Di tengah denyut nadi bandar raya yang pesat membangun, tersisip sebuah monumen sejarah yang kini kembali bernyawa, menyatukan warisan silam dengan aspirasi masa depan dalam satu ruang dinamik yang dikenali sebagai Kota Jail.
Kota Jail, awalnya, adalah bangunan Penjara Ayer Molek yang sudah menjangkau usia 143 tahun, namun hari ini wajahnya berubah.
Di sini, kisah suka duka bertembung, menyimpan sarat cerita insan terhukum, yang dipakejkan sebagai lokasi pelancongan hasil usaha agensi kreatif yang bertapak di Johor, JOHO, bersama-sama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan juga Jabatan Penjara Malaysia, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Pengarah Operasi Kota Jail, Encik Zul Abas, berkata inisiatif menghidupkan semula Kota Jail untuk memberi pengalaman kepada masyarakat bukan sekadar melihat tetapi menyelami fungsi penjara suatu ketika dulu.
“Tempat ini pernah menyimpan rahsia lebih 120 tahun, dan kini kita buka kepada umum dengan menampilkan pelbagai tarikan, ruang interaktif dan inklusif untuk pelbagai lapisan masyarakat.
“Antara kemudahan menarik yang tersedia termasuk Galeri Penjara Ayer Molek yang menempatkan pameran sejarah penjara dan kisah banduan. Dapat dilihat di sini lukisan, tulisan, luahan dan sesalan banduan yang mendiami tembok batu ini.
“Pengunjung boleh masuk ke dalam sel-sel penjara yang masih mengekalkan tulisan tangan banduan di ruangan dinding di dalamnya. Terdapat juga ruang pameran pakaian banduan mengikut hukuman dan video hukuman sebat yang dijalani pesalah,” katanya lagi.
Pengalaman peribadi menjejak kaki dan meneroka Kota Jail tidak terbayangkan perasaan bekas penghuninya yang tersilap langkah. Pagar dan pintu kota ini tebal sekali, diperbuat daripada besi, sebahagian daripada struktur asal bangunan yang dibina pada 1883 oleh kontraktor bernama Encik Wong Ah Fook.
Mengikut sejarahnya, disebabkan jumlah penghuni yang ramai, Penjara Ayer Molek, antara penjara tertua di Malaysia, selepas Penjara Pulau Pinang dan Penjara Taiping, Perak, ditutup pada Ogos 2005, namun kekal berfungsi sebagai lokap polis sehingga 2018 sebelum ditutup sepenuhnya.
Encik Zul berkata proses pemulihan penjara itu dilakukan secara berperingkat sejak Oktober 2024, membabitkan lebih 10 struktur utama, termasuk sel tahanan, ruang kawalan, dewan aktiviti dan kawasan luar penjara.
Bagaimanapun, semua kerja pemuliharaan dilakukan tanpa meroboh atau mengubah bentuk asal, demi mengekalkan nilai sejarah dan identiti binaan.
“Sebahagian besar blok ditukar fungsinya dari ruang pejabat ke kedai. Terdapat tiga zon utama A, B dan C yang kini dibuka kepada orang ramai, masing-masing dengan fungsi unik dan tarikan tersendiri.
“Kami menjangkakan keseluruhan zon akan siap pada Jun depan (2025). Ini adalah projek komuniti, dan kami percaya warisan bukan sahaja untuk dikenang, tetapi dihidupkan semula dengan cara yang berani dan bermakna.
“Di sini, diwujudkan Galeri Seni Kebangsaan Ayer Molek menempatkan ruang pameran karya seni tempatan. Terdapat juga ruang acara dan pameran budaya, kafe serta ruang santai yang menampilkan produk tempatan dan sajian kontemporari.
“Selain itu Kota Jail juga dilengkapi laman komuniti dan sukan termasuk perpustakaan komuniti,” katanya.
Sementara itu Pengarah Tourism Johor, Encik Sharil Nizam Abdul Rahim, berkata pembukaan rasmi Kota Jail pada 14 Mac lalu membuka lembaran baru bagi pelancongan berasaskan warisan di negeri ini, selain menjadi tarikan sempena Tahun Melawat Johor 2026.
Menyifatkan lokasi itu sebagai satu bentuk pendidikan tidak formal, Encik Sharil Nizam, berkata ia adalah pengalaman yang berguna kepada generasi muda.
“Bawa anak-anak ke sini bukan sekadar untuk melihat bangunan lama. Ia adalah ruang untuk mereka belajar mengenai hidup, nilai kebebasan dan pengorbanan.
“Tarikan utama pelancong bukan sahaja kerana nilai sejarahnya, tetapi juga kerana pendekatan yang ditampilkan santai, bermaklumat dan berjiwa tempatan,” ujarnya.
Kota Jail yang terletak strategik dalam kawasan IIBD (Ibrahim International Business District), hanya 500 meter dari pusat bandar, mengenakan bayaran masuk di Galeri Penjara Ayer Molek sahaja pada kadar RM5 (dewasa) atau $1.51, RM3 (kanak-kanak) untuk warga Malaysia.
Bagi bukan warganegara, kadar berlainan ditetapkan iaitu RM15 ($4.53) (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg