SHAH ALAM : Penyanyi Naqiu memohon maaf secara terbuka selepas aksi mesra bersama rakan duet, Misha Omar di pentas All Stars Gegar Vaganza (ASGV), malam Ahad, dikecam warga net.
Kesal dengan apa yang berlaku, Naqiu atau nama sebenar, Wan Naqiuddin Mohd Najib, 37, bagaimanapun enggan menuding jari kepada sesiapa, sebaliknya, meletakkan kesalahan itu di bahunya.
“Pertama sekali saya ingin minta maaf sangat-sangat kepada semua yang menonton dan yang terasa hati kerana saya sedar aksi itu menyentuh sensitiviti,” katanya dalam satu sidang media pasca persembahan, lapor Berita Harian Malaysia.
“Apabila saya tengok balik (persembahan), saya tahu ia agak keterlaluan.
“Saya tidak mahu pertahankan diri dengan mengatakan perkara ini sudah dirancang. Aksi itu sangat sensitif dan tidak sepatutnya berlaku.
“Jadi, saya ambil segala kesalahan itu. Insya-Allah, saya akan pastikan perkara itu tidak akan berulang lagi,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya konsert minggu keempat program realiti itu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam Ahad.
Dalam persembahan terkini konsert ASGV, aksi mesra, pimpin tangan Naqiu dan Misha ketika menyampaikan lagu Aku dan Dirimu nyanyian asal Ari Lasso dan Bunga Citra Lestari, mengundang rasa kurang senang netizen berikutan status mereka yang sudah berkahwin.
Naqiu berkata, kemesraan dipamerkan mereka terjadi secara spontan. Semuanya dilakukan bagi menterjemah emosi yang terkandung dalam lirik lagu berjudul Aku dan Dirimu.
“Perkara ini terjadi secara spontan. Saya jenis orang yang buat persembahan ‘over’ dan spontan. Kak Misha pesan persembahan itu akan beri dia ‘feel’. Dia tidak boleh buat persembahan dengan penyanyi yang tidak mampu beri dia ‘feel’.
“Tetapi saya harap, janganlah ada yang kecam rakan duet saya itu. Saya yang bertanding dan saya yang buat keputusan itu,” kata bekas vokalis kumpulan Boboy ini.
Ditanya apakah dia menghubungi Misha atau mendapat maklum balas penyanyi Bunga Bunga Cinta itu selepas aksi mereka menjadi perdebatan netizen, Naqiu memohon untuk tidak mengulas perkara itu.
“Saya tiada komen... Biarlah perkara itu hanya saya, Kak Misha dan pengurusan kami sahaja yang tahu,” katanya.
Mengenai komen positif juri atas persembahan mereka, Naqiu berkata, kecaman warga net lebih mengganggu emosinya berbanding pujian diterima.
“Saya sudah lupa dengan komen juri dan ini (kecaman) lebih menghantui diri saya. Sepanjang karier saya, tidak pernah lagi saya berhadapan dengan perkara seperti ini.
“Mungkin ini suatu pengajaran buat saya. Jadi, saya kena lebih matang, faham sensitiviti dan jangan melakukan eksperimen berlebih-lebihan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg