Apabila anda menyentuh tentang filem aksi klasik, nama pertama pelakon Hollywood yang muncul di fikiran adalah Sylvester Stallone.
Pelakon berusia 77 tahun itu suatu ketika dahulu menguasai pasaran filem aksi Hollywood menerusi francais filem seperti Rocky, Rambo dan The Expendables.
Sungguhpun filem aksi kerap dihasilkan, keistimewaannya terasa pudar.
Dalam satu laporan laman LA Times, Stallone mendakwa kemunculan filem adiwira atau superhero telah menyebabkan penonton mula jemu dengan filem aksi.
Pengamatan ini dibuat jauh sebelum francais Marvel Cinematic Universe (MCU) dan DC Extended Universe (DCEU) yang bernilai berbilion dolar itu kian maju dan menyerlah.
Menurutnya lagi, momentum bagi filem aksi pupus kerana filem adiwira menarik perhatian ramai pembaca komik. Beliau secara jujur menyebut filem Michael Keaton, Batman yang diterbitkan pada 1989, sebagai titik tolak teknologi disisipkan dalam filem adiwira lantas membuat ramai kurang meminati filem aksi.
“Filem pertama Batman punca minat pada filem aksi yang saya jayakan merudum. Filem aksi berubah secara radikal kerana anda hanya perlu menggunakan sut velkro untuk tayangkan otot-otot si wira. Inilah permulaan era baru. Visual mengambil-alih segalanya. Kesan khas menjadi lebih penting daripada si wira sendiri. Itulah permulaan pada pengakhiran filem aksi yang menaikkan nama saya,” jelas Stallone.
Menurutnya, siapa sahaja boleh menjadi wira tanpa meluangkan masa membina badan mereka sepertimana yang beliau lakukan secara gigih di gimnasium.
“Teknologi boleh buat saya nampak lebih sasa. Sesiapa sahaja dipilih jadi wira termasuk kanak-kanak!” ujarnya lagi yang secara ironi membintangi filem Samaritan sebagai adiwira berusia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg