Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kilafairy bagai mimpi nyanyi di konsert bintang Bollywood

Dec 11, 2024 | 7:05 PM
Kilafairy terharu dapat berkongsi pentas dengan bintang Bollywood terkenal, Udit Narayan, dalam konsert yang berlangsung di Mega Star Arena pada 28 Disember.
Kilafairy terharu dapat berkongsi pentas dengan bintang Bollywood terkenal, Udit Narayan, dalam konsert yang berlangsung di Mega Star Arena pada 28 Disember. - Foto INSTAGRAM KILAFAIRY

Umpama mimpi jadi kenyataan, penyanyi yang merupakan anak biduanita Rohana Jalil, Kilafairy, tidak menyangka dipilih sebagai penyanyi wanita yang bakal berkongsi pentas dengan ikon muzik Bollywood terkenal, Udit Narayan, dalam konsert di Malaysia pada 28 Disember.

Kilafairy, atau nama sebenarnya, Syakila Nisha Jangir Khan, 32 tahun, berkata beliau mempunyai banyak sebab untuk teruja dan berbangga selepas dipilih berkongsi satu pentas bersama penyanyi legenda dalam konsert Udit Narayan In KL di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Nama Kilafairy dipilih penganjur, VVST Digital Creation, kerana kredibiliti sebagai penyanyi yang fasih menyanyikan lagu Bollywood.

Ketika dihubungi Berita Harian Malaysia (BHM), beliau menyifatkan peluang keemasan yang diberikan kepadanya umpama mimpi menjadi kenyataan.

“Udit Narayan ada tokoh sangat istimewa. Saya meminati beliau kerana peminat tegar Shah Rukh Khan. Kebanyakan lagu yang didendangkan pelakon terkenal Hollywood itu dalam filem adalah vokal Udit.

“Saya terkejut, tidak percaya, gemuruh dan takut apabila dilamar untuk konsert Udit Narayan In KL. Ini kerana saya bakal berkongsi pentas dengan ikon Bollywood terkenal itu,” jelasnya.

Bercerita lanjut, Kilafairy berkata, beliau akan membawakan lagu solo dan dua lagu secara berduet bersama penyanyi tidak asing lagi, Syamel.

“Sekarang, saya giat menjalani latihan vokal dan mendalami lenggok kerana penghayatan daripada segi lenggok Bollywood sangat berbeza dengan Melayu. Ia penting kerana lagu Tamil atau Hindi memiliki lenggok berbeza,” katanya.

Beliau juga menambah dunia Bollywood bukan sesuatu yang asing buatnya.

Katanya, Bollywood membawa dirinya ke zaman silam, menikmati momen bersama keluarga terutama arwah ibu, Allahyarhamha Rohana yang pulang ke Rahmatullah pada 2023.

“Saya mula menyanyikan lagu Bollywood sejak berusia lapan tahun dan menonton filem bersama keluarga seperti satu tradisi.

“Saya juga belajar ‘permainan’ emosi dalam dunia lakonan menerusi filem Bollywood. Saya suka bagaimana karakter diterjemahkan, instrumen dan bunyian dalam naskhah Bollywood.

“Apabila terbabit dalam konsert Udit Narayan In KL, saya terasa pulang kembali ke zaman silam saat menghabiskan masa menonton filem Bollywood.

“Khabi Khushi Khabi Gham adalah filem yang saya dan keluarga tonton lima kali dan menangis.

“Arwah ibu sangat meminati lagu Khushiyan Aur Gham Movie dari filem Mann.

“Dan saya sendiri meminati terlalu banyak karya Udit Narayan terutama daripada filem Devdas, Mann dan Taal. Semuanya menusuk jiwa,” katanya.

Menaruh harapan agar konsert ini berjalan lancar, Kilafairy berkata beliau akan tampil dengan kostum bertemakan Bollywood.

“Saya akan menyarung busana daripada pereka Shanell Harun. Tentu sahaja ia akan mempunyai tema Bollywood, namun tidak ada yang berlebihan.

“Saya akan tampil dengan gaya sederhana, tapi elegan seperti penampilan selalu,” dedahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg