KUALA LUMPUR: Menjalin hubungan cinta jarak jauh bukan fasa mudah buat pelakon jelita, Maya Karin, 46 tahun.
Pernah melalui episod kegagalan rumah tangga 15 tahun lalu, Maya berkata hanya kepercayaan menjadi sandaran kepada hubungan bersama kekasihnya yang juga lelaki Perancis berusia 40-an.
Maya berkata beliau tidak suka menaruh prasangka secara melulu kerana tidak mahu teman lelakinya rimas atau rasa terkongkong.
“Ada sesetengah orang tak kisah menjalinkan hubungan jarak jauh. Saya ada sepupu tinggal berjauhan dengan suami sejak enam tahun lalu. Tetapi, untuk saya sebulan tak jumpa pun tak boleh tahan.
“Saya dan teman lelaki cuba berjumpa sebulan sekali, tetapi bergantung kepada jadual kerja. Kami bekerja sendiri, jadi jadual tidak menentu.
“Jujurnya, agak sukar juga susun jadual. Namun, kami tengok kepada keadaan, sama ada kekasih akan datang ke Kuala Lumpur atau saya pergi menemuinya di luar negara,” kata teraju utama filem seram, Telaga Suriram, itu.
Dua tahun usia perkenalan, wanita kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman ini masih belum merancang untuk menamatkan zaman solo selepas lebih sedekad hidup sendirian.
Enggan mendedahkan identiti kekasihnya, Maya berkata setakat ini, mereka tidak pernah berbincang membawa hubungan kepada ikatan suci.
“Jujurnya, saya betul-betul tiada jawapan untuk soalan ini. Setakat ini, kami memang tidak pernah berbincang apa-apa lagi. Mungkin sebab sibuk, jadi soal ini tidak difikirkan lagi.
“Susah juga hendak cakap jika ada yang bertanya soal kahwin. Bukan sebab saya tolak, tetapi mungkin juga faktor usia, jadi kami tak mahu terburu-buru. Kami lebih suka bersikap realistik,” katanya kepada BH Online.
Aktres Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun ini berkata bercinta pada usia matang sangat berbeza jika dibandingkan ketika berumur 20-an.
Maya berkata fasa percintaannya tenang tidak seperti zaman muda. Namun, apa yang lebih penting adalah kepercayaan.
“Tiada apa yang perlu terburu-buru, sebaliknya saya lebih gemar ambil pendekatan biar masa menentukan.
“Hubungan kami serius, tetapi belum berbincang bila hendak berkahwin. Mungkin kami sudah matang, jadi hubungan tidaklah seperti orang muda yang macam belangkas hingga tak boleh dipisahkan.
“Kami pun tidak bergayut telefon berjam-jam seperti orang muda. Dapat berbual dua tiga minit pun sudah mencukupi. Janji saling bertanya khabar,” katanya.
Tampil sebagai watak utama, Rohaya, dalam filem seram arahan Osman Ali itu, Maya berkata filem itu menguji ketahanan mental dan fizikalnya, terutama ketika penggambaran dijalankan pada awal pagi di Perlis.
“Cuaca luar biasa sejuk ketika menjalani penggambaran di Perlis. Penggambaran dijalankan antara jam 3 pagi hingga 7 pagi.
“Ada hari saya terpaksa minta kru sediakan air panas dan isi dalam baldi supaya saya dapat rendamkan kaki,” katanya.
Bukan sekadar cuaca, Maya berkata beliau juga berdepan cabaran besar apabila melakonkan babak terakhir dalam air, termasuk dalam tasik.
“Walaupun babak bermula sekitar jam 8 malam, tapi saya sudah bersiap jam 5 petang. Pengalaman ini sangat berharga. Kalau ikhlas dengan kerja, pasti dapat hasil terbaik,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg