Nampak sahaja klip video peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Hady Mirza, berkaraoke bersama rakan duetnya pada Ahad malam, Shiha Zikir, saya sudah teruja.
Tak sabar nak dengar mereka dendangkan penuh merdu lagu duet Afgan-Rossa, Kamu Yang Kutunggu pada konsert minggu kesembilan ASGV nanti.
Apa tidaknya? Mendengar mereka nyanyi lagu karaoke, One Sweet Day dan Something Stupid sahaja lunak, bayangkan persembahan bertemakan Duet 2.0: Astroverse di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kelak... pasti lebih hebat.
Hady merakam beberapa klip video beliau menyanyi dan makan nasi ayam di kedai milik Shiha. Keserasian sudah dibina. Mentelah pula, Shiha mempunyai suara lemak merdu dan lantang tetapi menenangkan serta jelas sebutannya.
Saya juga nampak betapa bersemangatnya Liza Hanim bertemu dan berbincang dengan Noraniza Idris, rakan selabel di syarikat rakaman SRC pada zaman dirinya muda-muda dahulu.
Mereka akan menyanyikan lagu Noraniza dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Hati Kama.
Saya yakin suara ‘power’ Liza apabila menyanyikan lagu irama etnik Melayu itu dijangka memukau.
Satu lagi gandingan serasi yang ingin saya lihat adalah gandingan suara juara GV5, Noryn Aziz, bersama naib juaranya, Dia Fadila, bagi lagu Tegar.
Duet memerlukan keserasian dengan seorang penyanyi tidak boleh mengatasi yang seorang lagi.
Peserta juga tidak boleh mendak berbanding penyanyi jemputan sebab markah mereka yang lebih diutamakan.
Kali ini nampaknya lagu-lagu yang dipilih sesuai dengan naluri peserta.
All I Ask oleh Adele adalah lagu yang cukup syahdu tetapi apabila mendengar Jaclyn Victor dilanda radang tekak sehingga hilang suara, aduhai tertanya-tanya mampukah beliau berpadu suara dengan juara Big Stage 2023, Nadeera?
Tular sebuah video di mana Jaclyn diberi panduan mengurangkan kesan radang tekak oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ditemuinya di sebuah hotel secara tidak dirancang.
ASGV merupakan satu pertandingan yang panjang. Antara yang peserta perlu jaga adalah kesihatan suara. Kalau aset utama itu pudar dan hilang, maka matlamat bertanding menjadi sia-sia.
Sebenarnya tidak perlu vokalis ada nama untuk dijadikan rakan duet.
Asal sahaja penyanyi itu tahu misinya dan akur pada matlamat pertandingan untuk menyokong secara baik sesebuah lagu yang dipertaruhkan, maka bolehlah dia dijadikan gandingan kerjasama yang serasi.
Mungkin dalam pusingan kali ini, kurang nama besar dalam kalangan penyanyi tamu untuk menyuntik semangat segar peserta tetapi cukup baik apabila artis Budak Baru Nak Up (BBNU) seperti Zaki Yamani, Ara Johari dan Putera Muhammad dilibatkan sama dalam ASGV, sama seperti bintang veteran Noraniza dan Amelina.
Semoga lagu duet yang disampaikan tidak kecundang dan membawa bintang ASGV pada satu skala lebih membanggakan lagi sebelum tirai pertandingan dilabuhkan.
Nota: ASGV disiarkan pada 9 malam Ahad di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg