KUALA LUMPUR: Setiap manusia pasti memiliki impian sebelum ‘tutup mata’. Begitu juga penyanyi popular era 1980-an, Zaiton Sameon.
Pada usia 69 tahun, hasrat terakhir pelantun lagu Menaruh Harapan itu mahu menghasilkan ‘single’ baru.
Zaiton, yang juga Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi pertama pada 1987, bertuah kerana impiannya bakal direalisasikan pemilik I’Dahlia Corner, Dahliati Aliruddin berhasrat menaja pembikinan single berjudul Reda.
Reda adalah ciptaan komposer terkenal, Allahyarham A Ali dan penulis lirik, Datuk Habsah Hassan yang sudah empat tahun terbengkalai pembikinannya.
Berita gembira itu diumumkan Dahliati ketika majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada Zaiton dan anak-anak yatim dari Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Keramat, pada 18 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.
“Saya bersyukur kerana sebelum ‘tutup mata’ ada juga insan yang sanggup taja ‘single’ Reda. Lagu ini adalah karya ciptaan terakhir Allahyarham A Ali sebelum meninggal dunia.
“Ketika dapat ‘single’ ini, muziknya kosong berserta lirik nukilan Habsah. Tak lama kemudian arwah A Ali meninggal dan lagu Reda tak sempat dirakamkan.
“Kemudiannya, adik angkat, Syed Yusof Wafa, mengubah sedikit muzik untuk memberi sentuhan kepada lagu ini.
“Saya berterima kasih kepada penyanyi Elveena Iris yang bantu dapatkan tajaan RM12,000 ($3616) untuk menyiapkan pembikinan ‘single’ Reda yang bakal diterbitkan komposer, Bell Fatah.
“Lagu ini cukup menyentuh hati sebab liriknya menggambarkan perasaan saya yang merindui arwah anak, Allahyarham Azirwan Abu Bakar, yang meninggal dunia dalam nahas di Batang kali, Selangor pada 21 Februari 1990,” katanya.
Mengulas mengenai video muzik, ia bakal ditaja oleh pengarah video muzik, Zulkifli Mat Rawi atau Bob.
Majlis turut dihadiri Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dat Malaysia (DPDDM), Datuk Seri Nor Hasnal Hashmi, dan timbalannya, Datuk Shahzelan.
Pada majlis itu, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan artis seperti Datin Ramziela, Elveena Iris, Zur Eda dan Azura Aziz.
Sementara itu, Dahliati berkata majlis diadakan sempena meraikan anak-anak yatim dan menghulurkan sumbangan kepada Zaiton.
“Saya dengar Zaiton ada cakap nak rekod satu lagu sebelum tutup mata. Hati cukup tersentuh bila mendengarnya dan itu membuatkan saya berniat nak merealisasikan hasrat Zaiton ini.
“Apa salahnya berkongsi rezeki. Lagipun, saya memang peminat tegar Zaiton. Bila ke karaoke saya suka menyanyikan lagu Menaruh Harapan.
“Kalau tak ada halangan, rakaman ‘single’ akan dimulakan selepas Aidilfitri ini. Selain Zaiton, saya juga pernah membantu To’ki dengan memberi peluang kepadanya menyanyi di restoran, setiap malam,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg