Pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai keputusan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 23 Jun yang mengesahkan beliau dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid bukan lagi pasangan suami isteri.

Marissa yang hadir bersendirian ke mahkamah dilihat terus meninggalkan perkarangan selepas prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk selesai kira-kira jam 10.15 pagi.

Bagaimanapun, anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim itu sempat memberikan respons ringkas kepada media dengan mengakui menerima keputusan berkenaan dengan reda.

“Insya-Allah saya kuat. Saya okey dan reda.

“Semoga yang baik-baik sahaja selepas ini. Doakan saya,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, Malaysia.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Aslam selepas ini dan sama ada mereka masih boleh berkawan meskipun tidak lagi bergelar suami isteri, Marissa memilih untuk tidak memberikan sebarang ulasan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Marissa yang sebelum prosiding dilihat sebak turut enggan berkongsi lebih lanjut mengenai perasaannya.

Terdahulu, peguam syarie mewakili Ahmad Aslam, Encik Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri mengesahkan mahkamah memutuskan pasangan itu bukan lagi suami isteri selepas prosiding berkaitan status perkahwinan mereka selesai.

Dalam perkembangan lain, Abby membuat naik di Instagram Story (IGS) berbunyi “Ahamdulillah”.

Hantaran itu mencuri perhatian ramai susulan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur berhubung status rumah tangga anak keduanya, Marissa.

Perkongsian itu dibuat selepas Abby dilihat berkongsi semula video berkaitan keputusan mahkamah yang mengesahkan Marissa dan Aslam bukan lagi suami isteri.

Bagaimanapun, Abby tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut sama ada perkongsian berkenaan mempunyai kaitan secara langsung dengan keputusan yang diputuskan mahkamah.