Seramai 251 peserta bakal menyertai pelayaran ‘Cruise Healing’ anjuran Berita Harian (BH) buat julung kalinya, iaitu dua kali ganda melebihi bilangan yang dijangkakan.

Pelayaran selama tiga hari dua malam itu akan berangkat dari Singapura menuju ke Melaka pada 26 April, menyediakan peluang bagi golongan pembaca BH untuk mencari kembali ketenangan diri dan menyegarkan semula jiwa serta rohani setelah sebulan menyambut Hari Raya.

Usaha ini merupakan sebahagian usaha ruangan pelancongan dalam Berita Minggu, Kaki Jalan, untuk mendekati pembaca melangkaui ruang akhbar.

Mengulas, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata beliau berbesar hati dengan “sambutan luar biasa” yang diberikan terhadap program ini.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BH untuk mendekati pembaca melalui pelbagai tonggak kandungan gaya hidup, seperti ruangan Kaki Jalan.

“Kami berharap acara seumpama ini dapat memperkukuh ukhuwah antara BH dengan masyarakat, sekali gus menawarkan pengalaman yang bermakna buat pembaca setia kami,” kata Encik Nazry.

Sepanjang pelayaran atas kapal Genting Dream itu, peserta akan dihiburkan oleh penyanyi yang juga pelakon, pengacara dan pelawak dari Malaysia, Elly Mazlein, atau lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom.

Beliau akan berganding bersama personaliti terkenal Singapura, Suhaimi Yusof.

Kak Lina akan beramah mesra dengan penumpang dan turut membuat persembahan dengan menyampai beberapa lagu.

Pelayaran itu akan juga disertai mantan Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Dr Hannan Hassan, yang akan bersembang bersama penumpang dalam tazkirah pagi dengan pengisian kerohanian di bawah bintang.

Genting Dream akan berlabuh berdekatan bandar Melaka, yang menawarkan pemandangan indah landskap dan pantai.

Penumpang yang turun dari kapal boleh menikmati perjalanan singkat menaiki bot tender melalui Sungai Melaka ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Dari situ, penumpang hanya perlu berjalan sekitar 15 minit untuk ke beberapa daya tarikan Melaka yang berdekatan, seperti Jonker Street untuk membeli-belah.

ATUR CARA

Hari pertama:

- Acara pengenalan oleh Suhaimi Yusof, Ustaz Hannan Hassan, dan Kak Lina Pom Pom setelah makan malam

Hari Kedua:

- Sesi renungan diri bersama Ustaz Hannan Hassan

- Jalan-jalan di sekitar Melaka bersama Kak Lina Pom Pom, Suhaimi Yusof dan Ustaz Hannan Hassan

- Sesi hiburan ‘Melodi Santai’ yang menampilkan dendangan lagu oleh Kak Lina Pom Pom serta sesi permainan

Hari Ketiga:

- Sesi pagi bersama Ustaz Hannan Hassan