Gaun majlis resepsi jelitawan Indonesia, Luna Maya, 42 tahun, yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Maxime Bouttier, 32 tahun, baru-baru ini ternyata membawa makna yang cukup besar dan mendalam.
Pelakon filem ‘Suzzanna: Buried Alive’ itu telah bernikah dengan Maxime di sebuah pusat peranginan terkemuka di Bali, Indonesia, Como Shambala Estate, Desa Kedewatan, Ubud, Gianyar, pada petang 7 Mei.
Gaun berwarna biru berkenaan direka berserta sebuah lukisan wajah lelaki berusia yang sebenarnya Luna dedikasikan buat bapa tercintanya iaitu mendiang Uut Bambang Sugeng.
Mendapat sentuhan pereka fesyen Indonesia, Yefta Gunawan serta penata fesyen Astecat dan Bimo Permadi, Luna dikhabarkan ingin mengabadikan kenangan indah itu dengan memperingati bapanya.
Simbolik gaun terbabit adalah untuk merasai seperti kehadiran bapanya pada majlis cukup bahagianya itu, lapor Harian Metro.
Menjengah ke akaun Instagram Luna, beliau berkongsi dalam satu video semasa majlis itu bahawa gaun tersebut mengambil inspirasi daripada salah satu lukisan bapanya.
Wajah-wajah yang kelihatan di gaun tersebut merupakan antara ahli keluarganya termasuk ibunya. Gaun itu menggunakan teknik sulam dengan manik ditambah supaya terdapat kesan lebih menyerlah.
Bapa Luna merupakan seniman berbilang media dan pemuzik berdarah Jawa yang lahir di Yogyakarta pada 1951.
Mendiang Uut juga memiliki darah keturunan dari Cirebon dan Bojonegoro.
Dahulunya Uut aktif menghasilkan lukisan dan batik tradisional bersama isterinya, Desa Maya Waltraud Maiyer.
Namun Uut meninggal dunia pada 28 November 1995 ketika Luna itu masih berusia 12 tahun.
Pemergian insan tersayang itu di usia muda meninggalkan kesan yang mendalam pada diri Luna.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg