Khairul Aming beri respons dalam ‘sidang media’ selepas ‘aduan’ netizen

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khairul Aming beri respons dalam ‘sidang media’ selepas ‘aduan’ netizen

Feb 24, 2026 | 1:11 PM

Khairul Aming beri respons dalam ‘sidang media’ selepas ‘aduan’ netizen

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Khairul Aming, aduan netizen
Pempengaruh popular, Khairul Aming, ketika mengadakan ‘sidang media’ parodi sebagai respons kepada seorang pengikutnya, “seorangaen” yang mahu “memutuskan hubungan” dengan resipi-resipi beliau. Video tersebut meraih lebih dua juta tontonan dalam masa singkat. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM KHAIRULAMING

Dunia masakan di media sosial kecoh seketika apabila pempengaruh masakan popular, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih mesra dikenali sebagai Khairul Aming, terpaksa mengadakan satu ‘sidang media’ khas untuk memberi respons kepada ‘aduan’ netizen mengenai resipi Ramadan beliau.

Video parodi tersebut, yang dimuat naik sekitar 7 pagi pada 24 Februari di Instagram, telah meraih hampir 3 juta tontonan setakat ini, sekali gus membuktikan pengaruh besar siri 30 Hari 30 Resipi yang sering dianggap sebagai “modul universiti” bagi warga netizen setiap kali menjelangnya bulan puasa.

Dalam video berkenaan, Khairul Aming dilihat tampil dengan gaya serius dengan tapisan foto mengandungi empat mikrofon seolah-olah dipegang oleh wartawan yang sedang menemu bual dalam satu sidang media.

View post on Instagram
 

Beliau juga sempat meminta ‘pihak media’ untuk berhenti mengambil gambar kerana “silau dengan cahaya lampu imbasan (flash) sebelum menjelaskan bahawa sidang media pada waktu sahur itu diadakan bagi menuntut keadilan bagi pihaknya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakannya itu adalah sebagai respons terhadap kenyataan terbuka yang dibuat oleh seorang “pelajarnya” yang mengadu sudah tidak mampu mengikuti resipi harian beliau.

Seorang pengguna TikTok, “seorangaen”, memuat naik video parodi sidang media yang mendakwa hubungan beliau dengan resipi-resipi Khairul Aming sudah berakhir.

Dengan lakonan nada hiba, netizen tersebut menyatakan bahawa beliau sudah cuba sedaya upaya namun hubungan tersebut “tidak dapat diteruskan lagi”.

Beliau turut memohon agar peminat-peminatnya yang berjumlah “68 juta” itu tidak lagi membuat spekulasi liar mengenai keputusannya untuk beralih ke bazar Ramadan.

“Kita dah cuba, it is validlah... saya masih lagi simpan semua video, saya masih lagi repost, cuma cubaan untuk saya meneruskan hubungan itu dah tak ada,” ujar Khairul Aming, yang juga merupakan usahawan dan pemilik restoran Rembayung, dalam video itu.

Khairul Aming, bagaimanapun, tidak menerima alasan tersebut dengan mudah dan menyifatkan ia sebagai kekurangan dedikasi.

“Bagi saya ini semua isu komitmen sebenarnya. Sebab bagi pihak saya, saya dah keluarkan tiga video sehari. Kadang-kadang tak tidur malam nak siapkan video tersebut. What do I get in return? Nothing,” tegas Khairul Aming dalam nada parodi.

Beliau turut mempersoalkan alasan-alasan yang diberikan oleh pengikutnya itu, termasuk dakwaan barang masakan sering habis dijual di pasar raya atau perasaan tertekan untuk menyiapkan tugasan memasak.

Apa yang menarik perhatian adalah apabila Khairul Aming mula menyenaraikan bebanan mental yang terpaksa ditanggungnya apabila ramai “pelajar” gagal mengikuti modul masakannya dengan betul sehingga mengakibatkan kemalangan di dapur.

“Tinggalkan saya bersama dengan tanggungan saya yang semakin mencabar. Ada yang dah mula meracau, ada yang dah mula luar kawalan,” ujarnya.

Beliau turut menambah: “Itu belum campur lagi tanggungan saya yang sampai terbakar dapur, ada yang masak sampai hitam, ada yang meletup dalam oven... lepas itu hilang, tak tahu pergi mana dia punya puding semua itu.”

Enggan memanjangkan isu, Khairul Aming memilih untuk tidak membuka sebarang sesi soal jawab kepada media bagi mengelakkan kenyataannya diputar belit.

“Cuma saya minta jasa baik pihak netizen untuk dengar kedua-dua pihak dan bagi penilaian yang adil kepada pihak saya juga,” katanya lagi sebelum mengakhiri sidang media tersebut.

Respon video parodi Khairul Aming itu disambut dengan pelbagai reaksi mencuit hati daripada warganet, yang tidak sangka beliau sanggup membalas video “seorangaen” dengan semangat jenaka yang serupa.

Ada warganet juga yang sambung jenakanya itu seperti pengguna “imannrashidd” yang berkata: “Harap isu ini tak berlarutan...”.

Seorang lagi pengguna ‘alyaaoreo’ berkata: “Saya bukan pelajar cemerlang, selalu tak ada masa nak buat tapi saya tetap akan join kelas Khairul Aming.”

Interaksi parodi antara ikon masakan itu dengan pengikutnya bukan sahaja menghiburkan, malah menunjukkan betapa fenomena Khairul Aming telah menjadi sebahagian daripada budaya popular masyarakat Melayu serantau setiap kali tibanya Ramadan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg