Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasangan selebriti Marissa Dania, Aslam sah bercerai
Pasangan selebriti Marissa Dania, Aslam sah bercerai
Pasangan selebriti Marissa Dania, Aslam sah bercerai
Pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim, 21 tahun, dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 27 tahun, disahkan bukan lagi suami isteri selepas Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 23 Jun memutuskan berhubung prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk di hadapan Hakim Syarie, Nadiah Khamis.
Peguam syarie mewakili Aslam, Encik Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, secara ringkas keputusan mahkamah menetapkan kededua pihak tidak lagi mempunyai hubungan sebagai suami isteri.
“Hari ini (23 Jun) mahkamah membuat keputusan berhubung terjatuhnya talak.
“Mahkamah mempunyai beberapa terma keputusan, tetapi secara ringkasnya mereka bukan lagi suami isteri.
“Buat masa ini, tiada lagi hubungan suami isteri antara Aslam dan Marissa. Sekiranya mereka ingin kembali bersama sebagai pasangan suami isteri, mereka perlu melalui akad nikah yang baharu,” katanya ketika ditemui selepas selesai prosiding di perkarangan mahkamah, Kuala Lumpur, Malaysia.
Ditanya mengenai reaksi Marissa selepas keputusan dibacakan, Encik Muhammad Ammar berkata anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim itu dilihat menerima keputusan berkenaan dengan terbuka, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurutnya, tiada momen bersalaman atau bermaafan berlaku di dalam dewan bicara.
“Mungkin mereka reda dengan keputusan hari ini. Dari awal termasuk malam tadi lagi, saya sudah memaklumkan kepada kededua pihak supaya bersedia menerima apa juga keputusan mahkamah dengan hati terbuka.
“Dalam mengendalikan kes dan berhujah di mahkamah, apa yang penting adalah kepatuhan kepada undang-undang dan hukum syarak.
“Apabila keputusan dibuat, mereka menghormati dan menerima apa yang diputuskan oleh mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Encik Muhammad Ammar dilaporkan berkata anak guamnya memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk pada 10 Mac lalu.
Menurutnya, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali sebelum kededuanya dilaporkan kembali rujuk.
Lafaz pertama berlaku pada September 2024 sebelum pasangan itu dilaporkan kembali rujuk pada bulan sama.
Lafaz kedua pula didakwa berlaku pada April 2025 dan pasangan itu difahamkan kembali rujuk dua bulan kemudian.
