Pelakon Mimi Lana, 27 tahun, berkongsi keperitan putus cinta yang dipercayai susulan keretakan hubungan bersama pasangannya, pelakon Syafiq Kyle, 31 tahun, sehingga menyebabkan majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung pada 18 Ogos lalu terpaksa dibatalkan.
Menerusi hantaran terkini di Instagram (IG), Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, memberi gambaran bahawa hatinya sedang mengalami luka yang mendalam, selain mengakui masih belum menemui cinta sebenar.
“Putus cinta itu rasa sakitnya seakan waktu berhenti. Hidup antara ingatan yang lumpuh dan rindu membunuh. Di sebalik senyuman dibalas dalam setiap situasi dan pertanyaan itu memiliki luka di balik kamar yang sunyi.
“Untuk kesekian kali, magis cinta itu belum dapat dirasa tetapi kasih dan sayang itu sentiasa ada. Mungkin kerana yang maha cinta itu tidak ada, yang ada cuma maha pengasih dan penyayang,” tulis Mimi, dalam luahan rasa yang ditukil Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada masa yang sama, pelakon drama Perempuan Itu turut mendoakan agar hati sesiapa sahaja yang kini sedang terluka supaya segera sembuh dan dapat kembali berkasih sayang.
“Penderitaan manusia juga mulai ketika manusia merasa memiliki. Sakit itu datangnya dari rasa kita pemilik segalanya. Terus-terusan refleksi diri dari terus hanyut tanpa arah. Semoga hati-hati yang terluka tidak pernah berhenti berkasih sayang walaupun cintanya telah pergi,” tulisnya.
Terdahulu, Mimi dan Syafiq mengejutkan ramai apabila membatalkan majlis pernikahan dan resepsi yang dijadualkan berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, Pahang pada 18 Ogos lalu.
Syafiq mendakwa krisis hubungan dengan Mimi sudah diselesaikan dengan cara baik dan masing-masing kini memberi tumpuan kepada keluarga dan kerjaya.
Beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Malah, Syafiq juga dilaporkan enggan mengulas apakah beliau dan Mimi masih bertunang.
Terdapat juga gosip mengaitkan Mimi dengan pelakon tampan, Meerqeen, yang sebelum ini dikaitkan dengan gandingan serasinya dalam drama iaitu, Anna Jobling.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg