Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persatuan Karyawan M’sia lahir kebimbangan trend eksploitasi artis

May 21, 2025 | 1:08 PM
Malaysia, Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez, artis
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez, berkata terdapat pihak yang sanggup mereka cerita palsu berkenaan artis tempatan demi mengejar tontonan dan wang.  - Foto NST

KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) melahirkan kebimbangan dengan satu trend yang makin menjadi-jadi di media sosial tempatan.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez, berkata terdapat pihak yang sanggup mereka cerita palsu berkenaan artis tempatan demi mengejar tontonan dan wang.

“Nama-nama besar seperti Datuk M Nasir, Datuk David Arumugam, Datuk Jamal Abdillah dan ramai lagi sudah dijadikan ‘umpan’ untuk kandungan yang tak berasas.

“Mereka cipta naratif palsu, kononnya artis ini sakit, meninggal dunia, hidup susah, sedangkan benda itu langsung tak berlaku.

“Guna pula suara dan imej rekaan dari teknologi AI, buat tajuk video yang gempak kononnya eksklusif, pada hal semua rekaan semata-mata.

“Lebih membimbangkan, ada juga kandungan yang menyamar sebagai berita mengejutkan, tapi bila klik, rupanya hanya untuk bawa penonton ke laman jualan produk,” katanya kepada Harian Metro.

Freddie berkata nama artis digunakan tanpa izin, semata-mata untuk melariskan produk mereka dan ia bukan sahaja tidak bermoral, tetapi satu bentuk penipuan terang-terangan dan eksploitasi terhadap artis.

“Ia juga mengelirukan orang ramai, buat peminat panik dan menjejaskan reputasi artis itu sendiri.

“Lebih sedih, semua ini berlaku semata-mata untuk naikkan rating, tontonan dan jana duit melalui monetisasi (penjanaan pendapatan). Ia sebenarnya satu perangkap digital, yang ramai penonton tak sedar mereka sedang jadi mangsa.

“Kami menyeru agar pihak berkuasa seperti SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) pantau dan sekat kandungan palsu seperti ini daripada terus tular. Pihak platform seperti YouTube, TikTok dan Facebook juga perlu lebih tegas,” katanya.

Pada masa sama, Karyawan turut menggalakkan orang ramai supaya aktif membuat laporan terhadap video-video palsu sebegini.

“Kalau ramai yang buat report (aduan) pada platform pengendali, saluran mereka boleh digantung atau disekat terus. Kita kena sama-sama ambil tanggungjawab supaya ruang digital kita jadi lebih sihat dan beretika.

“Kepada rakan-rakan artis dan penggiat seni, marilah bersatu mempertahankan maruah industri seni. Dan kepada rakyat Malaysia – jangan mudah percaya setiap apa yang tular.

“Saring sebelum kongsi. Tanya dulu, sahih ke tidak? Jangan biarkan maruah artis kita dicemari demi klik dan duit semata,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg