Pelancong Muslim yang mendambakan percutian ke Hong Kong kini boleh merancang dengan lebih mudah sedang Klook dan Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) melancarkan kerjasama pertamanya untuk mempertingkat pengalaman pelancongan Muslim.
Sebagai sebahagian kerjasama itu, wadah tempahan perjalanan Klook akan menawarkan pelbagai penginapan dan kegiatan mesra Muslim, di samping kunjungan ke tarikan keluarga dan kebudayaan sambil memudahkan pelancong mendirikan solat dalam perjalanan.
Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan saranan berdasarkan pengalaman pencipta kandungan Klook dari Singapura, Malaysia dan Indonesia yang berkongsi jadual perjalanan masing-masing.
Perkongsian itu bertujuan memberi pelancong Muslim keselesaan dan keyakinan untuk meneroka Hong Kong dengan bebas.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Klook dan HKTB, usaha itu merupakan tambahan yang melengkapi kempen pemasaran HKTB Jelajah Hong Kong, yang bertujuan menaikkan taraf Hong Kong sebagai destinasi mesra Muslim.
Pengurus besar Hong Kong, Macau dan Thailand di Klook, Encik Kenny Sham, berkata kerjasama itu membolehkan mereka merapatkan jurang maklumat untuk pelancong Muslim daripada golongan milenial dan Gen Z.
Inisiatif itu juga menyusuli kerjasama Klook bersama CrescentRating dan HalalTrip, yang menyaksikan Klook menjadi wadah pengalaman global pertama untuk menawarkan rating mesra Muslim yang disahkan.
Ini membolehkan pengguna mengenal pasti dengan mudah kegiatan dan tarikan yang selaras dengan keperluan keagamaan mereka, sebagai contoh, makanan mesra Muslim, kemudahan solat dan pertimbangan privasi.
Menyentuh tentang pentingnya menawarkan pilihan mesra Muslim, Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating dan HalalTrip, Encik Fazal Bahardeen, berkata:
“Merancang perjalanan ke destinasi yang bukan majoriti Muslim boleh membawa tekanan apabila maklumat utama untuk keperluan berdasarkan kepercayaan kita tidak mudah didapati.
“Dan mencari arah tuju tempat yang tidak biasa dikunjung dalam kalangan orang yang tidak dikenali boleh menambah kepada kegelisahan tersebut.
“Jurang ini mewujudkan perasaan tidak selesa atau terpinggir, menjejas tujuan sebenar-benar perjalanan riadah, iaitu untuk menikmati pengalaman baru dengan ketenangan minda.”
Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) melaporkan bahawa ketibaan Muslim antarabangsa telah mencecah 176 juta pada 2024, satu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan dijangka naik ke 245 juta menjelang 2030.
Sejajar itu, data Klook mendapati dalam 12 bulan sebelumnya, tempahan ke Hong Kong yang dibuat masyarakat Muslim telah meningkat sebanyak 43.5 peratus, dengan taman tema serta tarikan menerajui dapatan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg