Mantan anggota kumpulan lelaki K-pop NCT, Lucas, telah memuat naik ke saluran YouTube dokumentari berjudul, Lucas Documentary Part 1 Freeze, lantas menggambarkan kemungkinan beliau bakal kembali sebagai artis solo.
“Saya selalu berada di rumah.
“Saya menonton televisyen, makan dan kadang-kadang melawat agensi saya (SM Entertainment).
“Tiada apa jua yang istimewa,” katanya dalam dokumentari itu, memberikan perkembangan terkini tentang kehidupannya selepas meninggalkan kumpulan itu pada Ogos 2021.
“Saya pernah mempunyai perwatakan yang hanya berasa saya sahaja betul. Saya menganggap dunia ini sangat ‘kecil’ malah masih bertindak seperti saya tahu segalanya.
“Sekarang, saya lebih mendengar (kata-kata) orang lain dan tidak banyak bercakap. Antara sebab mengapa saya berubah adalah kejadian sebegini,” kata Lucas.
Lucas dilanda beberapa kontroversi yang melibatkan kehidupan peribadinya apabila beliau menghentikan segala kegiatannya sebagai artis.
Pada Ogos 2021, bekas teman wanitanya mendakwa bahawa beliau telah menipunya semasa mereka berpasangan.
Hubungan tersebut diibaratkan seperti ‘gaslighting’ atau perdayaan mental iaitu situasi di mana seseorang dimanipulasi untuk mempersoalkan takrifan sendiri tentang hakikat sebenar.
Pendedahan itu menyusuli beberapa kenyataan wanita lain yang mendakwa Lucas mempunyai hubungan sulit dengan beberapa peminat wanita dan telah meminta mereka pelbagai hadiah mewah dan tempahan hotel.
Lucas mengakui kesalahannya dengan mengeluarkan surat permohonan maaf lantas meninggalkan NCT.
“Anggota kumpulan saya kecewa dengan saya. Saya rasa bersalah.
“Banyak kenangan kami yang dikongsi bersama. Saya ingin juga kekal bersama mereka.
“Saya tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Saya telah mengubah cara pemikiran saya dan mengakui ciri negatif saya,” ujar Lucas dalam klip selama 22 minit itu.
Dalam dokumentari tersebut, Lucas bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SM Entertainment, Lee Sung-soo, bagi memberitahu tentang keinginan beliau kembali bekerja semula.
“Saya bergelut dengan keadaan yang susah sejak dua tahun lalu dan tidak mahu terus hidup seperti ini.
“Saya mahu kembali bekerja. Saya bimbang sama ada saya masih mempunyai peminat kerana sudah lama tidak berdepan dengan mereka,” tambah Lucas.
Lucas turut membuka akaun X (dahulu Twitter) pada 21 Februari.
Beliau telah memperolehi lebih 246,000 pengikut lima hari selepas itu pada 26 Februari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg