Membesarkan anak yang peduli pada alam sekitar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Membesarkan anak yang peduli pada alam sekitar

Ibu bapa, guru main peranan penting dalam mendidik amalan kemampanan sejak kecil
Jan 22, 2026 | 5:30 AM

Membesarkan anak yang peduli pada alam sekitar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
anak yang peduli pada alam sekitar
Orang dewasa menjadi teladan bagi kanak-kanak. Apabila mereka menghormati haiwan, kanak-kanak belajar bahawa haiwan juga berhak dijaga. - Foto PIXABAY

Apabila krisis iklim sejagat semakin meruncing, para pendidik awal kanak-kanak dan penyelidik mula memikirkan sama ada dan bagaimana isu ini wajar diperkenalkan kepada kanak-kanak.

Patutkah kita berbincang secara terbuka tentang krisis ini dan menggalakkan kanak-kanak mengubah amalan harian mereka?

Atau adakah langkah itu berisiko menimbulkan keresahan dalam minda kanak-kanak yang masih berada dalam fasa perkembangan awal yang kritikal?

Matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa kanak-kanak ialah pemangkin perubahan yang penting, dan matlamat tersebut menyediakan wadah untuk mereka menyalurkan keupayaan aktivisme bagi membina dunia yang lebih baik.

Hubungan dengan alam semula jadi merupakan unsur penting dalam pendidikan kemampanan di peringkat pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak.

Pengalaman ini membantu kanak-kanak membina penghargaan terhadap bumi dan semua penghuninya.

Pendidik di pusat penjagaan kanak-kanak boleh mewujudkan budaya pembelajaran yang membolehkan kanak-kanak mempelajari kemahiran menjaga alam menerusi permainan dan kreativiti, tanpa menimbulkan kebimbangan yang melampau dalam diri mereka.

Satu kajian meneliti program pendidikan yang melibatkan 200 kanak-kanak berusia antara tiga hingga lima tahun, di mana mereka diajar cara mengasingkan, mengurangkan, dan mengitar semula sisa menggunakan tong berwarna yang berbeza.

Semasa mengasingkan sisa makanan, mereka juga memberi makan kepada ayam dan cacing kompos.

Para pendidik kemudian menerangkan kepada kanak-kanak bagaimana semua kehidupan saling berkait – sesuatu yang mereka sendiri saksikan ketika memberi makan kepada ayam dan cacing.

Kanak-kanak tersebut membawa pulang pengetahuan baru itu dan mula mengingatkan ibu bapa mereka tentang pengasingan sisa di rumah, lantas mempengaruhi tabiat kitar semula keluarga.

Satu lagi contoh ialah sebuah program di New South Wales, Australia, yang membantu kanak-kanak memahami kepentingan air.

Kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun di tiga prasekolah diminta melaporkan paip yang bocor, diajar menggunakan tandas dengan sistem siram separuh, serta digalakkan menasihati keluarga mereka supaya jangan mandi terlalu lama.

Penilaian terhadap program ini mendapati kanak-kanak membina keberanian dan rasa keupayaan diri dalam isu kesedaran air.

Ini kerana perasaan, pemikiran, dan soalan mereka diambil serius dan disambut dengan empati oleh orang dewasa.

Orang dewasa merupakan contoh teladan dalam membentuk cara kanak-kanak memahami kepentingan dunia di sekeliling mereka.

Jika orang dewasa bertindak dengan penuh hormat terhadap haiwan, termasuk makhluk kecil seperti labah-labah, kanak-kanak akan memahami haiwan juga berhak dilindungi dan dijaga.

Sebaliknya, jika orang dewasa serta-merta membunuh labah-labah di hadapan kanak-kanak, ia boleh mewujudkan fobia terhadap haiwan, di mana makhluk hidup dianggap sebagai perosak yang menakutkan.

Kajian menunjukkan sesetengah guru tidak berasa selesa untuk memasukkan amalan kemampanan dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Ia mendapati sesetengah guru mempunyai pemahaman yang terhad tentang isu kemampanan dan kurang keyakinan untuk mengajar topik yang sarat dengan nilai tersebut.

Namun, guru tidak perlu mengetahui segala selok-belok perubahan iklim untuk mengajar kanak-kanak menghormati bumi ini.

Mereka boleh bermula dengan menggalakkan kanak-kanak bermain di alam semula jadi dan menunjukkan teladan tingkah laku yang menghargai persekitaran.

Pendekatan Finland dalam pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak menawarkan satu contoh yang baik bagaimana amalan kemampanan boleh diterapkan dalam pendidikan prasekolah.

Kurikulum Finland menekankan pembelajaran melalui permainan dan dialog yang saling menghormati antara kanak-kanak dengan orang dewasa.

Kanak-kanak kecil melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada alam semula jadi, lebih daripada kanak-kanak yang lebih dewasa.

Justeru, guru boleh menyokong tindakan kanak-kanak berdasarkan perspektif ini.

Sebagai contoh, orang dewasa boleh memindahkan seekor labah-labah ke tempat lebih selamat agar tidak dipijak.

Kanak-kanak kemudian boleh memerhati untuk memastikan labah-labah itu selamat, sekali gus memberi mereka rasa tanggungjawab dan keupayaan untuk bertindak.

Dengan cara ini, kanak-kanak akan merasakan mereka mempunyai kawalan terhadap unsur-unsur kecil alam dan bahawa tindakan mereka membawa kesan.

Ini memberi mereka rasa keupayaan dan harapan, bukannya rasa tertekan, tidak berdaya dan cemas.

Pendidikan kemampanan untuk kanak-kanak paling berkesan apabila mereka dibantu memahami tempat mereka dalam kehidupan.

Pada kesimpulannya, ia tentang memupuk rasa kebersamaan, hormat, dan keprihatinan terhadap semua makhluk hidup, serta pemahaman tentang cara mengurus sumber material dalam dunia yang terhad.

Wendy Boyd ialah Pensyarah Kanan di Universiti Southern Cross, Australia; manakala Ann-Christin Furu ialah Pensyarah di Universiti Helsinki, Finland. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg