Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kuih cang sarat inti The Han’s Dumplings buka selera

Suami isteri penuhi permintaan pelanggan pelbagai kaum, kekal tradisi hidangan sempena Pesta Bot Naga
Jan 25, 2025 | 5:30 AM
Pengasas The Han’s Dumplings, Encik Iman Shen dan Cik Nur Fazlin Mohd Noor, berada di dapur pusat mereka yang menghasilkan kuih cang, juga dikenali sebagai ‘bak cang’ atau ‘zongzi’.
Pengasas The Han’s Dumplings, Encik Iman Shen dan Cik Nur Fazlin Mohd Noor, berada di dapur pusat mereka yang menghasilkan kuih cang, juga dikenali sebagai ‘bak cang’ atau ‘zongzi’. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sekali makan kuih cang dalam bungkusan daun buluh yang disiapkan The Han’s Dumplings, anda pastinya tertarik dengan rasa dan teksturnya yang memikat.

Cukup nikmat merasakan nasi pulut lembut yang berisi inti ayam berempah, telur asin, cendawan dan buah berangan sebagai sajian yang sesuai dihidangkan bila-bila masa sahaja.

Kuih cang, yang juga dikenali sebagai bak cang atau zongzi, adalah hidangan tradisional Cina yang biasanya dinikmati semasa perayaan Pesta Bot Naga.

View post on Instagram
 

Namun, bagi masyarakat Islam, mencari versi halal kuih cang ini sering kali menjadi cabaran.

Justeru, The Han’s Dumplings telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan versi halal kuih cang.

Pengasas The Han’s Dumplings, Cik Nur Fazlin Mohd Noor, 38 tahun, bersama suaminya, Encik Iman Shen, 40 tahun, memulakan perniagaan kuih cang halal ini pada 2021 selepas beliau mengidamkan kuih tersebut semasa hamil.

“Kebanyakan kuih cang yang sedia ada tidak halal. Jadi, saya memutuskan untuk membuatnya sendiri,” katanya, sambil berkongsi bahawa beliau belajar menyiapkan kuih cang daripada YouTube dan mengubah resipi mengikut cita rasa sendiri.

Pada mulanya, kakak dan abang ipar Cik Fazlin memulakan perniagaan dengan memberi tumpuan kepada ladu Cina (makanan yang dianggap simbol kekayaan oleh masyarakat Cina) sebagai pendapatan sampingan selepas wabak Covid-19 melanda.

“Apabila perayaan Pesta Bot Naga tiba, kami terfikir, mengapa tidak menggabungkan usaha kami? Lagipun, kuih cang juga adalah sejenis ladu.

“Saya fikir saya akan menjual kuih cang setahun sekali, tetapi pelanggan tetap memintanya walaupun selepas musim perayaan,” jelas ibu dua anak itu.

Permintaan yang semakin meningkat mendorong mereka untuk menjadikan bak cang sebagai jualan tetap.

“Suami saya masih bekerja sebagai pemandu bas dan saya sibuk menghasilkan kek sepenuh masa. Tetapi pesanan bagi kuih cang terus meningkat.

“Ketika itulah suami saya memutuskan untuk berhenti kerja untuk fokus pada perniagaan ini,” katanya.

Pada 2023, abang ipar dan kakaknya berpindah ke Australia, meninggalkan perniagaan ladu mereka.

“Mereka memberitahu kami agak rugi jika kami tidak terus menjual ladu kepada pelanggan,” kata Cik Fazlin, yang awalnya, teragak-agak untuk mengambil alih perniagaan itu.

“Saya berat hati pada mulanya kerana rasa terlalu sukar untuk mengendalikannya, tetapi dengan sokongan keluarga terutama suami, kami mencuba,” jelasnya lagi.

Hari ini, hampir selepas empat tahun diusahakan, The Han’s Dumplings menawarkan beberapa variasi kuih cang halal, termasuk versi Hokkien, yang mengetengahkan kuih cang dengan inti yang sedap dan masin, dan versi Nyonya yang mempunyai rasa agak manis yang baru diperkenalkan pada awal Januari lalu.

Kuih cang The Han’s Dumplings berharga antara $4.50 dengan $5.50.

Mereka juga memperkenalkan perisa kuih cang ayam pedas yang memenuhi cita rasa dan selera masyarakat Melayu yang sukakan makanan pedas.

Namun, proses membuat kuih cang sangat sulit dan memakan masa.

“Pulut perlu direndam, kacang berangan digoreng dan ayam diperap semalaman. Pembungkusan adalah bahagian yang paling mencabar. Saya mengambil masa dua bulan untuk menguasai kemahiran membungkus kuih cang.

“Semua adalah buatan tangan – daripada proses pengisian hingga pembungkusan – memastikan setiap inti kuih cang disumbat dengan padat supaya puas apabila dimakan,” jelas Cik Fazlin lagi.

Dedikasi pasangan itu membawa hasil apabila mereka menarik pelanggan dari seluruh Singapura.

“Baru-baru ini, seorang pelanggan berbangsa Cina datang pada awal pagi untuk membeli kuih cang bagi anak perempuannya yang berkahwin dengan seorang Muslim. Beliau kembali keesokan hari untuk membelinya lagi selepas mencuba,” kata Cik Fazlin lagi.

Melalui platform seperti TikTok dan Instagram, kuih cang halal ini turut menarik perhatian pelanggan muda.

The Han’s Dumplings kini merancang untuk memperluaskan perniagaan dan memperkenalkan kuih cang kepada khalayak ramai secara lebih meluas.

Justeru pada Oktober lalu, The Han’s Dumplings membuka dapur pusat untuk meningkatkan pengeluaran dan mengembangkan perniagaan mereka. 

Selain kuih cang, mereka turut menawarkan ladu sejuk beku untuk kemudahan pelanggan menikmati ladu buatan tangan di rumah.

“Kami mula menjual ladu yang sudah siap dimasak di gerai, tetapi kini kami fokus kepada ladu beku, disebabkan sekatan memasaknya di pusat beli-belah.

“Ia adalah buatan tangan, jadi pelanggan akan melihat variasi saiz yang menarik,” katanya.

Bagi Cik Fazlin, menghasilkan kuih cang selama empat tahun bukan hanya tentang perniagaan tetapi juga tentang memenuhi cita rasa masyarakat dan mengekalkan tradisi.

“Kami tidak lokek bahan kerana saya mahu orang ramai menikmati rasa kuih cang yang membuka selera,” kongsinya tentang kejayaan di sebalik The Han’s Dumpling yang bertahan sejak 2021.

Pelanggan boleh memesan kuih cang dengan mudah melalui pautan dalam talian yang disediakan di halaman Instagram The Han’s Dumplings (@thehansdumplings). Pelanggan juga boleh mengunjungi reruai The Han’s Dumplings di pusat beli-belah, di mana lokasi terkini akan dikemas kini di laman Instagram mereka.

[ο] Harga Kuih Cang

– Ayam: Satu keping, $4.50; tiga keping, $13

– Ayam pedas: Satu keping, $5; tiga keping, $14

– Daging: Satu keping, $5; tiga keping, $14

– Daging pedas: Satu keping, $5.50; tiga keping, $15

– Nyonya: Satu keping, $5; tiga keping, $14

[ο] Harga Ladu

– Ladu ayam: 15 keping, $14

– Ladu daging: 15 keping, $15

– Ladu ayam dan udang: 15 keping, $16

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg