Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenemui semula Srivijaya dan jati diri di Palembang
Menemui semula Srivijaya dan jati diri di Palembang
Dari puncak Bukit Seguntang ke keindahan Masjid Agung, penulis menyelami sejarah maritim yang menjalin ikatan antara Palembang dengan Singapura
Menemui semula Srivijaya dan jati diri di Palembang
Dahulu di bangku sekolah, sejarah terasa membosankan, rasanya sekadar deretan tarikh dan fakta kering.
Namun, dewasa menyedarkan saya tentang erti asal-usul. Pencarian jati diri membawa saya kembali menelusuri naskhah lama, terutamanya ‘Sejarah Melayu’.
Di situlah saya menemui kisah Sang Nila Utama, putera raja pengasas Singapura yang akarnya berpaut erat dengan bumi Palembang.
Namun, satu nama yang paling memikat jiwa adalah Bukit Seguntang Mahameru.
Ia bukan sekadar bukit, tetapi tanah keramat tempat turunnya leluhur kayangan Sang Nila Utama, diselubungi misteri dan tanda-tanda ajaib yang agung.
Lama-kelamaan, menatap Palembang melalui skrin Google Earth atau foto lama tidak lagi memadai. Jiwa saya memberontak untuk lebih dekat.
Saya berikrar: Aku mesti menjejakkan kaki ke puncak Bukit Seguntang!
Di Palembang, sejarah bukan sekadar kenangan; ia nadi yang mengalir bersama Sungai Musi, membentuk sebuah peradaban diraja yang purba.
BUKIT SEGUNTANG JALIN IKATAN ANTARA RAJA DENGAN RAKYAT
Akhirnya, langkah saya memuncak di Bukit Seguntang.
Meski hanya 27 meter dari paras laut, ketinggiannya tidak diukur pada fizikal, melainkan pada keagungan “daulat”, kuasa mistik yang menjalin ikatan antara raja dan rakyat.
Legenda menuturkan, di sinilah Sang Sapurba menjelma dan menyentuh padi milik Wan Empuk dan Wan Malini, mengubahnya menjadi emas dan perak.
Kisah ini mengajar kita bahawa kedaulatan dalam dunia Melayu purba tidak diperoleh melalui kekerasan, tetapi memerlukan keabsahan (pengiktirafan) dan rasa kagum rakyat.
Sebagai anak Singapura yang berdiri di atas bukit itu, rantaian sejarah terasa bersambung indah.
Dari bukit inilah keturunan diraja Srivijaya berhijrah ke Bintan, dan akhirnya ke Temasek, di mana penampakan seekor haiwan gagah membawa kepada penamaan Singapura.
Segalanya tampak sempurna dan berjalin rapi, sehinggalah saya melangkah masuk ke sebuah galeri di hujung jalan.
Kejutan Besar di Papan Pameran Taman Purbakala
Persinggahan di Muzium Purbakala mengheret saya lebih jauh menyelami zaman silam Srivijaya.
Di sini sejarah bertukar wajah, dari lembaran manuskrip kepada artifak arkeologi yang bisu namun berbicara.
Ia menyedarkan saya bahawa akar Palembang jauh lebih tua daripada kesultanan Melayu yang kita kenali.
Kota ini pernah menjadi denyut nadi maritim Asia Tenggara; pusat ilmu Buddha yang gemilang di tengah laluan perdagangan dunia.
Srivijaya bukan sekadar kuasa politik; ia adalah rangkaian maritim yang menguasai sungai, pelabuhan, dan seni diplomasi, menghubungkan pedalaman Sumatera dengan keluasan samudera.
Berdiri di situ, saya seakan menjejak asal-usul kesedaran maritim rantau kita. Hal ini amat penting, kerana Singapura juga lahir daripada sejarah yang sama.
Kisah kita tidak wajar disempitkan kepada naratif perdagangan moden atau era kolonial semata-mata.
Sebaliknya, ia harus dirangkum dalam arus sejarah yang panjang, bermula dari Srivijaya, Palembang, Temasek, hingga ke Melaka dan Johor-Riau.
Memahami realiti ini, kita akhirnya mampu melihat sejarah pembukaan Singapura melalui dua ‘cermin mata’ yang berbeza:
• Lensa Sastera Tradisi (Sejarah Melayu di Bukit Seguntang):
Sang Nila Utama ialah putera suci yang membuka Singapura selepas melihat singa. Parameswara pula hanyalah raja terakhir yang menyaksikan kejatuhan pulau ini.
• Lensa Fakta Empirikal (Rekod Galeri Muzium Purbakala):
Parameswara ialah pemerintah kental yang lari dari Majapahit, menguasai Temasek secara politik, dan kemudiannya diusir oleh Siam sebelum membuka Kesultanan Melayu Melaka.
Papan pameran itu juga mengingatkan kita tentang Wa’ad atau Kontrak Politik Purba antara Sang Sapurba (raja) dengan Demang Lebar Daun (rakyat).
Perjanjian purba ini mengajar nilai penting tentang saling menghormati antara pemerintah dengan rakyat, iaitu raja tidak boleh menzalimi rakyat, dan rakyat tidak boleh menderhaka.
Peraturan inilah yang menjadi asas undang-undang moral di Singapura dan Melaka.
Bagi saya, kepelbagaian naratif ini bukanlah suatu kecacatan. Sejarah yang hakiki adalah adunan indah antara mitos budaya dengan realiti politik yang mencabar.
Jika kisah Sang Nila Utama menyuntik jiwa, identiti, dan nama “Singapura”, kisah Parameswara pula menyingkap realiti geopolitik, bahawa pulau kita sentiasa menjadi rebutan dek lokasinya yang strategik.
Kedua-dua jalur cerita ini saling berpaut, menjadikan warisan sejarah kita terus mempesonakan hingga ke hari ini.
MASJID AGUNG TERUS BERTAHAN MERENTAS ZAMAN
Perjalanan saya kemudian melangkah ke mercu tanda seterusnya: Masjid Agung Palembang, atau Masjid Sultan Mahmud Badaruddin I.
Masjid ini telah menyaksikan naik turunnya kuasa diraja, ketegangan dengan kuasa kolonial, pelbagai kerja pembaikan dan pembesaran, serta ketahanan iman masyarakat yang terus bertahan merentas zaman.
Dibina pada abad ke-18 di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Badaruddin I Jaya Wikrama, masjid ini muncul sebagai salah satu lambang besar Islam dan identiti Palembang.
Dibina pada abad ke-18 di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Badaruddin I Jaya Wikrama, ia berdiri megah sebagai lambang keagungan Islam di Palembang.
Namun, saya sedar masjid ini bukan sekadar susunan kayu dan batu; ia dibina atas landasan ketabahan yang luar biasa.
Dalam dunia Melayu, masjid adalah lebih daripada ruang sujud, ia merupakan pusat ilmu, wadah pertemuan, serta simbol kewibawaan masyarakat.
Di sinilah gema azan menyatu dengan denyut nadi kehidupan, tempat pertemuan para pemerintah, ulama, pedagang, dan musafir.
Seni binanya pula berbicara tentang identiti Palembang yang majmuk; bumbung bertingkat dan menaranya menjadi bukti nyata bagi setiap perubahan zaman yang dilaluinya.
Dari Masjid Agung, perjalanan saya menyusuri ingatan Islam di Palembang diteruskan ke Bayt Al-Quran.
Jika Bukit Seguntang melambangkan imaginasi sakral tentang asal-usul raja-raja Melayu, Bayt Al-Quran pula memperlihatkan satu lagi bentuk pengalaman suci, pertemuan dengan wahyu, pengabdian dan seni pertukangan.
Di sini, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca; ia dilihat, dipahat, dan dihayati dalam skala yang memukau.
Ukiran ayat suci pada panel kayu meresap ke dalam jiwa, seolah-olah kalam Ilahi bertransformasi menjadi ruang seni bina yang hidup.
Menelusuri Bayt Al-Quran, terdetik di hati tentang ikatan abadi antara Islam dan dunia Melayu. Islam bukan sekadar akidah, tetapi bahasa, nilai, seni, dan tamadun yang membentuk identiti kita, daripada manuskrip dan undang-undang hinggalah ke masjid dan puisi.
Di Palembang, hubungan itu terasa hidup.
Di Muzium Balaputradewa, naratif ini terus berkembang.
Di sini, sejarah diraja dan kolonial Palembang tampil dengan lebih jelas.
Muzium berhampiran kota lama ini memaparkan evolusi identiti Palembang, daripada zaman kesultanan dan pengaruh kolonial, sehingga menjadi warisan kebangsaan hari ini.
Menjejaki budaya Palembang tidak lengkap tanpa merasai kulinari tradisinya.
Saya sempat menikmati ‘pempek’, hidangan ikonik yang menjadi kebanggaan bumi Sumatera Selatan ini..
Pempek bagi saya bukan sekadar makanan, tetapi satu manifestasi seni yang penuh teliti.
Dihasilkan daripada adunan harmoni isi ikan segar, sagu, dan garam, ia menjadi bukti kebijaksanaan masyarakat pesisir mengolah kurniaan Sungai Musi.
Teksturnya yang kenyal berpadu indah dengan kuah cuko yang pekat – sebuah simfoni rasa manis gula merah, asam jawa, dan sengatan cili rawit yang menari tangkas di lidah.
Penulis merupakan pengkaji warisan. Beliau juga pengasas Bugis Temasek, anggota Persatuan Genealogi Singapura dan anggota Persatuan Melayu Bugis Singapura.
