SPH Logo mobile
Langgan|

Warga emas dirempuh SUV masuk KFC di Perak, meninggal dunia

Warga emas dirempuh SUV masuk KFC di Perak, meninggal dunia

May 9, 2025 | 3:07 PM

Warga emas dirempuh SUV masuk KFC di Perak, meninggal dunia

Pelanggan serta pekerja sebuah restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, Perak pada malam 8 Mei tergamam apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) menerobos masuk ke dalam restoran berkenaan. Wanita warga emas berusia 73 maut akibat rempuhan SUV itu.
Pelanggan serta pekerja sebuah restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, Perak pada malam 8 Mei tergamam apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) menerobos masuk ke dalam restoran berkenaan. Wanita warga emas berusia 73 maut akibat rempuhan SUV itu. - Foto BOMBA

LUMUT (Perak): Wanita warga emas yang awalnya cedera akibat dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menerobos masuk ke sebuah restoran makanan segera, KFC, di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, Perak, malam 8 Mei, telah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Manjung, Penolong Pesuruhjaya Hasbullah Abd Rahman berkata kejadian sekitar 9.05 malam itu turut mengakibatkan seramai tujuh orang pelanggan restoran itu termasuk seorang kanak-kanak cedera ringan.

Menurutnya, mangsa yang maut adalah wanita warga emas berumur 73 tahun yang juga pelanggan restoran berkenaan dengan beliau disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Seri Manjung.

Kemalangan di Kilometer 0.5 Jalan Sitiawan-Lumut berhampiran persimpangan empat hala lampu isyarat itu, terjadi apabila SUV jenis Volvo XC90 yang dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun yang datang dari arah Kampung Koh menghala ke Sungai Wangi, dipercayai hilang kawalan.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat hadapan restoran makanan segera itu, pemandu motokar (SUV) terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan sebelum merempuh bangunan restoran berkenaan dan turut melanggar lapan pelanggan restoran.

“Akibat kemalangan, pemandu motokar cedera ringan, seorang wanita berumur 73 tahun meninggal dunia, manakala tujuh pelanggan lain dalam lingkungan umur 5 hingga 38 tahun cedera ringan dan menerima rawatan di hospital sama,” katanya dalam kenyataan pada 9 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.

Pemandu SUV ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada malam 8 Mei, media melaporkan pelanggan serta pekerja sebuah restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, tergamam apabila sebuah SUV menerobos masuk ke restoran berkenaan yang mengakibatkan seorang wanita warga emas cedera tersepit di bawah kenderaan itu.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan situasi di tempat kejadian yang terletak sangat hampir dengan persimpangan lampu isyarat antara Jalan Lumut dan Jalan Haji Mohd Ali di Sitiawan itu.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg