Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis zaman kini teruja beri sentuhan moden kepada lagu Raya

Meski perkenal irama moden, tetap kekalkan unsur tradisional untuk tarik minat generasi baru
Mar 23, 2025 | 5:30 AM
Taufik Batisah, Iman Fandi, Diana Nazyra dan Hyrul Anuar kongsi pendapat tentang evolusi lagu Raya yang kini semakin moden.
Taufik Batisah, Iman Fandi, Diana Nazyra dan Hyrul Anuar kongsi pendapat tentang evolusi lagu Raya yang kini semakin moden. - Foto-foto BH oleh NUR DIYANA TAHA dan KHALID BABA

Hari Raya bukan hanya perayaan setelah sebulan berpuasa.

Bagi ramai individu, ia juga satu perjalanan emosi yang diiringi melodi klasik dan lagu yang menggamit kenangan.

Dari era Tan Sri P. Ramlee dan Saloma hingga ke artis masa kini termasuk dari Singapura seperti Hyrul Anuar, Iman Fandi dan Taufik Batisah, muzik Hari Raya terus berevolusi, mencerminkan perubahan budaya dan selera generasi.

Nama seperti P. Ramlee, Saloma, Sharifah Aini, Sanisah Huri dan Datuk Dr M. Nasir, sinonim dengan lagu-lagu Hari Raya yang kekal malar segar.

Lagu-lagu seperti Dendang Perantau dan Selamat Hari Raya tidak sahaja menghiburkan, tetapi membawa makna mendalam bagi mereka yang berjauhan daripada keluarga.

Bagi penyanyi Hyrul Anuar, 39 tahun, lagu-lagu lama Hari Raya ini mempunyai daya tarikan emosi yang kuat.

“Muzik klasik Hari Raya membawa perasaan nostalgia yang sukar digantikan.

“Ia mengingatkan kita kepada zaman kanak-kanak, suasana berkumpul bersama keluarga dan detik-detik indah di pagi Syawal,” kata Hyrul, yang telah mengeluarkan lagu Raya 2025, berjudul Gara-Gara Raya.

Diana Nazyra, 44 tahun, komposer dan guru vokal, turut berkongsi pandangan serupa.

“Sebagai komposer, saya mahu anak-anak muda menghargai lagu-lagu klasik, irama tradisional dan unsur kemelayuan agar ia kekal malar segar dan tidak akan lapuk ditelan zaman,” ujar Diana, yang juga telah mengeluarkan lagu Dansa Raya sempena Hari Raya 2025.

Generasi baru dan inovasi muzik Raya

Walaupun lagu tradisional mempunyai tempat istimewa, artis muda kini bereksperimen dengan bunyi moden untuk menarik minat generasi baru.

Hyrul berkongsi: “Lagu-lagu Raya moden kini masih mengekalkan unsur tradisional.

“Contohnya, (dalam lagu) Gara-Gara Raya, saya menggunakan seruling untuk membangkitkan aspek tradisional.”

Iman Fandi, 24 tahun, yang baru sahaja melancarkan lagu Raya pertamanya, Hari Raya Raya Raya, menekankan kepentingan menggabungkan unsur lama dan baru.

“Lagu Raya yang menggabungkan elemen moden dan klasik akan lebih bermakna dan menarik untuk semua generasi,” katanya.

Idola Singapura pertama Singapura, Taufik Batisah, 43 tahun, bersetuju, sambil memberi contoh kejayaan lagu Raya moden Meriah Lain Macam oleh Hael Husaini.

“Lagu itu mempunyai gaya baru dan susunan yang sangat menarik. Mereka gunakan perbualan dan lirik berulang, menjadikannya mudah diingati.

“Ini adalah perkembangan muzik, dan hakikat bahawa mereka mencipta lagu Raya dalam format yang sama seperti lagu pop, bagi saya, ia sesuatu yang segar,” ulas Taufik, yang pernah menghasilkan lagu Raya, Kenangan Di Hari Raya, pada 2011 bersama Hady Mirza.

Cabaran cipta lagu Raya moden

Mencipta lagu Raya malar segar dan relevan bukanlah tugas mudah.

Taufik berkongsi: “Pada zaman sekarang, sangat sukar untuk mencipta lagu klasik.

“Kebanyakan lagu dicipta untuk menjadi tular, popular seketika dan kemudian dilupakan. Tetapi bagi saya, lagu Raya sepatutnya mempunyai nilai malar segar.”

Hyrul turut berkongsi cabarannya.

“Kalau lagu itu terlalu tradisional, mungkin generasi muda tak minat.

“Kalau terlalu moden, lagu itu mungkin hilang identiti Raya. Jadi, kena cari keseimbangan,” ujar Hyrul.

Cabaran ini bukan sahaja melibatkan aspek muzikal, tetapi juga pemasaran.

Dengan kemunculan platform digital seperti TikTok, artis perlu memastikan lagu mereka menarik dari segi muzik dan sesuai untuk dijadikan kandungan tular.

Muzik Raya dan media sosial

Dalam era pendigitalan ini, platform media sosial seperti TikTok telah menjadi alat yang sangat berkesan untuk mempromosikan muzik.

Diana melihat platform digital sebagai pemacu utama dalam memperkenalkan muzik Hari Raya kepada khalayak lebih luas.

Kesan platform seperti TikTok dan media sosial memang lebih hebat berbanding zaman dulu, hanya televisyen, radio dan akhbar yang banyak mempromosikan sebuah lagu,” katanya.

Dengan kemunculan muzik digital, muzik Raya kini bukan sahaja boleh dinikmati dalam format tradisional tetapi juga dalam bentuk remix, video muzik interaktif dan cabaran media sosial yang menjadikannya lebih inklusif.

Mengulas kepentingan strategi media sosial, Taufik berkata:

“Tarikan utama lagu itu itu mesti sesuai dengan format TikTok atau Instagram, sama ada 60 atau 90 saat.

“Untuk TikTok, perlu ada unsur skit supaya orang boleh menggunakannya dan mengulanginya bersama rakan-rakan mereka.”

Taufik kemudian memberikan contoh lagu Raya Meriah Lain Macam, yang telah menjadi tular kerana ramai yang turut menyertai membuat video sendiri menggunakan pencontoh video asal.

Kesinambungan tradisi dalam evolusi

Walaupun muzik Hari Raya mengalami perubahan dari segi bunyi dan gaya, inti patinya tetap sama – menghidupkan semangat Syawal.

Bagi peminat muzik lama atau baru, lagu-lagu Hari Raya akan terus menjadi sebahagian penting dalam perayaan, menghubungkan generasi dan membangkitkan rasa kebersamaan.

Selain menerapkan bunyi seruling dalam lagunya, Hyrul berkata beliau turut menyelitkan unsur budaya Melayu yang lain.

“Saya selitkan perkataan seperti cekak musang, teluk belanga dalam lirik lagu untuk timbulkan rasa ingin tahu generasi muda tentang pakaian tradisional Melayu,” ujarnya.

Bagi Diana, muzik Hari Raya adalah alat perpaduan.

“Lagu-lagu Raya, sama ada yang klasik atau moden, menghidupkan semangat kebersamaan. Yang penting, semua dapat bersatu, bermaaf-maafan dan berhimpun,” kata Diana.

Iman pula melihat muzik sebagai penghubung emosi, terutama bagi mereka yang tidak dapat beraya bersama keluarga.

“Bagi saya, Hari Raya bukan hanya tentang tradisi, tetapi juga perasaan yang dibawa oleh muzik.

“Walaupun keluarga saya tidak dapat meraikan Raya bersama sejak 2018 kerana jadual yang bertembung, lagu-lagu Raya tetap mengingatkan saya pada detik-detik kami bersama.”

Menurut Hyrul, lagu-lagu Raya berperanan sebagai penghubung antara generasi, menyampaikan mesej tentang nilai kekeluargaan dan kebersamaan.

Seperti kata Taufik: “Lagu Raya yang baik bukan sahaja untuk hari ini, tetapi untuk esok dan selamanya. 

“Jadi, biarlah muzik Raya terus hidup, menghubungkan kita dengan kenangan lama dan mencipta kenangan baru untuk generasi seterusnya.”

Iman menambah: “Lagu Raya adalah tentang mencipta kenangan. Biarpun zaman berubah, ia tetap menjadi sebahagian daripada identiti kita sebagai sebuah keluarga dan masyarakat.”

“Sebagai komposer, saya mahu anak-anak muda menghargai lagu-lagu klasik, irama tradisional dan unsur kemelayuan agar ia kekal malar segar dan tidak akan lapuk ditelan zaman.”
Diana Nazyrah.

“Kalau lagu itu terlalu tradisional, mungkin generasi muda tak minat.  Kalau terlalu moden, lagu itu mungkin hilang identiti Raya. Jadi, kena cari keseimbangan.”
Hyrul Anuar.

“Lagu Raya yang menggabungkan elemen moden dan klasik akan lebih bermakna dan menarik untuk semua generasi.”
Iman Fandi.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg