Kalau selama ini anda hanya makan ayam goreng, kali ini jenama makanan segera terkenal, KFC, bawa pengalaman itu ke tahap yang agak luar biasa.

Di Brazil, KFC tampil dengan kempen pelik tapi kreatif apabila menghasilkan pakaian yang membuatkan pemakainya kelihatan seperti seketul ayam goreng rangup.

Menerusi kempen dinamakan ‘Tailor Made Couture’, KFC Brazil menggunakan material khas ala sherpa untuk meniru tekstur ayam goreng rangup berwarna keemasan yang sinonim dengan jenama itu.

Material unik itu kemudian dijadikan pelbagai item fesyen seperti bucket hat, jaket, skirt, sneakers dan bag tote.

Menurut laporan Says, apa yang lagi menarik, ini bukan sekadar koleksi ‘merchandise’.

Untuk tempoh terhad dari 27 hingga 29 Mac, pelanggan di bandar São Bernardo do Campo dijemput ke cawangan utama KFC untuk sertai pengalaman ini.

Caranya mudah:

– Beli hidangan KFC (tunjuk resit sebagai bukti)

– Bawa pakaian sendiri

– Serahkan untuk diubah suai

Pakaian tersebut kemudian dihantar ke atelier tempatan untuk diolah secara manual menggunakan material ayam goreng tadi.

Pelanggan akan menerima semula pakaian mereka beberapa minggu kemudian.

Menurut Pengarah Pemasaran KFC Brazil, Cik Fernanda Harb, inisiatif ini bukan sekadar gimik.

Ia bertujuan menghargai pelanggan setia, memberi pengalaman peribadi yang unik dan mengeratkan hubungan antara jenama dengan pengguna.

Pendek kata, bukan saja boleh makan KFC, sekarang boleh ‘pakai’ KFC sekali.