Semakin berusia, semakin pudar nama gemilang seorang bintang filem bisu, Norma Desmond, yang tinggal di rumah mewah tetapi terpencil.
Norma kemudian mendapatkan khidmat penulis naskhah filem muda, Joe Gillis, yang bergelut dengan ketidakpastian apakah kerjayanya sebagai penulis akan menampakkan masa depan cerah atau sebaliknya. Tujuan Norma ialah bagi mengembalikan zaman gemilangnya dengan sebuah naskhah filem lebih baik.
Soalan yang bermain di minda penonton muzikal, Sunset Boulevard, yang kini dipentaskan di Teater Sands, Marina Bay Sands: “Apakah Norma (lakonan penyanyi soprano dan pelakon muzikal terkenal, Sarah Brightman) yang hidup kesunyian dan perit memikirkan hidupnya tidak seglamor dahulu dapat menemui penawar dalam diri Joe (Tim Draxl) yang jauh lebih muda?”
Ternyata, bak peribahasa, ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di siang hari, hubungan mesra antara kededua Norma dan Joe tidak membawa kebahagiaan.
Joe yang menyimpan niat tidak baik dan cuba menguasai Norma dengan pujuk rayunya dan gambaran beliau mampu menggembirakan Norma dengan kasih sayangnya, tidak dapat membenam perasaannya pada wanita lebih muda, Betty Schaefer (Ashleigh Rubenach) yang juga bergelut dengan masalah cinta tiga segi dengan jejaka lain yang ingin mengahwininya.
Terjerat dengan keinginan untuk melepaskan dirinya daripada belenggu dikongkong Norma yang obses dengan dirinya, Joe akhirnya menjadi mangsa rasa cemburu Norma yang menembak mati Joe setelah menjadi ganas dan menggila kerana cintanya tidak dibalas.
Sunset Boulevard, dengan lagu ciptaan Andrew Lloyd Webber, adalah muzikal yang dipadankan daripafa filem dengan judul serupa pada 1950.
Ia adalah komedi gelap yang menggunakan nama jalanan terkenal di Hollywood, Sunset Boulevard.
Filem asal diarah Billy Wilder dengan naskhah filem ditulis bersama Wilder, Charles Brackett dan D.M. Marshman Jr.
Apa yang boleh saya katakan, muzikal ini penuh dengan misteri dan babak dramatik yang membuatkan penonton kadangkala terkejut, ketawa sinis melihatkan tindak-tanduk watak yang sukar dibayangkan oleh akal fikiran yang waras mahupun setakat mengimbas semula kisah silam pada era 1960-an dan 1970-an.
Anda akan dikejutkan dengan kehadiran seorang pembantu rumah lelaki Norma, Max Von Mayerling (Robert Grubb), yang menyimpan rahsia beliau pernah menjadi suami pertama Norma yang masih lagi menyimpan rasa simpati terhadap bekas isterinya yang sudah mula lupa akan kehadirannya setiap masa di rumah itu.
Saya agak terpaku pada set rumah mewah yang dalam sekelip mata diubah menjadi jalanan sibuk dengan jejaka dan dara yang teruja menari ikut irama rancak mahupun yang menggambarkan jiwa yang sendu dek patah hati.
Beberapa adegan hujan lebat di luar rumah Norma dengan air yang mengalir deras pada tiang atau struktur batu di luar rumah nampak realistik meskipun ia hanya pancaran lampu kesan khas.
Banyak unsur simbolisme yang digunakan dalam muzikal ini. Antaranya, termasuk ketika hujan lebat turun, maka itu juga petanda sesuatu yang suram dan pahit ditelan akan berlaku.
Kebanyakan masa, Norma yang mengalami gangguan fikiran dan emosi akan ‘naik hantu’ dengan keadaan yang berlaku, seperti pihak penerbitan belum lagi meluluskan naskhah tulisan Joe atau Joe menghilang sehingga membuatnya risau dan merindu.
Pemilihan Brightman, 64 tahun, sebagai Norma yang dimamah usia, amat tepat, kerana bekas isteri Lloyd Webber ini juga melalui tempoh pasang surut kerjayanya dalam dunia Broadway dan muzikal.
Suatu ketika, beliau adalah ‘ratu muzikal’ yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Wanita Paling Cemerlang bagi watak yang diterajui dalam pementasan, The Phantom of the Opera.
Brightman turut mengembara seantero dunia dan meraih pengiktirafan dalam pelbagai kategori nyanyian muzikal dek suara merdu dan lantangnya.
Beliau juga antara barisan pelakon muzikal laris, Cats.
Pada usia senjanya, beberapa teman yang pernah menyaksikan persembahannya dalam muzikal dahulu, menyatakan suaranya tidak sejernih dahulu dek faktor usia.
Sungguhpun begitu, terasa beruntung kerana dapat menyaksikan ‘ratu muzikal’ beraksi kembali dalam set serba moden dan barisan penonton daripada generasi muda.
Apakah yang dibawa pulang? Pengalaman mengamati isu seperti saat gemilang seseorang itu akan pudar ditelan masa.
Apabila sampai masa melabuhkan tirai, kesediaan melepaskan segala dunia glamor dan gemilang itu harus ada agar tidak dibebani tamparan emosi dan suasana mengganggu-gugat minda yang boleh melemaskan dan menjejas kesihatan.
Apa-apa pun, kesihatan dan ketenangan jauh lebih penting dalam meneruskan perjuangan hidup, berbanding kedudukan, jawatan dan status dihormati dan dikenali yang hanya untuk seketika berlabuh di dunia yang fana.
‘Sunset Boulevard’ dipentaskan hingga 23 Februari, pada 8 malam (Selasa hingga Sabtu) dan 1 petang (Ahad). Tiket berharga antara $88 dengan $258 boleh ditempah di laman web, Sistic (www.sistic.com.sg).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg