Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siti minta maaf, silap promosi produk nikotin terlarang

Feb 25, 2025 | 3:30 PM
Datuk Seri Siti Nurhaliza terbuka menerima teguran orang ramai dan wadah ‘Public Health Malaysia’ (Kesihatan Awam Malaysia) agar beliau tidak mempromosi produk berasaskan nikotin di laman media sosialnya.
Datuk Seri Siti Nurhaliza terbuka menerima teguran orang ramai dan wadah ‘Public Health Malaysia’ (Kesihatan Awam Malaysia) agar beliau tidak mempromosi produk berasaskan nikotin di laman media sosialnya. - Foto INSTAGRAM CTDK

Bukan sengaja produk berasaskan nikotin diuar-uarkan di media sosial.

Demikian penjelasan penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, ketika meminta maaf sekali gus mengakui khilafnya.

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Siti, 46 tahun, menjelaskan segalanya merupakan kesilapannya kerana tidak menyelidik dan mengetahui mengenai produk berkenaan.

“Maaf atas khilaf saya mengenai produk yang saya masukkan di hantaran IG saya sebelum ini.

“Saya sedar ini adalah khilaf saya tanpa menyelidik atau mengetahui sepenuhnya mengenai produk tersebut,” tulisnya pada hantaran berkenaan, lapor laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).

Dalam pada itu, Siti mengucapkan terima kasih di atas teguran orang ramai dan memaklumkan sudah memadamkan hantaran berkenaan di media sosial.

“Terima kasih atas teguran, pemberitahuan dan memaklumkan hal ini kepada saya.

“Saya sudah memadamkan hantaran tersebut dan terima kasih sekali lagi atas teguran yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, Siti memuat naik hantaran mempromosikan produk nikotin yang dipanggil, Nicotine Pouch, sehingga menerima teguran daripada banyak pihak.

Produk berbentuk empat segi bujur itu persis kantung kecil yang mengandungi serbuk daun tembakau yang diletakkan di bawah bibir agar lama-kelamaan menimbulkan rasa enggan merokok lagi.

Laman web, mStar Online, pula melaporkan wadah kesihatan awam Malaysia, atau Public Health Malaysia (PHM), tampil mengulas mengapa produk tersebut tidak boleh dipromosikan kepada umum.

Walaupun produk ini tidak menghasilkan asap seperti rokok, ia tetap mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan serta memberi kesan pada jantung dan sistem saraf.

Sebagai tokoh yang mencetus inspirasi kepada ramai, sebarang promosi yang Siti buat mungkin boleh mempengaruhi golongan muda untuk mencuba.

Nicotine Pouch itu juga bukan produk berdaftar bagi rawatan menangani ketagihan nikotin.

Malahan, import dan jualan produk itu di Malaysia adalah dilarang.

Ia turut melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Sebarang promosi produk itu bercanggah dengan akta tersebut dan boleh membawa pada tindakan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg