Topik diikuti
Pergi ke BHkuKolaborasi Birkenstock x Repetto beri sentuhan balet anggun pada sandal ikonik
Kolaborasi Birkenstock x Repetto beri sentuhan balet anggun pada sandal ikonik
Kolaborasi Birkenstock x Repetto beri sentuhan balet anggun pada sandal ikonik
Birkenstock secara rasminya telah melangkah ke era ‘balletcore’ menerusi kerjasama terbaharunya dengan Repetto.
‘Balletcore’ merupakan trend estetika fesyen dan gaya hidup popular yang diinspirasikan daripada pakaian tradisional penari balet.
Dilancarkan pada 16 Julai, kedua-dua jenama pembuat kasut ini menggabungkan reka bentuk kasut mereka yang praktikal dengan sentuhan gaya ‘balletcore’ yang feminin, tanpa mengabaikan identiti serta rekaan teras khas kedua-dua jenama fesyen tersebut.
Repetto, yang telah menghasilkan kasut balet sejak 1947 menyuntik elemen balet kreatif dalam tiga rekaan sandal ikonik Birkenstock iaitu Opera, Arizona, dan Scala.
Daripada perincian anggun yang diinspirasikan daripada kasut balet hingga kepada hiasan kemasan pelapik bercorak dam Vichy-check khas Repetto pada setiap kasut, ketiga-tiga sandal ikonik Birkenstock kini tampil lebih feminin sambil mengekalkan tapak kasut ergonomik yang mengutamakan keselesaan pemakai.
Sandal Opera menampilkan keindahan seni balet menerusi rekaan garisan berpetak, serta ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu merah jambu (Icon Pink) dan hitam pada harga $670.
Tali kasut yang panjang melilit pergelangan kaki secara kemas bagaikan reben penari balet, manakala kulit Nappa yang halus, kemasan fabrik yang lembut, serta perincian ikatan reben di depan kasut menyerlahkan estetika rekaan balet ikonik Repetto.
Dilengkapi dengan tali satin yang boleh ditanggalkan serta tapak khas Birkenstock, rekaan ini menggabungkan keselesaan dengan sentuhan keanggunan secara kreatif.
Sandal kegemaran ramai, Arizona, turut diberi sentuhan gaya lebih mewah menerusi kerjasama ini, dengan tambahan pilihan warna serta kemasan baharu: warna merah menyala ‘Flame Red’ berserta kulit kilat (patent leather).
Menerusi tiga pilihan warna, setiap sandal berharga $630 ini menggabungkan keselesaan ikonik Birkenstock dengan keanggunan malar segar Repetto.
Gancu (buckle) bulat bersaiz besar dan kemasan fabrik halus membentuk siluet kemas.
Manakala tapak kasut ergonomik diperbuat daripada campuran lateks dan gabus – dengan pelapik kulit bercorak Vichy Repetto – memberi keselesaan dan keanggunan dalam setiap langkah si pemakai.
Bagi mereka yang menginginkan rekaan lebih anggun, model kasut Scala berharga $700, tampil dengan bentuk depan bulat tertutup, dua tali halus di bahagian tengah, serta perincian ikatan reben yang menarik.
Menerusi dua pilihan warna serta kemasan berbeza – antara hitam berkilat yang elegan dengan merah jambu lembut bersifat matte – rekaan ini menyerlahkan penampilan berani atau manis, mengikut gaya pilihan pemakai.
Meskipun koleksi Birkenstock x Repetto hanya menawarkan tiga rekaan utama, setiap pilihan warna berbeza bagi setiap rekaan menggunakan jenis kulit berlainan seperti kulit semula jadi, kulit suede, dan kulit berkilat. Oleh itu, pastikan anda menyemak perinciannya sebelum membuat pembelian.
Koleksi kerjasama ini telah dilancarkan pada 16 Julai 2026 secara dalam talian serta di butik Birkenstock cawangan ION Orchard, Duxton Road, Marina Bay Sands, dan Weave Resorts World Sentosa.