Penceroboh bersiri yang menerpa pelakon dan penyanyi antarabangsa, Ariana Grande semasa tayangan perdana filem di Universal Studios Singapore (USS) di Sentosa, dijatuhkan hukuman penjara sembilan hari pada 17 November.
Warganegara Australia, Johnson Wen, 26 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan menyebabkan gangguan awam.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Wen tiba di Singapura pada 11 November dengan pas lawatan sosial 90 hari untuk menghadiri tayangan perdana filem dan untuk bercuti.
Dia menyebabkan kekecohan semasa tayangan perdana Wicked: For Good pada 13 November dengan menerpa ke arah Grande, yang membintangi filem tersebut.
Mahkamah diberitahu bahawa Wen melompat pagar penghadang ketika barisan pelakon sedang berjalan di atas karpet kuning antara 7 malam dan 7.10 malam pada 13 November.
Apabila dia sampai dekat dengan Grande, dia memeluk erat pelakon itu sambil melompat-lompat.
Wen dihalang oleh Cynthia Erivo, rakan pelakon Grande, yang memaksa dirinya untuk berada di antara mereka, sementara pengawal keselamatan menahan Wen.
Selepas dibawa pergi, Wen kembali semula untuk cuba melompat pagar penghadang buat kali kedua, tetapi telah dipegang erat oleh pihak keselamatan.
Lewat malam itu, Wen memuat naik video insiden tersebut di akaun Instagram dan TikToknya dengan kapsyen: “Dear Ariana Grande, Thank you for letting me jump on the yellow carpet with you” (Ariana Grande yang dihormati Terima Kasih kerana membenarkan saya melompat di karpet kuning bersama anda).
Wen telah ditahan di sekitar Temple Street kira-kira tengah malam pada 14 November, dan didakwa pada hari yang sama. Dia telah ditahan reman sejak itu.
Wen dikenali kerana mengganggu beberapa acara antarabangsa seperti konsert Katy Perry di Sydney pada Jun, dan perlumbaan akhir 100m lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara seminggu untuk Wen, menyatakan bahawa dia adalah “penceroboh berulang” dan telah memuat naik video insidennya untuk menghebahkan kelakuan jenayahnya bagi mendapatkan perhatian.
Fakta bahawa dia adalah peminat filem dan ahli-ahli pelakon tidak seharusnya dianggap sebagai faktor yang meringankan hukuman, tambah Timbalan Pendakwa Raya, Cik Jane Lim.
Apabila ditanya oleh hakim sama ada dia mempunyai apa-apa yang ingin dikatakan sebagai mitigasi, Wen berkata: “Saya tidak akan melakukannya lagi, Yang Arif.”
Sebagai respons, hakim bertanya : “Adakah anda bercakap kosong atau adakah ini niat sebenar anda?”
Wen menjawab: “Ya, saya akan berhenti.”
Bagi kesalahan menyebabkan gangguan awam, pesalah boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga $2,000 atau kededuanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg