Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Media sosial dorong pelancongan ke Antartika

Mar 16, 2025 | 5:30 AM
Salah satu koloni terbesar penguin jenis gentoo boleh ditemui di Pelabuhan Neko di Antartika.
Salah satu koloni terbesar penguin jenis gentoo boleh ditemui di Pelabuhan Neko di Antartika. - Foto ST

Suatu ketika dahulu, Antartika merupakan destinasi terceruk di hujung dunia dan hampir tidak dapat dijejaki seolah-olah ia sebahagian dunia khayalan.

Namun, dalam era pelancongan global, menyaksikan kemegahan alam aisberg (bongkah ais) menggunung dengan kilauan kebiru-biruan, burung penguin berarak berlatarbelakangkan fjord indah semakin menjadi satu hakikat buat ramai orang. Fjord ialah serokan dalam dan sempit di antara cerun tinggi atau curam.

Ini berlaku bukan sahaja kepada pengembara lasak dan solo, malah segolongan baru pempengaruh media sosial berpusu-pusu ke Lautan Selatan di samping bilangan tinggi pengunjung yang ke sana, sebahagiannya didorong wadah seperti TikTok.

Kurang daripada 8,000 orang berkunjung ke Antartika pada pertengahan 1990-an.

Sedekad kemudian, bilangan pengunjung melonjak kepada 20,000 dan menjelang 2024, benua itu menerima hampir 123,000 pelawat.

“Tentu sekali anda tidak boleh bandingkan bilangan itu dengan di Venice (Italy), Barcelona (Sepanyol) atau Pulau Phi Phi (Thailand),” kata profesor pelancongan di Universiti Tasmania di Australia, Profesor Anne Hardy.

“Tetapi apa yang kami alami di Antartika ialah kepelbagaian yang semakin meningkat, satu peralihan daripada pelancongan khusus (niche).”

Kebanyakan kunjungan yang ditawarkan merupakan kapal ekspedisi dengan ruang untuk sehingga 500 penumpang, walaupun pasaran itu berkembang pesat untuk kapal yang menerima sehingga 1,000 orang, katanya.

Benua itu kekal terpencil, sukar dikunjungi dan mahal walaupun bilangan pengunjung yang meningkat bererti ia semakin hilang keunikannya.

“Antartika secara perlahan-lahan semakin menjadi destinasi pelancongan yang lebih ‘biasa’, seperti banyak tempat lain,” kata Profesor Hardy.

“Beberapa tahun lalu, hashtag seperti #AntarcticTourism dan #DrakePassage tiba-tiba menjadi viral di Internet,” kata beliau, merujuk kepada selat antara hujung Amerika Selatan dan Semenanjung Antartika, yang terkenal dengan ombaknya yang tidak dapat diramalkan.

Golongan pempengaruh sedar bahawa semakin terpencil sebuah destinasi itu, semakin besar kemungkinan ia menarik pengikut selain meraih berjuta-juta tontonan.

Walaupun penyelidikan dan pelancongan di Lautan Selatan telah wujud sekian lama, perkembangan terkini mengejutkan Gabungan Antartika dan Lautan Selatan (ASOC).

“Antartika dikenali sebagai ‘salah satu tanah gersang besar terakhir di bumi’ tetapi kita kini melihat risiko Antartika menjadi ‘taman permainan lasak (adventurous)’ untuk manusia menghibur diri,” kata penasihat kanan ASOC, Ricardo Roura.

Media sosial menawarkan lebih banyak wadah kepada pempengaruh untuk sebar perkongsian mengenai pengalaman mereka di Antartika, katanya, lantas semakin penting untuk mengawal selia pelancongan di rantau ini.

Persatuan Antarabangsa Pengendali Pelancongan Antartika (IAATO) menggelar ini sebagai vandalisme tidak bertimbang rasa dan “terkejut dan jijik”.

Sementara industri mempunyai pelbagai garis panduan dan langkah yang ditetapkan, timbulnya persoalan sama ada ia memadai.

Mikroplastik dan pencemaran bunyi hanyalah dua daripada masalah yang boleh berlaku, kata Dr Roura.

Terdapat sekitar 50-100 tempat dengan ramai pelancong berkumpul dengan kerap dan ini boleh menyebabkan kerosakan.

Beliau khuatir tentang ratusan pelancong yang diberi izin memasuki koloni penguin setiap hari, walaupun mereka perlu mengekalkan jarak khusus daripada haiwan tersebut dan bilangan pengunjung adalah terhad.

“Malah peraturan asas itu mungkin perlu disemak,” katanya, yang menyarankan agar kawasan tertentu dikenal pasti dengan pelancongan tidak lagi dibenarkan.

Tetapi IAATO berkata kajian 2019 menunjukkan penguin tidak mengalami hormon tekanan yang tinggi justeru tidak kelihatan rasa terganggu oleh pelawat. Ia mengatakan peraturan dan garis panduan yang ketat dikuatkuasakan oleh kakitangan pakar di sana.

Banyak peraturan adalah berdasarkan Perjanjian Antartika, yang berkuat kuasa pada 1961 dan mempunyai lebih 50 negara anggota sebagai penandatangan.

Perjanjian itu memperuntukkan penggunaan Antartika dengan aman secara eksklusif, terutama untuk penyelidikan saintifik, serta larangan ke atas aktiviti ketenteraan.

“Berkunjung ke Antartika adalah hak istimewa. Sesiapa yang berkunjung ke rantau itu mempunyai tanggungjawab untuk melakukan demikian dengan penuh hormat,” kata IAATO.

Mereka patut memilih pengendali kunjungan yang tertumpu kepada etika yang mementingkan alam sekitar bagi memastikan Antartika kekal megah untuk generasi akan datang seperti hari ini.

Pihak berkenaan dalam Perjanjian Antartika akan berunding pada Jun, dengan persoalan yang diutarakan dipertimbangkan dengan lebih lengkap. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg