Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mimi Lana beri lakonan terbaik walaupun ‘jiwa kacau’

May 23, 2024 | 5:30 AM
Mimi sanggup mendapatkan guru lakonan agar watak yang dibawa dalam projek filem lebih realistik.
Mimi sanggup mendapatkan guru lakonan agar watak yang dibawa dalam projek filem lebih realistik. - Foto INSTAGRAM MIMI LANA

Demi menghidupkan watak dengan baik, Mimi Lana tidak kisah mengeluarkan wang lebih untuk mengupah jurulatih lakonan peribadi.

Semuanya dilakukan sebagai usaha mendalami watak yang diberi dengan lebih berkesan.

Mimi atau nama sebenar, Mimi Roziana Zainal Abidin, melantik jurulatih lakonan peribadi khas bagi menjiwai watak Lia dalam drama, Framed, arahan Sein Qudsi.

“Saya mengambil serius dengan setiap projek yang dibuat. Saya sangat ‘passionate’ (penuh bersemangat) dengan apa yang saya buat dan mahukan yang terbaik. Jadi, kalau ada perkara yang perlu saya buat seperti mengambil guru lakonan, saya akan buat.

“Sebelum ini, saya pernah ambil guru lakonan untuk beberapa projek. Tetapi kebanyakan filem, selalunya penerbit sediakan jurulatih lakonan. Namun, tiada untuk drama bersiri.

“Tetapi, sebelum penggambaran bermula, kita ada latihan. Bagaimanapun, saya fikir perlu ada orang bimbing saya selepas menjalani penggambaran selama beberapa minggu.

“Saya memerlukan seseorang untuk saya berkongsi dan mendalami lagi apa yang boleh saya beri menerusi watak. Jadi, saya tidak teragak-agak ambil guru lakonan,” katanya kepada BH Online.

Mimi ditemui pada sidang media drama, Framed, di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mimi berkata bahawa watak Lia bukanlah karakter mudah iaitu wartawan yang berhadapan dengan pelbagai tekanan hidup.

Bagaimanapun, Mimi berkata selain bimbingan jurulatih lakonan, bantuan daripada pengarah, penulis skrip dan rakan gandingan seperti Vanidah Imran yang memegang watak ibu serta Rusdi Ramli sebagai bapa, banyak membantu.

“Daripada segi karakter, Lia menghadapi kemurungan dan perlu bergantung kepada ubat.

“Lia kehilangan ibu sejak usia 10 tahun dan membesar dengan menjaga ayah yang tidak sihat. Jadi, tidak mudah menjiwai karakter ini, saya perlu mendalami perasaan sedih.

“Saya datang daripada keluarga bahagia, tidak pernah berhadapan pengalaman sedemikian. Jadi, saya fikir ia sangat mencabar. Saya tidak nafikan, watak ini membuatkan saya tertekan, tapi tidaklah sampai murung.

“Jadi, saya juga banyak meluangkan masa bersama penulis skrip dan pengarah untuk memahami karakter. Jika balik rumah dalam keadaan tidak puas hati dan tidak boleh tidur, saya hubungi mereka. Alhamdulillah, dengan bantuan mereka, saya dapat bawa watak Lia dengan baik,” katanya.

Mengulas adakah melalui perasaan murung ketika menjayakan drama Framed berikutan ketika itulah hubungannya dengan pelakon, Syafiq Kyle berdepan ujian, Mimi berkata:

“Saya fikir ramai tahu keadaan saya ketika menjalani penggambaran drama Framed. Serba sedikit ada memberi kesan, tetapi, saya dapat lalui dengan mudah.”

Drama Framed memaparkan misteri konspirasi jenayah yang membabitkan takdir dan beberapa kejadian di luar kawalan yang mula disiarkan Astro Premier sejak 3 Mei.

Selain Mimi, drama itu menampilkan Meerqeen sebagai Edi, Sangeetha (Rita), Ram Raaga (Navin), Riz Amin (Gibran), Zamarul Hisyam (Mansur), Khir Rahman (Hassan), Nam Ron (Aziz) dan Ka Hoe (Ka Hong).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg