Peminat yang terkilan apabila Syafiq Kyle dan Mimi Lana mengumumkan mereka membatalkan majlis pernikahan yang direncanakan berlangsung pada 18 Ogos 2023 tentunya menaruh harapan tinggi baru-baru ini.
Siapa tahu cinta kembali bersemi dan majlis kahwin yang dinanti-nanti akan akhirnya berlangsung?
Apa tidaknya? Di media sosial, kededua pelakon kelihatan mengenakan baju kurung dan baju Melayu berwarna biru muda yang sedondon untuk satu jenama Malaysia. Agaknya untuk promosi jualan Hari Raya.
Namun, apabila ditanya mengenai status Syafiq dan Mimi, pengurus mereka, Iman Tang, menjelaskan kededuanya masih berkawan dan akrab meskipun telah membatalkan majlis nikah mereka.
“Walaupun tak jadi kahwin, ia tidak bermakna mereka bermusuh atau bergaduh. Ini adalah kebenaran sebab saya ada bersama ketika kejadian tempoh hari.
“Memang tiada masalah, malah hingga hari ini mereka masih berkawan. Macam hari ini mereka baru sahaja selesai sesi fotografi untuk mempromosikan baju Melayu dan baju kurung untuk satu jenama tempatan,” kata Iman kepada laman Berita Harian Malaysia (BHM) Online.
Syafiq, 31 tahun, dan Mimi, 28 tahun, turut memuat naik foto mereka menggayakan baju tradisional itu di Instagram Story masing-masing.
Menurut Iman, sebagai pengurus, beliau bagaimanapun terbuka sekiranya Syafiq dan Mimi kembali bersama, namun mereka sedang sibuk dan fokus dengan kerja.
“Ya sudah tentu saya mengalu-alukan, lagipun ia untuk kebaikan dan mendirikan masjid adalah perkara baik dalam Islam.
“Saya banyak kali makan malam bersama mereka, tapi tak pernah bertanya mengenai hala tuju hubungan dengan lebih mendalam. Ini kerana mereka sedang sibuk sekarang ini.
“Bagi saya, biar mereka fokus dengan kerja dahulu. Mungkin dalam kesibukan bekerja ada bibit cinta dan perasaan untuk kembali bersama,” katanya.
Iman berharap agar pasangan ini dapat memaklumkan hubungan mereka lebih awal sekiranya ada berita baik mahu dikongsikan.
“Saya berharap sekiranya kembali bersama, Syafiq dan Mimi beritahu saya lebih awal sebab sebelum ini, saya hanyalah jemputan. Saya tidak tahu apa-apa,” katanya.
Mimi dan Syafiq sepatutnya disatukan sebagai suami isteri pada 18 Ogos 2023 dalam majlis pernikahan yang dirancang berlangsung di Janda Baik, Pahang.
Bagaimanapun, tetamu mendapat kiriman e-mel memaklumkan majlis perkahwinan mereka dibatalkan pada 11 Ogos 2023.
Peminat hanya mampu doa yang baik-baik sahaja sebab jodoh pun ketentuan Tuhan. Moga dimudahkan apa jua urusan Syafiq dan Mimi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg