Liza. Tengok dia nyanyi lancar macam air.

“Saya nak dengar dia nyanyi lagu asal yang diberikan bagi minggu ketiga, Jauh Di Sudut Hati. Kalau buat akapela, bagus. Cuba nyanyi,” katanya.

Juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang juga ingin melihat sisi lain Liza apabila mendendangkan lagu genre lain termasuk irama Melayu, yang dikatakan menjadi kekuatan bintang itu juga.

Netizen yang masih belum menerima kehebatan vokal Liza pula menulis di akaun X:

“Kita nak tengoklah Liza nyanyi lagu ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU). Boleh tak?”

Liza meraih markah 73.4 peratus bagi konsert minggu ketiga.

Saban minggu, juri dilihat kian tegas dalam pemarkahan.

Markah 74.8 peratus diraih Liza pada minggu kedua, manakala pada minggu pertama, beliau mendapat 77.5 peratus.

Walau apa pun, pelantun lagu Bermula Cerita itu tetap meninggalkan jauh pesaingnya di tangga kedua.

Ning Baizura meraih 65.6 peratus di tangga kedua bagi minggu ketiga.

Pada minggu keempat pada 15 Disember ini, Liza akan menyanyikan lagu rancak Fairuz Hussein, Samba Ria.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg