Sujimy Mohamad
Haslinda Ali
Buat sekian lama, China merupakan destinasi yang hanya kami kagumi dari jauh.
Ini bukan disebabkan kekurangan dari segi keindahan atau sejarah, kerana China sememangnya kaya dengan kedua-duanya. Apa yang menjadi persoalan berkait rapat dengan keselesaan terutamanya sebagai pelancong Muslim.
Seperti ramai yang lain, kebimbangan kami terletak pada perkara asas: makanan, kemudahan solat, perjalanan yang panjang, dan sama ada pengalaman itu akan terasa mudah atau membebankan apabila benar-benar berada di sana.
Apa yang berubah selama ini bukanlah China sebagai sebuah negara, tetapi cara kami mengenali dan memahami destinasi tersebut.
Sebagai pengendali perjalanan untuk pelawat ke merata tempat pelancongan bersama syarikat Dreamcation, keyakinan kami terhadap China tidak dibentuk daripada satu perjalanan yang berjaya atau lonjakan permintaan pelancongan secara tiba-tiba.
Ia dibina secara perlahan, teliti dan konsisten, melalui lawatan berulang kali, hari-hari yang panjang di lapangan, serta proses memahami apa yang benar-benar penting apabila melancong sebagai seorang Muslim.
Perjalanan kami meneroka China tidak mula dengan sekadar menjual pakej, tetapi dengan kerja asas.
Buat tempoh yang panjang, kami kerap ulang-alik ke China, ada kalanya hampir dua kali sebulan.
Lawatan ini bukan sekadar untuk bersiar-siar.
Ia adalah lawatan tinjauan.
Kami menilai laluan perjalanan, hotel, aturan makanan dan kemudahan ibadah, sambil bertanya soalan yang sukar tetapi perlu: Adakah ini sesuai untuk keluarga kami? Adakah ibu bapa kami akan selesa? Adakah kami yakin untuk mengesyorkan pengalaman ini kepada orang yang pertama kali ke China?
Pendekatan inilah yang membentuk cara kami melihat China sebagai destinasi, beza berbanding kebanyakan pengendali lain.
Ia mempengaruhi bukan sahaja ke mana kami pergi, tetapi bagaimana kami bergerak dan merancang perjalanan.
Apabila tahap kefahaman kami meningkat, kami mula mengetuai kumpulan sendiri.
Salah satu pengalaman penting ialah lawatan ke Beijing, di mana kami melihat sendiri bagaimana pelancong bergerak di tapak warisan utama, bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan hari yang panjang, dan di mana mereka memerlukan lebih keyakinan serta sokongan.
Ia mengingatkan kami bahawa destinasi tidak seharusnya dinilai melalui brosur, tetapi melalui perspektif pelancong Muslim sebenar.
Detik penentu adalah menerusi lawatan bersama selebriti ke Kunming, China dari 4 hingga 11 Disember 2025, yang diketuai oleh pelawak terkenal, Suhaimi Yusof.
Ia melibatkan kumpulan lebih besar yang bergerak bersama merentasi Yunnan.
Apa paling terpahat dalam ingatan kami bukanlah perhatian yang diterima, tetapi maklum balas selepas perjalanan itu.
Ramai pelancong berkongsi betapa lancarnya pengalaman tersebut, dari segi logistik, susun atur masa dan keselesaan keseluruhan.
Makanan mesra Muslim turut menjadi tumpuan, bukan sekadar dari segi ketersediaan, tetapi juga kepelbagaian dan kualitinya.
Bagi sesetengah pelancong, pengalaman ini secara senyap menepis tanggapan lama bahawa China adalah destinasi yang sukar atau meletihkan bagi pelancong Muslim.
Maklum balas tersebut menjadi titik perubahan penting.
Ia mengukuhkan keyakinan kami bahawa pendekatan ini berkesan, dan dalam masa yang sama, kami mula menerima lebih banyak pertanyaan untuk perjalanan berskala besar, termasuk sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (Mice) dan sekolah.
Ia mengingatkan kami bahawa keyakinan, apabila dibina dengan betul, akan berkembang dengan sendirinya.
Kepercayaan kami terhadap pembelajaran melalui pengalaman juga mendorong kami membawa pasukan sendiri ke China.
Pada Februari 2025, kakitangan kami ke Kunming.
Pada Januari 2026 pula, insya-Allah, kami akan ke Chengdu dan Chongqing bersama sebagai satu pasukan.
Ini bukan lawatan ganjaran.
Ia adalah lawatan pembiasaan, peluang untuk pasukan kami merasai sendiri rentak perjalanan, memahami susunan destinasi, dan menyedari perincian kecil yang menentukan keselesaan pelancong.
Jika kami mengesyorkan sesuatu destinasi, kami percaya pasukan kami perlu mengetahuinya secara langsung.
Mengenali destinasi menerusi pengalaman sendiri, dari makanan hingga rentak perjalanan dan nuansa budaya, membolehkan kami merancang pengalaman yang lebih meyakinkan, bukan membebankan.
Jika ada satu topik yang sering dibangkitkan apabila berbicara tentang China, ia adalah soal makanan.
Bagi pelancong Muslim, makanan sering mempengaruhi jiwa dan perasaan seseorang pada hari tersebut.
Sepanjang perjalanan kami, dari Xi’an ke Yunnan dan Sichuan, kami belajar bahawa makanan mesra Muslim memang tersedia, tetapi ia memerlukan perancangan rapi, pengetahuan tempatan dan rakan kerjasama yang tepat.
Apabila diurus dengan baik, makanan menjadi sebahagian daripada keseronokan, bukan sumber kebimbangan.
Daripada hidangan mi yang mengenyangkan di Xi’an hingga masakan halal tempatan di Yunnan dan Sichuan, susunan makanan kami bertujuan mengimbangi rasa yang serasi dengan tekak bersama keunikan tempatan.
Ini amat penting terutamanya bagi keluarga dan pelancong berusia, yang sering menilai keselesaan sebagai elemen utama pengalaman perjalanan.
Apabila keyakinan kami terhadap China semakin mendalam, rasa ingin tahu kami juga berkembang.
Perjalanan kami kini membawa kami ke pelbagai wilayah yang berbeza ciri-cirinya.
Kami berdiri di tengah formasi batu pasir Zhangjiajie yang menjulang, menyusuri lorong tenang bandar purba Phoenix atau ‘Phoenix Ancient Town’, dan menyaksikan keluasan alam dari Bailong Elevator (lif) — pengalaman yang mengingatkan kami tentang kepelbagaian dan keluasan China.
Di Jiangnan, rentaknya lebih perlahan.
Pelayaran di Tasik Barat Hangzhou, taman klasik Suzhou dan Masjid Phoenix menawarkan sisi China yang lebih lembut dan reflektif.
Sichuan pula mempertemukan alam dan budaya — dari panda di Chengdu hingga tasik-tasik biru Jiuzhaigou — manakala Chongqing mengejutkan dengan latar bandar bertingkat dan pemandangan malam yang penuh tenaga.
Destinasi klasik tetap menjadi nadi perjalanan kami.
Beijing, Yunnan dan Xi’an terus menawarkan pengalaman bersejarah yang berlapis, yang terasa lebih bermakna apabila dinikmati dengan jadual masa dan keperluan Muslim yang diambil kira.
Apa yang kami pelajari ialah China tidak boleh dihayati melalui satu bandar khusus atau satu jadual perjalanan sahaja.
Ia sebuah negara yang paling baik dinikmati sedikit demi sedikit — dengan setiap kunjungan membuka irama, landskap dan cara melancong yang berbeza.
China tidak menjadi destinasi selesa dalam sekelip mata, begitu juga keyakinan kami.
Apa yang kami bina adalah hubungan jangka panjang dengan destinasi ini, dibentuk melalui lawatan berulang, tanggapan yang diuji, dan pengalaman sebenar-benarnya.
China, yang dahulunya dianggap rumit, kini terasa lebih mudah diakses, kaya dengan pengalaman dan semakin akrab dengan kami.
Bagi kami, China bukan lagi satu percubaan.
Ia adalah destinasi yang kami terus kunjungi — bersama para pelancong kami, dan bersama pasukan kami sendiri — sambil mempelajari sesuatu yang baru setiap kali.
Encik Sujimy Mohamad merupakan ketua pegawai eksekutif dan pengasas Dreamcation sementara Cik Haslinda Ali ialah pengarah dan pengasas Dreamcation.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg