GRC Marine Parade sedang meneliti cara untuk mempertingkatkan ketersambungan di kawasannya, untuk menghubungkan “kaleidoskop” pelbagai jalur budaya yang wujud di kawasan itu, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Dr Tan, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, berkata kawasan undi itu adalah unik kerana ia memiliki tempat-tempat yang menampilkan budaya Melayu/Islam di Geylang Serai, budaya Peranakan dan Serani di Katong-Joo Chiat, serta kawasan moden di Marine Parade.
“Apa yang kami harap dapat lakukan…adalah untuk melihat bagaimana kami boleh mempertingkatkan lagi ketersambungan di kawasan unik ini.
“Anda boleh lihat seluruh kaleidoskop pengalaman beli-belah gaya kampung Melayu/Islam di Geylang Serai dan kemudian beralih ke budaya Peranakan di Joo Chiat…dan seterusnya budaya Serani, di mana terletaknya Persatuan Serani di sini.
“Dan kemudian sambung pula ke Marine Parade, yang merupakan kawasan moden dan eklektik… Ini yang membuat kami sangat istimewa,” kata beliau, yang turut mengalu-alukan orang ramai untuk memberikan maklum balas.
Dr Tan berkata demikian ketika ditemui media di Geylang Serai pada 8 Februari, di mana beliau menghadiri persembahan komedi muzikal bertajuk ‘Jodoh - A Love in Reverse’ di pusat beli-belah Joo Chiat Complex.
Dianjurkan Jalur Budaya Geylang Serai, persembahan itu mengisahkan tentang Husin, seorang bapa tunggal, dan dua anak lelakinya, Hamzah dan Raihan, yang mencari jodoh.
Dr Tan berkata beliau menikmati persembahan tersebut, dan menggalak lebih banyak pertubuhan dan persatuan budaya untuk memanfaatkan ruang bersama di Joo Chiat Complex untuk mempromosi semangat kejiranan, belajar budaya satu sama lain, dan mengukuhkan perpaduan.
Ditanya bagaimana ruang bersama sedemikian memainkan peranan penting dalam menyatukan penduduk, terutamanya di tengah-tengah bahang pilihan raya umum (GE), Dr Tan berkata sama ada musim GE atau tidak, pasukannya sentiasa bekerja keras untuk mengukuhkan perpaduan dan ikatan jalinan antara penduduk berlainan kaum dan agama.
Ini dilakukan menerusi pelbagai kegiatan, termasuk semasa sambutan perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali dan Krismas.
Bahkan, sebelum menghadiri persembahan tersebut, Dr Tan berkata beliau telah mengunjungi pusat penjaja untuk bertemu penduduk dan peniaga dan mengagihkan limau sempena Tahun Baru Cina.
Dr Tan menambah bahawa tugas pasukannya tidak berhenti sejak memenangi GE yang terakhir pada 2020 dan mereka terus mendekati penduduk dan mendapatkan maklum balas mereka.
“Kami bukan hanya berusaha semata-mata kerana musim GE. Kami sentiasa memastikan golongan yang berbeza boleh bersatu dan menggalak perpaduan kerana perpaduan itulah keunikan kita sebagai rakyat Singapura,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg