Umur kedua-duanya baru enam tahun, tetapi pemikiran mereka sudah melangkaui usia.
Mohamed Azhari Mohamed Azri dan Jude Huang Jun Rong baru-baru ini menghasilkan idea bagi satu alat prototaip yang bertujuan membantu warga emas mengesan barang yang sering hilang.
Idea di sebalik prototaip (model pertama yang dibina bagi menghasilkan sesuatu) itu membolehkan pengguna mengesan barang hilang melalui aplikasi telefon, sama ada ia berada berhampiran atau jauh dari mereka.
Azhari dan Jude merupakan murid Tadika 2 (K2) daripada prasekolah PCF Sparkletots di cawangan Kembangan yang terletak di Blok 116, Lengkong Tiga.
Mereka mendapat idea untuk menghasilkan prototaip itu selepas beberapa rakan sekelas menjalankan tinjauan dan mendapati 13 daripada 14 warga emas kerap hilang barang penting seperti kunci, dompet, atau ubat.
Menurut Azhari dan Jude, prototaip itu yang digelar, HelpTag, direka bukan sahaja untuk mengurangkan masa mencari barang yang hilang, malah turut memberi ketenangan kepada penjaga dan keluarga, sambil membolehkan pengguna kekal berdikari.
Reka bentuk prototaip mereka baru-baru ini dipamerkan di acara pelancaran ‘Future Ready Fair 2025’ anjuran PCF Sparkletots di Hab HDB di Toa Payoh pada 20 September.
“Kami mahu membantu warga emas supaya mereka tidak kehilangan barang penting.
“Jika mereka boleh jumpa barang mereka dengan cepat, mereka akan rasa senang hati,” jelas Azhari.
HelpTag terdiri daripada dua komponen – pelekat dilengkapi dengan lampu dan pembaz atau ‘buzzer’, serta aplikasi telefon yang disambung kepada Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).
Jude menerangkan bahawa pelekat itu mudah alih, ringan dan boleh dilekatkan pada mana-mana barangan.
Apabila pelekat didaftarkan dalam aplikasi telefon menggunakan GPS, lampu LED pada pelekat akan menyala hijau jika ia berhampiran dengan pengguna.
Sekiranya barang itu hilang atau sangat jauh daripada pengguna, lampu LED akan berkelip merah manakala pembaz akan berbunyi tiga kali, dan akan berterusan sehingga barang tersebut ditemui.
“Pelekat itu akan berkelip dan berbunyi, jadi lebih mudah untuk warga emas mencari barang yang hilang itu walaupun ia sangat jauh,” terang Jude.
Menurut guru mereka, Cik Leanna Apolonio, proses menghasilkan HelpTag – daripada peringkat sumbang saran hingga memotong dan menampal pelbagai komponen – mengambil masa kira-kira enam bulan dari Februari hingga Jun.
Sepanjang proses itu, Azhari dan Jude mempertimbangkan beberapa reka bentuk yang berbeza sebelum memutuskan untuk memilih reka bentuk terkini.
Azhari bertanggungjawab melakarkan reka bentuk pelekat dan aplikasi HelpTag di kertas, manakala Jude memotong dan menyusun prototaip menggunakan gam, kertas dan lampu LED.
“Saya suka melukis dan mencipta sesuatu yang baru. Saya suka melukis apa sahaja yang saya suka,” ujar Azhari sambil mengukir senyuman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg