Baru-baru ini, saya membawa anak-anak menonton persembahan teater berjudul, ‘Si Penjaga Memori’.
Ia kali pertama mereka, yang berumur enam dan dua tahun setengah, menonton persembahan sedemikian.
Pementasan oleh kumpulan teater A.D.I. Concept itu bertujuan membantu kanak-kanak memahami penyakit Alzheimer – sejenis demensia yang mengganggu ingatan, pemikiran dan kelakuan – yang biasa menjejas warga emas.
Saya memutuskan membawa anak-anak menonton pementasan teater itu kerana saya tertarik dengan topiknya.
Ini kerana anak-anak saya dijaga datuk nenek mereka ketika saya dan suami keluar bekerja.
Dengan usia yang sudah lanjut, adakala datuk nenek mereka terlupa beberapa perkara dan ingatan mereka tidak setajam dahulu.
Saya yakin ada perkara yang boleh dipelajari anak-anak saya, khususnya anak sulung saya, daripada persembahan yang diarah dan ditulis, Adi Jamaludin, itu.
Dalam persembahan teater tersebut, watak utama, murid sekolah rendah bernama Daniel dipaparkan mempunyai hubungan yang sangat mesra dan manja dengan neneknya.
Bagaimanapun, hubungan itu berubah apabila neneknya mengalami penyakit Alzheimer.
Daniel bertindak menjadi ‘Si Penjaga Memori’ dan berusaha memulihkan daya ingatan neneknya.
Sejujurnya, saya tidak dapat menjangkakan kelakuan anak-anak saya ketika menonton persembahan teater, cuma saya berharap mereka tidak banyak ragam semasa pementasan sekitar sejam itu.
Saya memang sudah bersiap sedia untuk keluar dari panggung Black Box di Gateway Theatre itu sekiranya mereka terlalu meragam.
Jadi saya pastikan saya mencari tempat duduk dekat dengan lorong jalan agar kami tiga beranak mudah keluar tanpa mengganggu penonton lain.
Mujur kami mendapat tempat duduk di barisan depan, yang turut memberi pemandangan yang tidak terhalang.
Saya juga membawa bekal beberapa jenis gula-gula yang anak-anak suka, bagi mengalih perhatian mereka sekiranya mereka mula berasa tidak selesa.
Bagi memastikan kebersihan ruang teater itu, cuma saya sahaja yang boleh memegang dan menyuapkan gula-gula itu langsung ke mulut anak-anak.
Saya faham kanak-kanak kecil, terutama anak bongsu saya, tidak boleh duduk lama dan mempunyai jangka tumpuan yang singkat.
Maka saya membenarkan dia bangun dan meregangkan kaki seketika dan juga duduk di riba saya bagi separuh akhir pementasan teater itu.
Walaupun dengan segala ‘kesibukan’ melayan anak-anak, saya masih dapat mengikuti jalan cerita, malah cukup tersentuh hingga menitiskan air mata.
Pementasan bermula dengan watak Daniel berlari dari satu sudut pentas ke satu sudut yang lain.
Saya tahu yang dia sedang mencari tempat untuk bersembunyi, tetapi saya tidak pasti sama ada anak sulung saya faham apakah yang sedang berlaku atau tidak.
Jadi saya menerangkan kepadanya: “Dia sedang bermain sembunyi-sembunyi.”
Apabila keluar watak nenek, saya terangkan pula: “Ini neneknya.”
Kemudian saya berhenti, kerana saya fikir, biarlah anak saya menonton dengan aman dan membuat tafsiran sendiri tentang apakah yang sedang berlaku dalam babak tertentu.
Memandangkan pementasan itu disasarkan kepada kanak-kanak berumur lima tahun dan ke atas, penyampaiannya sangat mudah difahami dan cukup menghiburkan, walaupun membincangkan topik berat.
Cuma sekali sekala anak saya menoleh kepada saya dan bertanya tentang watak baru yang muncul di atas pentas.
Salah satu daripada watak itu ialah personifikasi Alzheimer yang mencabut wayar di sekeliling pentas, membuat lampu menjadi malap setiap kali nenek terlupa perkara tertentu.
Lakonannya cukup berkesan, hingga anak bongsu saya berasa agak takut dan berkata: “I want to go home.” (Saya nak balik rumah).
Pementasan itu juga menyelitkan peluang mengajak kanak-kanak memikirkan terjemahan bagi perkataan Inggeris tertentu seperti ‘special’ dan ‘whole, wide world’.
Saya juga tersenyum apabila mendengar nenek telah menyediakan “roti berinti sambal tumis ikan bilis” untuk cucunya.
Ia sesuatu yang sangat berkait dengan budaya Melayu dan sesuatu yang biasa dilakukan nenek-nenek.
Ia membuat saya rasa terharu.
Persembahan teater itu juga mempunyai beberapa unsur interaktif dan penonton diajak membantu watak Daniel membuat pilihan tepat dalam interaksinya bersama neneknya.
Semasa babak terakhir, apabila nenek berkata datuk (yang sudah lama meninggal dunia) mengajaknya ke bulan, dan saya sedang mengelap air mata yang mengalir, anak sulung saya berkata: “Ibu, this show is sad.” (Ibu, cerita ini sedih).
Dalam perjalanan pulang, saya bertanya kepadanya apakah yang dia pelajari daripada pementasan itu, dan dia merenung jauh sebelum cuma berkata: “The nenek forgot a lot of things.” (Nenek lupa banyak perkara).
Dalam wawancara dengan Adi pada Jun, beliau berkata:
“Saya ingin mengingatkan penonton muda bahawa walaupun datuk dan nenek mereka mungkin tidak dapat mengingati perkara tertentu apabila mereka terjejas oleh penyakit Alzheimer, mereka masih dapat rasakan emosi yang berbeza – dan mereka pasti boleh rasa sakit hati.”
Saya berharap sekurang-kurangnya anak-anak saya dapat mengingati itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg