Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Linda Hashim dakwa Beego sengaja lambatkan cerai kerana isu nafkah

Dec 17, 2025 | 3:45 PM
Linda Hashim, beego, cerai
Pelakon Linda Hashim mendakwa isu nafkah menjadi punca kes perceraian beliau dan suami, Beego, berlarutan hampir setahun. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Pelakon Linda Hashim meluahkan rasa ralat apabila suaminya, Beego, tidak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pada 16 Disember bagi prosiding pengesahan lafaz taklik dan perceraian.

Linda, atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41 tahun, mendakwa Beego menggunakan alasan kematian anggota keluarga bagi mengelak daripada menghadiri prosiding berkenaan.

“Saya ada bukti mengenai keberadaannya. Dia memaklumkan tidak hadir kerana berlaku kematian, sedangkan kematian itu berlaku semalam dan pengebumian juga dibuat malam tadi.

“Hari ini sebenarnya dia masih boleh hadir.

“Mungkin dia hanya menggunakan alasan kematian. Namun, tidak mengapa. Allah Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada Allah dan berharap perjalanan ini berakhir dengan pengakhiran yang baik, insya-Allah,” katanya ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata tersebut mendakwa Beego sengaja melambatkan proses perceraian mereka kerana mahu mengetahui terlebih dahulu jumlah tuntutan nafkah anak-anak, nafkah idah dan mutaah yang bakal difailkan olehnya.

“Saya baru dimaklumkan oleh peguam defendan bahawa dia tidak mahu melepaskan saya kerana mahu melihat terlebih dahulu fail tuntutan nafkah dan mutaah saya, termasuk perkara berkaitan kewangan.

“Jika dia bersetuju, dia akan melafazkan cerai. Jika tidak, kemungkinan besar kes ini akan terus digantung atau ditangguhkan lagi.

“Saya rasa dia bimbang mengenai nafkah idah, nafkah anak-anak dan segala perkara berkaitan wang.

“Dia juga menggunakan kuasa sebagai suami untuk menggantung kes ini selagi belum mengetahui jumlah yang saya tuntut,” katanya.

Bagaimanapun, Linda menegaskan, buat masa ini, tumpuan utamanya bukan kepada tuntutan nafkah, sebaliknya mahu prosiding perceraian diselesaikan dengan segera, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Katanya, beliau mengharapkan Beego dapat memberikan kerjasama memandangkan kes itu sudah berjalan hampir setahun sejak permohonan perceraian difailkan pada Januari lalu.

“Ada kes lain yang berlarutan lama, tetapi saya tidak menyangka kes saya akan menjadi sepanjang ini. Hubungan saya dan Beego sebenarnya baik, termasuk di hadapan anak-anak.

“Kami tidak pernah bermasalah secara terbuka, tetapi saya tidak sangka perkara ini berlaku di belakang saya.

“Hari ini saya sedar, sudah hampir setahun saya berada di sini. Saya lihat kes orang lain boleh diselesaikan dengan mudah dan cepat.

“Namun, saya yakin kesabaran ini ada ganjarannya. Mungkin Allah sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik buat saya.

“Lebih banyak saya bersabar, lebih banyak ganjaran yang Allah berikan,” katanya.

Sejak Januari lalu, rumah tangga Linda dan Beego, atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45 tahun, menjadi perhatian ramai apabila pelakon wanita berkenaan memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan itu pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun rujuk semula pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah serta hak penjagaan tiga anak mereka.

Linda mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, sebelum kembali bersama tidak lama selepas itu.

Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11 tahun, Anggun Cassandra, 10 tahun, dan Indah Camelia, 6 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg