Beetlejuice The Musical, yang pernah dicalonkan untuk lapan Anugerah Tony, telah dibatalkan secara mengejut, kurang sebulan sebelum ia dijadualkan membuka tirainya di Esplanade – Teater di Persisiran pada Januari 2026.
Pemegang tiket bagi muzikal komedi yang sepatutnya berlangsung selama sebulan bermula 15 Januari itu, menerima emel pembatalan pada 11.30 pagi, 22 Disember daripada syarikat tiket Ticketek Singapore.
“Selepas pertimbangan mendalam, kami telah membuat keputusan yang sukar untuk tidak meneruskan musim pementasan Beetlejuice The Musical di Singapura,” kata kenyataan penerbitnya, Michael Cassel Group dan Warner Bros Theatre Ventures.
“Kami faham perkara ini akan mengecewakan mereka yang menantikan persembahan ini, dan kami amat menghargai sokongan serta keghairahan anda.”
Semua pemegang tiket akan menerima bayaran balik penuh, yang akan diproses secara automatik melalui tempat pembelian asal dan kaedah bayaran asal, menurut kenyataan tersebut.
Tiada tindakan lanjut diperlukan daripada pemegang tiket. Namun, bayaran balik “mungkin mengambil masa sehingga 40 hari bekerja” untuk diproses.
Mereka yang mempunyai pertanyaan berkaitan bayaran balik diminta menghubungi Ticketek melalui pautan dalam emel tersebut, manakala pelanggan dengan pertanyaan lain berkaitan persembahan itu boleh hubungi singapore.enquiries@michaelcassel.com.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berterima kasih atas kefahaman anda, serta sokongan anda terhadap Beetlejuice The Musical,” kata kenyataan itu.
Menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST), syarikat teater Michael Cassel Group berkata:
“Pembatalan sesuatu musim pementasan sentiasa merupakan keputusan yang sukar, dan hanya dibuat sebagai jalan terakhir selepas pertimbangan menyeluruh.
“Semua pemegang tiket bagi persembahan di Singapura akan menerima bayaran balik sepenuhnya.
“Kami kekal komited terhadap Singapura dan berharap dapat membawa lebih banyak penerbitan bertaraf dunia kepada penonton di sini pada tahun-tahun mendatang.”
Berita Harian telah memeriksa laman web syarikat Sistic pada 22 Disember dan ia menunjukkan halaman acara itu telah dikemas kini untuk menyatakan bahawa muzikal tersebut telah dibatalkan.
Butang “Buy Tickets” masih berfungsi di laman web itu, namun semua persembahan ditandakan sebagai dibatalkan pada tarikh berkenaan.
Seorang peminat yang telah membeli tiket dan enggan dinamakan memberitahu akhbar ST bahawa beliau “amat kecewa” dengan berita itu. “Ia adalah hadiah hari jadi untuk diri saya sendiri,” katanya.
Di media sosial terdapat banyak komen daripada peminat yang kecewa, dengan ada antara pemegang tiket yang telah menempah perjalanan ke Singapura khusus untuk menonton muzikal tersebut.
“Saya baru bercakap dengan rakan saya semalam tentang betapa terujanya saya untuk melihat keajaiban pentas ini secara langsung,” kata pengguna Instagram, @nonnahs03.
Pelanggan juga mengkritik ketiadaan penjelasan yang terbuka mengenai pembatalan yang disifatkan sebagai “tergesa-gesa dan pramatang”.
“Bolehkah kami diberi keterangan tentang sebab ia dibatalkan begitu hampir dengan tarikh pementasan?” tanya pengguna Instagram @shannon_shannoff_.
Setakat tengah hari, 22 Disember, tiada pengumuman rasmi mengenai pembatalan persembahan itu diterbitkan di akaun media sosial mana-mana penerbit muzikal berkenaan, Sistic, Ticketek atau Esplanade.
Malah, pada 10 Disember lalu, Ticketek telah mengadakan promosi dengan meletakkan harga tiket pada $88.
Tiket Beetlejuice The Musical mula dijual pada 3 Julai, dengan harga antara $72 dengan $244.
Berdasarkan filem pemenang Anugerah Oscar arahan pembikin filem Amerika Syarikat, Tim Burton, pada 1988, Beetlejuice, muzikal ini mengisahkan seorang remaja gothic, Lydia Deetz, yang memanggil ‘hantu’ untuk menakutkan ibu bapanya yang menjengkelkannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg