Siapa sangka, hanya bermula dengan satu lagu, telah berkembang menjadi sebuah konsert berskala besar yang menggamit kembali memori silam peminat setia kumpulan KRU.
Apatah lagi konsert ‘Gen:KRU’ yang berlangsung baru-baru ini, bukan sekadar konsert penyatuan semula biasa tetapi satu simbol kebangkitan tiga bersaudara, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim, yang sudah lebih tiga dekad menjadi nadi industri muzik tempatan.
Bagi Norman, semua ini bukan sesuatu dirancang secara besar-besaran dari awal. Sebaliknya, ia datang dengan cara yang cukup natural.
Dedah figura berusia 53 tahun itu, Yusry tidak pernah berkongsi lamaran pemilik Icon Entertainment, Iman Tang, mengenai perancangan mengadakan sebuah konsert.
“Kami tidak pernah terfikir untuk mengadakan konsert penyatuan semula sehinggalah perancangan mengeluarkan single bersama Sony Music, kemudian pihak Sony Music kata kenapa berhenti pada sebuah single sahaja?
“Kemudian beralih kepada perancangan mengeluarkan album, bila sudah ada album kami fikir harus ada cara untuk mempromosikannya.
“Jadi di situ timbul perancangan mengadakan konsert dan siapa sangka hanya sekadar merancang untuk sebuah konsert bertukar menjadi konsert hari kedua, ketiga dan keempat,” katanya kepada Sinar Harian.
Selepas tirai dilabuhkan, perasaan yang menyelubungi Norman bukan hanya kepuasan, tetapi rasa keterujaan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Terutamanya apabila melihat reaksi peminat di media sosial.
“Terus terang, rasa teruja selepas habis konsert, melihat rakaman daripada peminat di media sosial. Macam Yusry cakap, masuk terowong masa.
“Teruja melihat peminat terhibur dengan persembahan kami dan melihat semula rakaman daripada dron, saya rasa ini konsert terbesar yang kami buat,” ujarnya.
Lebih manis, ‘Gen:KRU’ turut menyatukan peminat daripada pelbagai generasi, dari mereka yang membesar dengan lagu ‘Awas’ dan ‘Fanatik’, sehinggalah ke anak-anak kecil yang kini diperkenalkan dengan muzik KRU oleh ibu bapa mereka sendiri.
Atas faktor itu, Norman berkata mereka sepakat untuk tidak membezakan peminat mengikut peringkat usia, dan atas sebab itu, konsert tersebut digelar sebagai ‘Gen:KRU’.
“Satu penghormatan untuk kami masih relevan di atas pentas. Masih dapat reaksi yang sama atau lebih lagi daripada peminat.
“Kami tidak mahu membezakan peminat lama dan peminat baru kami. Sama ada Gen X, Y atau Z, kami fikir, kenapa tidak sahaja anggap semua sebagai GenKRU?” kata Norman.
Walaupun dibuai nostalgia, cabaran tetap ada. Kembali ke pentas selepas beberapa tahun bukan tugas mudah, terutama dari segi stamina dan kesihatan.
Dedah Norman, mereka tiga beradik berdepan dengan masalah kesihatan bermula dengan Yusry pada konsert hari pertama dan kedua, diikuti beliau dan Edry yang berdepan masalah suara selepas konsert hari kedua.
Namun, semangat peminat yang hadir memberikan tenaga luar biasa buat mereka bertiga untuk terus memberikan persembahan terbaik.
“Beberapa minggu sebelum konsert, saya rasa saya kembali menjadi artis semula. Bila sudah agak lama tidak membuat persembahan, ia memberi dugaan kepada kami.
“Lagu paling sukar untuk kami nyanyikan adalah ‘Awas’, termasuk koreografi tarian. Bagaimanapun senarai lagu yang telah ditetapkan adalah supaya kami dapat membuat persembahan dengan baik.
“Cuma sejujurnya apabila melihat video lama (ketika masih muda), saya dapat lihat pergerakan lebih tepat,” seloroh Norman.
Semestinya, kejayaan ‘Gen:KRU’ tidak berakhir di sini.
Dengan sambutan luar biasa yang diterima, KRU kini sedang dalam perancangan untuk membawa semangat konsert ini ke negeri-negeri lain dan juga ke luar negara.
“Ada tawaran daripada pelbagai pihak dan kami memang akan pertimbangkan. Cuma sekarang, fokus kami adalah untuk konsert KRU di Singapura pada 28 Jun,” katanya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg