Kalau dah jodoh, tak ke mana.
Itulah yang sering dikatakan tentang lumrahnya ikatan perkahwinan yang Allah tentukan pada kesudahannya.
Meskipun pada awalnya, seakan-akan ada permasalahan yang berlaku sehingga pasangan selebriti merpati dua sejoli, Syafiq Kyle dan Mimi Lana, tidak jadi membina mahligai pada 18 Ogos 2023, hampir dua tahun selepas itu, jodoh mereka ternyata kuat.
Pada 14 Februari, Syafiq, 32 tahun, atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, dan Mimi, 29 tahun, atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri dalam satu majlis tertutup di kampung halaman Mimi di Taiping, Perak.
Syafiq hanya mengumumkan di Instagram: “Alhamdulillah, got married on a blessed Friday. (Alhamdulillah, bernikah pada hari Jumaat yang berkat).”
Bagai pinang dibelah dua, pasangan mempelai kelihatan segak dan anggun mengenakan busana serba putih dalam hantaran berkenaan, yang disertai dengan tanda pagar #skmlfoundthedate.
Mimi, menerusi laman Instagramnya, turut memuat naik hantaran yang sama.
Sebelum itu, Mimi memuat naik foto di Instagram sambil menayangkan jari manis yang disarung cincin bersebelahan tangan Syafiq.
Dalam pada itu, penyampai radio Era, Radin Amir Affendi Ahmad Aruani atau Radin, 33 tahun, yang hadir sebagai pengacara majlis walimah mempelai turut merakam detik menyayat hati ketika Syafiq, pelakon filem aksi jenayah, Sheriff: Narko Integriti, meminta restu bapanya.
Bapa Syafiq, Encik Abdul Razak Husin, 61 tahun, dikatakan menghidap penyakit angin ahmar sejak 2018.
Pelakon kacak itu yang lengkap mengenakan persalinan baju Melayu berwarna putih, beberapa kali dilihat mengusap wajah bapanya yang menangis di atas kerusi roda.
Encik Abdul Razak tidak mampu menahan sebak dan sempat membisikkan sesuatu sambil Syafiq memegang tangan dan mengucup dahi bapanya dalam keadaan menahan sedih.
Menerusi hantaran video lain yang dimuat naik di laman Instagram Radin, Abdul Razak kelihatan sedang menitiskan air mata tatkala anak lelakinya menamatkan zaman bujang sambil melafazkan akad nikah dan sah bergelar suami kepada Mimi.
Selepas pembatalan majlis perkahwinan awal pada 2023, tidak diberikan perincian lebih lanjut mengenai punca pembatalan perkahwinan itu.
Syafiq dan Mimi, bagaimanapun, mengaku menjalin hubungan baik sebagai kawan dan boleh bekerjasama dalam drama mahupun filem.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg