Pelakon Interview with the Vampire, Kirsten Dunst, memandu kereta pacuan empat roda Chevrolet berwarna hitam untuk bertemu wartawan majalah GQ, Ben Allen.
Beliau mengenakan pakaian serba hitam dan nampak ceria setelah pulang daripada sesi pertemuan bersama guru anak sulungnya.
“Cikgu anak saya kata, anak saya nampakkan kemajuan dalam pelajarannya,” jelas Dunst, 42 tahun, dengan nada gembira, menyingkap pencapaian anaknya yang berusia enam tahun.
Dunst dan Allen kemudian duduk di sebuah bar untuk wawancara yang menyorot perkembangan terkininya.
Menurut Dunst, beliau kini tidak begitu kejarkan glamor atau projek besar kerana sudah terbiasa dengan dunia perfileman yang kadangkala memenatkannya. Maklumlah, beliau sudah berlakon sejak usia tiga tahun.
Namanya mula dikenali setelah menjayakan antologi filem tentang kehidupan di New York, New York Stories pada usia tujuh tahun.
“Sekarang ini, saya seronok menonton filem di pawagam bersama suami (pelakon Jesse Plemons), main tenis, makan malam, makan roti bakar bersama keju...begitulah kehidupan saya yang ingin berehat daripada dunia filem,” jelasnya.
Dunst akur sejak tidak begitu aktif berlakon, beliau kerap ditawarkan watak ibu yang bersedih sepertimana dalam filem 2021, The Power of the Dog.
Beliau membawa watak ibu yang bertungkus-lumus dalam amanahnya menjaga anak pada era 1920-an di Montana, Amerika. Peranan itu membawa pada pencalonan Oscar yang pertama buatnya.
Kerana beliau nampak sepi tanpa berita, ramai yang menyangka Dunst tidak laku lagi dalam industri filem Hollywood.
“Sebenarnya, tidak sukar mendapat peranan dalam filem. Saya sahaja yang agak memilih peranan untuk dibawa sebab kebanyakan filem nampaknya tidak mempunyai jalan cerita yang baik.
“Saya jujur. Kalau tak bagus, saya cakap tak bagus. Suami sampaikan bergurau takkan saya hanya berlakon di bawah arahan Alex Garland, Jane Campion dan Sofia Coppola?
“Bagi saya, itu bukan soalnya. Saya rasa saya sudah tidak perlu lagi terkejar-kejar untuk bekerja. Sebab saya sudah berlakon selama 39 tahun, rasanya dah boleh bersara!” kongsinya.
Menurutnya, beliau juga sibuk dengan tugas sebagai ibu kepada dua anak kecil yang berusia enam dan tiga tahun.
“Saya diberi watak jurugambar peperangan dalam filem Civil War. Dalam tempoh penggambaran pada 2021, saya melahirkan anak bongsu saya.
“Tubuh wanita yang baru melahirkan memerlukan masa untuk pulih. Justeru, sekarang ini, saya seronok jaga anak dan kadangkala menghadiri sesi wawancara media,” katanya.
Menurut Dunst, beliau ingin cuba sesuatu yang berbeza. Kerana itu, selepas berulang kali bawa peranan ibu yang murung, dirinya ambil peranan komedi meskipun tahu genre itu bukan kekuatannya.
“Saya tak gentar bawa peranan lain daripada lain sebab saya sudah sampai tahap di mana saya perlukan kerencaman dalam kerjaya saya,” tambahnya.
Dunst yang pernah menjayakan filem adiwira, Spider-Man pada 2002 tidak menolak kemungkinan menjayakan satu lagi filem adiwira yang biasanya menawarkan pendapatan lumayan.
“Saya jujur menyatakan ramai pelakon terima lamaran berlakon dalam filem adiwira kini sebab mereka dibayar banyak, bukan kerana faktor lain sebenarnya.
“Ia berbeza dengan 20 tahun lalu. Saya anggap berlakon dalam filem adiwira di bawah arahan Sam Raimi merupakan perkara yang menyeronokkan sebab beliau dikenali dengan filem ‘indie’ atau bebas yang jauh lebih menarik.
“Sekarang ini, semuanya tentang duit dan ganjaran lumayan,” ujar Dunst.
Beliau berkata ada juga perancangan ingin menjayakan filem Bring It On era baru. Filem tahun 2000 tentang gadis dalam kumpulan sorak atau ‘cheerleader’ itu juga berjaya di pasaran filem untuk generasi muda suatu ketika dahulu.
“Sebenarnya, kehidupan saya sama sahaja. Saya ingat detik manis berjalan ke kedai susu kocak (milkshake) bersama sahabat karib saya yang masih lagi teman akrab hingga hari ini sewaktu baru-baru membina nama sebagai bintang cilik.
“Ibu saya mengurus kerjaya saya sewaktu meniti usia remaja. Semua itu kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Beliau mempunyai prinsip dan yakin dengan penampilan dirinya sendiri.
“Tiada yang boleh mengubahnya termasuk penerbit filem. Saya ingat saya pernah dipaksa jalani pembedahan gigi dalam filem Spider-Man. Saya menolak. Bagi saya, mereka harus terima keadaan gigi saya.
“Semasa sesi tayangan perdana, saya gunakan solekan ‘Gothic’ yang suram dan pakaian serba hitam. Pihak studio Sony Pictures tidak suka. Mereka nak saya tampil sebagai gadis manja berpenampilan macam boneka dan seksi.
“Saya tak pedulikan semua itu sebab saya adalah saya. Sampai ke tua, saya takkan jalani pembedahan plastik. Biarlah wajah saya berkedut. Saya akan bawa watak yang sesuai dengan usia saya kelak. Tak perlu nak ubah wajah saya sampai ia kelak jadi rosak,” ujar Dunst.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg