Topik diikuti
Pergi ke BHkuMinat kaji sejarah keluarga meningkat
Minat kaji sejarah keluarga meningkat
Ada yang buat ujian DNA untuk kaji asal usul, ada pula rakam dokumentari dan tulis buku susur galur
Minat kaji sejarah keluarga meningkat
Cik Nura Abdul Manaf tahu dirinya berketurunan India dan Indonesia, dan satu ujian DNA yang diambil beberapa tahun lalu bukan sahaja mengesahkan fakta tersebut bahkan memberi maklumat lebih mendalam tentang asal-usulnya.
Dapatan ujian DNA itu kemudian menjadi topik perbualan rancak antara penerbit televisyen itu dengan saudara-maranya namun rasa ingin tahu Cik Nura, 39 tahun, tentang sejarah keluarganya berakhir di situ.
Tetapi bagi segelintir warga Singapura, ujian DNA menjadi titik permulaan kepada usaha menjejak asal-usul keturunan mereka, dengan penerokaan yang sering kali membawa mereka ke negara lain di Nusantara, rantau Asia malah serata dunia.
Hasil dapatan kajian salasilah keluarga mereka kemudian diabadikan dalam pelbagai bentuk seperti buku, blog dan dokumentari.
Tidak kurang juga yang kembali menjalin hubungan mesra dengan saudara-mara yang berjaya dijejaki.
Ramai minat jejak salasilah keluarga
Menurut Presiden Persatuan Salasilah Singapura (GSS), Encik Ronney Tan Koon Siang, pihaknya telah melihat lonjakan dalam minat terhadap penjejakan salasilah dalam kalangan warga Singapura kebelakangan ini.
Minat yang bertambah itu mungkin didorong faktor seperti kempen besar-besaran yang dijalankan bagi memperingati masa lalu Singapura, dan muzium yang menggalak orang ramai mendermakan gambar serta tanda ingatan (memento) untuk dipamerkan, katanya.
Satu lagi faktor ialah penemuan makam Chia Ann Siang, pedagang kaya yang namanya terpahat dalam nama Bukit Ann Siang, di tanah perkuburan Bukit Brown pada 2012.
“Penemuan itu mencetus minat meluas dalam penjejakan keturunan. Ramai keluarga yang tidak menziarahi kubur-kubur di situ selama sekurang-kurangnya dua generasi mula ke sana,” kata Encik Tan.
Selain itu, GSS, yang ditubuhkan pada 2012, juga menggalak warga Singapura mencari asal-usul mereka dan membantu dengan menerbitkan kisah-kisah mereka.
Sebagai contoh, persatuan itu menyokong pembiayaan buku, ‘Tuah Bugis: Chronicles of the Seafaring People of Singapore’, yang ditulis pengkaji warisan, Encik Sarafian Salleh.
GSS turut menganjurkan seminar berkaitan sejarah dan keturunan keluarga seperti Hari Mas (Hari Pencarian Keturunan Melayu) yang akan diadakan pada 6 Jun.
Seminar itu, yang pendaftarannya telah ditutup, bertujuan mendorong warga agar memulakan pencarian keturunan Asia Tenggara mereka.
“Perjalanan mencari asal-usul seseorang itu perlu didorong oleh keinginan yang kuat untuk mengenali diri sendiri, untuk mengetahui identiti diri sendiri,” kata Encik Tan.
“Ia mungkin dicetuskan oleh peristiwa traumatik dalam keluarga, gambar atau tanda ingatan.
“Rasa ingin tahu juga mungkin tercetus setelah seseorang itu mendapat tahu bahawa nama jalan di Singapura adalah sempena nama nenek moyang mereka, atau mereka ingin tahu tentang amalan luar biasa yang sering dilakukan nenek moyang mereka,” tambahnya.
Bagi seorang pengkaji keluarga, Cik Shahida Irdayu Rosman, kad pengenalan yang menyatakan beliau berbangsa ‘Indonesian Extract’ membuatnya keliru dan tertanya-tanya tentang asal-usulnya.
Pembantu pentadbiran berumur 36 tahun itu bertanya bapanya tentang asal-usul mereka dan menanam tekad mencari keluarganya di Surakarta, Indonesia, selagi bapanya masih sihat.
“Kalaupun tidak dapat jumpa, sekurang-kurangnya dapat kita jejak tanah di sana. Saya tidak akan putus asa untuk mencari maklumat tentang keluarga di sana,” katanya.
Seorang lagi pengkaji keluarga, Encik Mohamed Zulkifli Rahmat, pula menjejak dan merakam sejarah keluarganya agar generasi akan datang tahu tentang asal-usul mereka.
“Saya berminat menulis buku keluarga sekitar 2010. Pada waktu itu, saya sedar arwah bapa saya adalah antara orang yang tertua dalam keluarga yang masih ada pada ketika itu.
“Adik-beradiknya sudah tidak ada. Adik-beradik mak saya pun sudah tidak ada. Mak saya pun sudah tidak ada.
“Jadi kalau kita tak tanya orang yang masih hidup ini tentang kehidupan mereka pada masa lalu – dari mana asal-usul mereka, dari mana mereka datang… nanti generasi yang akan datang tidak akan tahu asal-usul mereka,” kata penyemak terjemahan sambilan berumur 71 tahun itu.
Cabaran, kepuasan jejak sejarah keluarga
Dalam mengkaji salasilah keluarga di luar negara, Encik Tan berkata antara cabaran yang mungkin dihadapi adalah kesukaran berkomunikasi lebih-lebih lagi jika pengkaji sudah tidak lagi menggunakan bahasa ibunda mereka.
Satu lagi cabaran yang mungkin dihadapi ialah dalam mencari saudara-mara di tempat-tempat jauh, dan setelah berjaya dijejaki, saudara-mara itu mungkin telah membuang atau kehilangan dokumen rasmi yang dapat membantu melanjutkan pencarian.
“Jadi, kegigihan dan daya tahan adalah satu kemestian dalam diri pengkaji keluarga. Tetapi sudah tentu, mereka boleh mendapatkan bantuan jurubahasa atau perunding salasilah keluarga,” kata Encik Tan.
Pengalaman menjejak sejarah keluarga juga boleh menjadi pengalaman yang memberi kepuasan, tambahnya.
Penemuan sejarah nenek moyang yang melakukan kebaikan boleh menimbulkan rasa bangga manakala penemuan yang menunjukkan nenek moyang mengharungi kesusahan demi kesenangan anak cucunya boleh menimbulkan rasa terhutang budi.
Penemuan itu juga boleh membuat seseorang itu lebih menghargai situasi semasa, sifat genetik atau keadaan kesihatannya.
“Sedang seseorang itu mengumpulkan saudara-mara yang lama terpisah, seseorang itu akhirnya membina masyarakat (baru) untuk dirinya sendiri, dengan rasa kekitaan dan keahlian. Ia adalah pengalaman yang sangat memuaskan,” kata Encik Tan.
Pencarian boleh ambil masa bertahun
Cara paling mudah untuk memulakan kajian adalah dengan bercakap dengan anggota keluarga terdekat, termasuk dan terutamanya orang tua, yang dapat memberikan maklumat berguna dalam bentuk surat, keratan akhbar, gambar atau sijil kelahiran, kata Encik Tan.
Laman Sumber Sejarah Keluarga Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) menyarankan agar seseorang yang mahu mengkaji sejarah keluarga berusaha mencari rekod kematian dan perkahwinan, peta dan rekod tanah, rekod pemerintah dan rekod keahlian pertubuhan agama.
Sumber dalam talian seperti suratkhabar dari NLB dan rekod gereja Arkib Negara (NAS) juga boleh membantu.
Encik Tan berkata satu persamaan yang dapat dilihat dalam usaha pencarian ramai pengkaji keluarga ialah hampir semua orang di Singapura berasal dari luar pulau kecil ini.
“Daripada talian pendatang ini tercurah kisah-kisah yang mengharukan tentang kerja keras, daya tahan, berjimat cermat, kesuburan, sifat dan adat resam keluarga, perjuangan menentang penganiayaan, diskriminasi kaum, diskriminasi jantina dan nilai-nilai keluarga. Berkongsi kisah-kisah ini umpama membandingkan gambar-gambar lama,” kata Encik Tan.
Berbekalkan maklumat yang sudah dikumpulkan, sesetengah pengkaji keluarga menulis buku atau menghasilkan dokumentari atau filem pendek untuk merakam pengalaman dan hasil dapatan penyelidikan mereka.
Namun ada juga yang berkongsi dapatan mereka di blog, sebagai cara cepat dan mudah untuk berkongsi maklumat sehingga sampai kepada saudara-mara yang masih dicari dan belum ditemui.
“Dengan adanya media sosial, kini lebih mudah untuk mencari dan menghubungi orang-orang yang mungkin dapat membantu dalam pencarian salasilah atau kisah-kisah keluarga,” kata Encik Tan.
