Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia, Indonesia sepakat lonjak industri filem

May 22, 2025 | 4:16 PM
Malaysia, Indonesia, Finas, industri filem
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (tiga dari kiri), mengadakan pertemuan dengan delegasi Indonesia termasuk Christine Hakim (dua dari kiri), Giring Ganesha (empat dari kiri), dan Chelsea Islan (kanan), dalam usaha memperkuatkan idea dan kreativiti dalam pembikinan naskhah terbaik. - Foto INSTAGRAM FINAS

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia bakal menjalin kerjasama strategik bagi meningkatkan taraf industri perfileman tempatan ke peringkat antarabangsa, sekali gus mampu menjadi tumpuan secara global.

Berikutan itu, satu pasukan khas yang memfokuskan pembangunan skrip termasuk mengkaji mengenai struktur kewangan bagi pembikinan filem akan diwujudkan.

Pengurusan tertinggi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mengadakan pertemuan bersama delegasi Indonesia, diketuai Timbalan Menteri Kebudayaan, Giring Ganesha, ketika menyertai acara Marche du Film (MDF) di Cannes, Perancis, pada 16 Mei, membuka ruang kepada pelbagai perbincangan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata perkara itu sudah dibincang bersama Menteri Kebudayaan Indonesia, Encik Fadli Zon, ketika mereka menghadiri acara filem di Hong Kong.

“Antara perkara yang kita bincang adalah untuk menghasilkan projek filem dengan kerjasama dua negara. Mungkin cerita mengenai budaya, terutama yang mengangkat nilai ketimuran ini.

“Kita ada banyak persamaan. Jadi, apabila berkongsi isu dan budaya Timur ini, kita semua sama. Apabila masuk rumah buka kasut, makan menggunakan tangan dan menghormati ibu bapa.

“Mereka mahu menekankan aspek budaya dan bahasa memandangkan kita serumpun. Saya kata itu adalah idea yang menarik dan kami bersetuju,” katanya kepada BH Online.

Pada pertemuan di Cannes, delegasi Indonesia turut diwakili pelakon ternama republik itu seperti Christine Hakim, Chelsea Islan, Iko Uwais dan Reza Rahadian.

Mengenai pasukan khas yang akan ditubuhkan, Azmir berkata usaha itu akan diperkuatkan dengan wakil daripada kedua-dua negara yang akan menyumbang idea dan kreativiti dalam pembikinan naskhah terbaik.

“Perancangan buat masa ini kita akan tubuhkan pasukan khas yang akan meneliti dan menghasilkan skrip. Akan ada wakil Indonesia dan Malaysia.

“Kita akan teliti apa cerita yang sesuai untuk diangkat. Mungkin cerita mengenai tokoh atau imam yang mewakili nusantara ini. Maksudnya, tokoh itu dikenali di Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Melalui pertemuan itu juga, Azmir berkongsi kerjasama dua hala ini akan membuka ruang kepada agensi swasta untuk saling menghulurkan bantuan dalam pelbagai aspek.

“Inisiatif ini bukanlah dengan 100 peratus suntikan dana daripada kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia. Perancangan ini juga turut membabitkan agensi swasta.

“Dalam perancangan juga, projek ini tidak tertumpu kepada pasaran Malaysia dan Indonesia sahaja, tetapi kita juga akan pastikan filem dihasilkan dapat dieksport ke pelbagai negara lain.

“Dalam perbincangan itu, kami fikir sudah tiba masa hasilkan filem untuk tontonan antarabangsa yang menceritakan mengenai budaya dan bahasa kita,” katanya.

Azmir berkata pembikin filem Indonesia tertarik dengan kejayaan filem animasi tempatan.

“Filem animasi kita seperti Boboiboy boleh dikatakan sudah kuat, itu yang mereka tertarik untuk buat kolaborasi dua hala ini.

“Kita juga akui Indonesia punya penceritaan mereka dalam filem memang kuat dengan budaya dipaparkan dan sebagainya.

“Tetapi dari segi teknikal dan animasi, mereka nampak keupayaan Malaysia. Jadi, kalau digabungkan skil (kemahiran) antara kedua-dua negara, saya rasa lebih mantap,” katanya.

Rentetan daripada perbincangan dilakukan, Azmir memberitahu perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada pihak tertinggi seperti Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac, dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

“Saya sudah maklum perkara ini kepada menteri dan Pengerusi Finas. Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan berhubung dengan pihak Indonesia untuk bincang dengan lebih lanjut.

“Bukan setakat pada peringkat saya, tetapi pada peringkat menteri juga,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg