Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lulusan NUS singkap pengalaman bantu warga Kemboja

Kerja sukarelawan ubah perspektif kehidupan tatkala lihat keadaan penuh cabaran
Oct 16, 2024 | 5:30 AM
Cik Syasya Nadia Umairah Suhirwan (depan, kanan), 23 tahun, mengendalikan expedisi sukarela di Kemboja antara 20 Jun dengan 2 Julai 2023, untuk membantu kanak-kanak dan masyarakat yang memerlukan.
Cik Syasya Nadia Umairah Suhirwan (depan, kanan), 23 tahun, mengendalikan expedisi sukarela di Kemboja antara 20 Jun dengan 2 Julai 2023, untuk membantu kanak-kanak dan masyarakat yang memerlukan. - Foto ihsan SYASYA NADIA UMAIRAH

Seperti peribahasa yang berbunyi ‘berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’, begitulah kesan pengalaman yang diraih oleh siswazah dalam bidang kejururawatan dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Syasya Nadia Umairah Suhirwan, 23 tahun, dalam satu pembelajaran perkhidmatan di Kemboja pada 2023.

Antara 20 Jun dengan 2 Julai 2023, Cik Syasya, selaku Direktor Projek bagi expedisi itu serta 25 anggota lain dalam Project ASA Ignite melancarkan kegiatan sukarelawan untuk membantu masyarakat yang memerlukan di Kemboja.

Project ASA Ignite merupakan sebuah Projek Penglibatan Luar Negara (OCIP) yang dikendalikan Persatuan Muslim Universiti Nasional Singapura (NUSMS) dan Projek Expedisi Belia (YEP) dengan kerjasama Emaan Catalyst Community (ECC).

Projek itu meraih geran sokongan Pasukan Belia Singapura (Youth Corps Singapore) atau YCS.

Ketika ditanya Berita Harian (BH) pada 2 Oktober melalui Zoom mengenai pengalamannya di Kemboja, Cik Syasya berkata:

“Sewaktu di Kemboja, kami pergi ke sebuah kampung yang terletak di Botum Sakor.

“Terdapat beberapa rumah di sana, namun penduduk perlu tunggu dalam jangka waktu yang tidak pasti untuk dapatkan tajaan bagi rumah-rumah di darat.

“Bagi penduduk yang belum dapatkan sebarang tajaan bagi rumah-rumah yang tersedia di darat, mereka buat sementara waktu itu, tinggal di dalam perahu.

Penduduk Botum Sakor yang tidak memiliki rumah di darat tinggal di dalam perahu sambil menunggu tajaan bagi rumah-rumah yang tersedia di kawasan kampung.
Penduduk Botum Sakor yang tidak memiliki rumah di darat tinggal di dalam perahu sambil menunggu tajaan bagi rumah-rumah yang tersedia di kawasan kampung. - Foto SYASYA NADIA UMAIRAH

“Dari pengamatan saya, terdapat lebih ramai penduduk yang tinggal dalam perahu daripada di darat. Hal ini terjadi kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membeli rumah.”

Bagi Cik Syasya, pengalaman itu mengubah pandangannya terhadap kehidupan tatkala melihat keadaan penduduk di Botum Sakor yang penuh dengan cabaran.

Keriangan kanak-kanak yang bermain di kawasan perkampungan meskipun tidak mempunyai rumah dan harus menempat di dalam perahu, mencerminkan kecekalan mereka dalam menempuh liku-liku kehidupan.

Di Botum Sakor, Cik Syasya dan 25 anggota Project ASA Ignite menyampaikan ilmu tentang kebersihan diri seperti memberus gigi dan cara mencuci tangan kepada kanak-kanak di semua peringkat umur.

Disebabkan halangan bahasa, Cik Syasya terpaksa menggunakan bahasa isyarat serta bantuan visual untuk memudahkan mereka memahami maklumat yang disampaikan oleh para sukarelawan.

Kanak-kanak di Botum Sakor juga menerima ‘hygiene bag’ atau beg kebersihan diri yang berisi alat keperluan seperti berus gigi, ubat gigi dan sabun yang telah disediakan.

“Seingat saya, kanak-kanak ini tidak pergi ke sekolah. Mereka hanya mendapatkan pendidikan secara tidak formal di masjid berdekatan dengan kampung mereka,” jelas Cik Syasya lagi.

Selain itu, Cik Syasya bersama pasukannya turut melancarkan beberapa kegiatan di Pusat Pendidikan Emaan (Azizah Sapari Branch) di Koh Khong seperti mengadakan kelas kemahiran dan celik huruf dalam bahasa Inggeris, menyusun tumbuhan terarium dan mengadakan hari sukan untuk mereka dari kampung air.

“Antara cabaran yang perlu kami hadapi adalah bahasa. Kami terpaksa bergantung kepada penterjemah kami untuk mengalihkan bahasa di kelas-kelas kami.

“Namun menariknya, kanak-kanak di Pusat Pendidikan Emaan sangat seronok ketika mempelajari perkara baru.

“Meskipun apa yang kami sampaikan sangat sederhana seperti aktiviti mengenalkan diri masing-masing, perkongsian hobi dan sebagainya, kanak-kanak ini menunjukkan semangat belajar dan penglibatan yang tinggi,” kongsinya.

Sukarelawan daripada Projek ASA Ignite berinteraksi dengan para pelajar dari Pusat Pendidikan Emaan di Azizah Sapari Branch melalui kelas kemahiran dan celik huruf dalam bahasa Inggeris.
Sukarelawan daripada Projek ASA Ignite berinteraksi dengan para pelajar dari Pusat Pendidikan Emaan di Azizah Sapari Branch melalui kelas kemahiran dan celik huruf dalam bahasa Inggeris. - Foto SYASYA NADIA UMAIRAH

“Kenangan paling manis yang tidak dapat saya lupakan di sana adalah sebaik sahaja kami turun dari bas, kanak-kanak dari Pusat Pendidikan Emaan akan berlari menemui kami,” singkap Cik Syasya.

Di tengah kesibukan kegiatan sukarela, Cik Syasya dan rakan-rakannya bernasib baik dapat menyaksikan dan menyertai upacara korban serta pengagihan daging kepada penduduk di kawasan kampung Chrak Romiet di Sekolah Antarabangsa Emaan.

Di bawah naungan Emaan Catalyst Community (ECC), Sekolah Antarabangsa Emaan merupakan usaha oleh pertubuhan tanpa untung di Singapura dan Kemboja untuk memberikan pendidikan sekolah rendah bermutu di kawasan kampung di Kemboja.

“Saya berasa seronok dapat merasakan suasana korban di Kemboja. Ia merupakan pengalaman yang sukar didapatkan di Singapura.

“Kami juga sangat teruja dapat berkenalan dan berinteraksi dengan masyarakat di sana secara lebih mendalam.

“Malah, anggota sukarelawan lelaki kami juga dapat menghadiri dan mendengar khutbah yang disampaikan dalam bahasa Kemboja. 

“Walaupun mereka tidak faham apa yang dikatakan, tetapi ia merupakan satu pengalaman berharga dapat merayakan Hari Raya Haji di negara asing,” jelasnya.

Menyentuh tentang renungannya setelah pulang dari lawatan ke Kemboja, Cik Syasya berkata:

“Pengalaman ini menerapkan semangat yang tinggi untuk saya terus berkhidmat dalam masyarakat dan menghulurkan bantuan jika perlu, terutama apabila kini saya bekerja sebagai pakar penjagaan kesihatan di Singapura.

“Bagi mereka yang ingin menyumbang kembali kepada masyarakat, mereka tidak semestinya harus ke luar negara. Kita boleh sahaja mulakan dengan niat dan usaha yang tekal dengan membantu masyarakat kita sendiri di Singapura,”

Untuk maklumat lanjut tentang Overseas Service Learning Expedition, boleh lungsuri laman web, https://www.emaancatalyst.org/expedition

“Pengalaman ini menerapkan semangat yang tinggi untuk saya terus berkhidmat dalam masyarakat dan menghulurkan bantuan jika perlu, terutama apabila kini saya bekerja sebagai pakar penjagaan kesihatan di Singapura.”
Cik Syasya Nadia Umairah Suhirwan, sukarelawan dan Direktor Projek dalam Projek ASA Ignite.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg