Kasihan nasib pelakon dan pelawak Lan Pet-Pet.
Beliau sudah bersemangat nak meniaga Beriani Paipon tetapi periuk belanganya semua dicuri menjelang satu acara yang bakal dijayakan.
Dalam satu video yang dimuatnaikkan di Instagram, Lan atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad, 54 tahun, berkongsi nasib malangnya.
“Tak tahu nak cakap macam mana. Periuk, belanga kami nak buat persiapan untuk buat Beriani Paipon semua telah dicuri. Terima kasih ya Allah, Kau beri kami kekuatan,” katanya.
Laman Harian Metro melaporkan beliau dikatakan sudah bersiap untuk berniaga di Kulim, Kedah, pada 19 hingga 25 Februari tetapi terganggu apabila peralatan untuk memasak dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Lan, bagaimanapun, berjanji akan tetap berada di karnival makanan terbabit dan menyediakan masakannya kepada pengunjung nanti.
“Saya berdoa kepada Allah swt permudahkanlah Nasi Beriani Paipon Uncle Lan. Orang Kulim, saya janji saya akan tunaikan tapi kamu tolong berdoa untuk saya dan kru saya.
“Sebab saya dah buat persediaan untuk orang Kulim tapi Allah uji kami. Doa kamu itu insya-Allah, Nasi Beriani Paipon akan sampai ke tangan kamu,” katanya.
Tidak lupa Lan turut memohon doa kepada Allah agar merahmati perniagaan yang dijalankan serta memberikan kekuatan buat mereka berdepan dengan ujian itu.
Di ruangan komen pula, ramai selebriti, antaranya, Didie Alias dan Yassin Senario serta peminat meminta Lan Pet-Pet tabah serta terus dimurahkan rezeki.
Lan Pet-Pet yang dihubungi berkata kecurian itu membabitkan periuk besar bersaiz 90 sentimeter, sebanyak tiga unit yang diletakkan di kedai di Alor Setar, Kedah.
“Kedai tutup kerana saya dan pasukan saya pergi berniaga di Kuantan. Setiap periuk berharga RM1,200 ($336.85). Kami dah buat laporan polis.
“Barang lain yang dicuri ialah motor mesin kacau kuah, kabel dan pelbagai lagi. Anggaran nilai kecurian lebih RM10,000.
“Yang saya ‘down’ sangat, semalam saya nak ambil periuk kerana nak mula berniaga di Kulim. Tengok-tengok periuk semua tiada,” katanya dengan nada sebak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg