Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lagu Raya sentuhan S’pura terus bergema

Yang lama malar segar, yang baru ikut cita rasa orang muda
Mar 23, 2025 | 5:30 AM
Penyanyi lagu Raya malar segar dari kiri Allahyarham A. Ramlie, Maria Bachok dan Sanisah Huri.
Penyanyi lagu Raya malar segar dari kiri Allahyarham A. Ramlie, Maria Bachok dan Sanisah Huri. - Foto ihsan MARIA BACHOK

Lagu Hari Raya dengan sentuhan khas Singapura terus bergema, dengan lagu klasik dianggap sebagai malar segar, dan lagu baru menarik minat generasi muda, kata pemain industri.

Banyak lagu Raya yang kekal popular dan sehingga kini dimainkan di corong-corong radio dicipta dan dipersembahkan oleh artis Singapura dari generasi terdahulu.

Daripada vokal merdu Mahani Mohamad, Junainah M. Amin, Maria Bachok dan Rahimah Rahim, kepada suara bergema Halil Chik dan Othman Hamzah – kemudian beralih pula ke pengaruh rok yang diterajui Ramli Sarip dan Jatt Ali, artis-artis itu membuka jalan dan menetapkan piawaian tinggi untuk muzik Raya yang masih diminati pendengar.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini ramai artis baru Singapura muncul dengan lagu Raya dan tahun ini Diana Nazyra, Hyrul Anuar serta Iman Fandi cuba menembusi carta ‘evergreen’ dengan lagu Raya mereka yang berentak lebih rancak.

Apa membuat sesebuah lagu itu ‘evergreen’ atau malar segar?

Penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan, berkata melodi menarik dan lirik yang menyentuh perasaan (tidak kira sedih atau gembira) adalah antara resipi penting untuk sebuah lagu berjaya.

Penyanyi veteran Singapura, Othman Hamzah, yang kini menetap di Shah Alam, Selangor, teruja lagu Rayanya ‘Gembira Bersama di Hari Raya’, yang dirakam pada 1979, masih diputarkan walaupun usia lagu itu sudah 46 tahun.

“Apabila dimainkan di radio, terngiang-ngiang saya kepada memori dan kenangan manis sewaktu rakaman lagu itu,” katanya kepada wartawan.

Juara ‘Singapore Idol’ Taufik Batisah dan Hady Mirza akhirnya berjaya memecahkan ‘kemarau’ lagu Raya asal Singapura dengan lagu mereka, ‘Kenangan di Hari Raya’, pada 2011.

Ini merupakan satu pencapaian mengejutkan, namun begitu, Taufik berkata persaingan semakin sengit kerana sesebuah lagu yang hebat tidak semestinya mendapat perhatian, apatah lagi mendapat status ‘evergreen’ yang diharapkan.

“Beberapa faktor memainkan peranan dan ia tidak semudah dulu untuk menembusi pasaran. Sekarang ada banyak wadah untuk penyanyi menonjolkan lagu mereka. Selain lagu baik, artis sekarang perlu lebih kreatif dengan cara persembahan melalui media sosial, sejajar perubahan zaman dan keinginan pendengar sekarang,” ujar Taufik.

Seorang lagi veteran Mahani Mohd yang merakamkan lagu ‘Ramwong’ bersama Allahyarham Alias Kadir berkata lagu-lagu baru tidak mudah dijiwai, dan lagu lama tetap ada tempat di hati pendengar.

“Lagu-lagu baru bukan tak boleh bertahan lama, cuma pada pandangan saya, ia sukar dijiwai, mungkin kerana saya ‘old school’.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg