KUALA LUMPUR: Usahawan dan pempengaruh, Khairul Aming Kamarulzaman tidak menyangka ada netizen seolah-olah menantikan kejatuhannya hanya kerana video dikongsi baru-baru ini, meraih kira-kira 300,000 tontonan.

Melalui video TikTok yang tular dalam media sosial, Khairul, 34 tahun, atau dikenali sebagai KA mengaku terkejut apabila ramai membuat pelbagai andaian termasuk menganggap popularitinya semakin merosot, lapor BH Online.

“Saya macam, ya Allah… Dahsyat betul membenci saya? Satu video dapat 300,000 tontonan pun terus menggelupur.

“Padahal mereka tidak tahu video itu sebenarnya pernah saya muat naik sebelum ini.

“Kalau cari semula video asal yang dimuat naik pada Oktober 2025, ia sudah meraih lebih 10 juta tontonan,” katanya.

Pempengaruh yang terkenal dengan ungkapan ‘Hey, What’s Up Guys’ itu menjelaskan video berkenaan sengaja dimuat naik semula, sebagai eksperimen bagi menguji sejauh mana sistem pengesanan TikTok mampu mengenal pasti kandungan yang pernah disiarkan.

Khairul berkata beliau hanya melakukan sedikit suntingan serta menukar rakaman suara latar sebelum memuat naik semula video terbabit.

“Kalau kita ambil video yang sama, sunting sedikit dan tukar suara latar, adakah TikTok akan mengesannya sebagai video yang sama atau video baharu? Itu yang KA nak cuba.

“Rupanya sistem itu memang dapat mengesan ia sebagai video yang sama, jadi video terbabit seperti disekat dan tidak masuk ke halaman For You Page (FYP),” katanya.

Khairul turut menyindir segelintir pengguna media sosial yang disifatkannya terlalu cepat membuat kesimpulan sehingga mengaitkan jumlah tontonan rendah dengan kononnya kemerosotan pengaruhnya.

“Ada yang kata TikTok sudah tidak relevan, semua orang berpindah ke Threads dan ini adalah zaman kejatuhan Khairul Aming.

“Saya baca dan rasa macam, ya Allah… dahsyat juga. Satu video terus keluar teori bertaraf PhD,” katanya berseloroh.

Khairul berkata orang ramai sepatutnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum membuat spekulasi, apatah lagi isu berkenaan sebenarnya berpunca daripada ujian yang dijalankannya terhadap sistem kecerdasan buatan (AI) platform berkenaan.

Pada masa sama, Khairul mengakui tidak terlalu memikirkan jumlah tontonan kerana enggan terlalu mengejar angka semata-mata.

“Kalau tontonan rendah pun, biarlah. Jalan sajalah video itu. Tidak perlulah berebut-rebut mengejar tontonan.

“Bulan puasa tempoh hari pun saya sudah penat mengejar tontonan. Tak larat sudah. Biarlah begitu sahaja,” katanya.